Maya Karin dilamar

Tanpa angin dan tanpa ribut, Maya Karin membuat pengakuan dirinya dilamar.

Tentunya ia berita mengejutkan kerana selama ini, apabila ditanyakan soal hati dan perasaan, jawapan daripada wanita popular berdarah kacukan Melayu-Jerman ini cukup mengecewakan.
Meskipun pernah dikaitkan dengan beberapa personaliti lelaki sebelum ini, semua itu gosip yang akhirnya lenyap begitu saja. Bila masanya pelakon dan penyanyi ini bercinta, dan siapakah jejaka yang berani melamar wanita yang bukan mudah menyerahkan hatinya kepada sebarang lelaki ini?

Walaupun mengaku dirinya disunting, pinta Maya, janganlah perkara itu diperbesarkan kerana dia belum membuat sebarang keputusan.

"Memang saya dilamar, tetapi yang membuat lamaran ialah sebuah syarikat rakaman antarabangsa, yang mahu menjadi pengedar album saya. Jika segala perancangan berjalan lancar, mereka juga mahu saya bernaung di bawah payung mereka sebagai artis rakaman.

Belum ada kata putus "Buat masa ini, belum ada sebarang kata putus diberikan. Saya juga masih menimbang tawaran berkenaan.

Bagaimanapun, melihat kandungan kontrak, saya amat berpuas hati dengan apa yang mereka ingin berikan.
"Tengoklah, jika ada rezeki bersama mereka, pasti akan ada pengumuman rasminya nanti," kata Maya ketika ditemui pada majlis Hati Ke Hati bersama duta Inner Shine, Maya Karin, di sebuah restoran terkemuka di ibu kota, baru-baru ini.

Majlis penuh santai itu diadakan bertujuan memperkenalkan saiz baru produk minuman berkhasiat terbabit, dengan 60 peratus lebih kandungan berbanding saiz biasa.

Sebelum ini, Maya pernah merakamkan tujuh lagu sebagai usahanya untuk membuat kemunculan semula dalam dunia nyanyian. Sebelum ini dia pernah muncul bersama dua album, masing-masing berjudul Erti Cinta dan Bukan Qalamaya.

Nasib lagu jadi tanda tanya Bagaimanapun, jika jodohnya dengan syarikat rakaman itu menjadi, nasib lagu yang sudah dirakam juga menjadi tanda tanya.

"Saya sendiri tidak pasti apakah syarikat rakaman itu akan menggunakan lagu terbabit untuk dimuatkan dalam album saya nanti. Jika mereka ada perancangan lain, nampak gayanya lagu itu terpaksalah saya simpan.

Saya sudah pun berbincang dengan penerbit album itu, Audi Mok, mengenai nasib lagu berkenaan.

"Dia bersikap positif dan katanya, jika lagu dalam album itu tidak digunakan, dia tidak kisah dan mahu saya menjadikan pengalaman merakamkan lagu itu sebagai ilmu cukup berharga untuk kerjaya nyanyian saya," kata Pelakon Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 ini.

Panjat gunung di Nepal Sementara itu, dia yang bakal menyambut ulang tahun yang ke-33 pada 29 Oktober berkata, hari istimewa berkenaan bakal disambut bersama lelaki tersayang.

Membuat acara itu lebih bermakna, sambutannya akan diadakan di kawasan pergunungan Langtang, di Kathmandu, Nepal.

"Bapa yang beriya-iya mengajak saya mendaki di Langtang.

Selepas puas memujuk, tiga minggu lalu baru saya beri kata persetujuan. Hanya kami berdua yang akan melakukan pendakian. Tapi bila memikirkan tempoh perjalanan, iaitu empat hari untuk naik dan empat hari untuk turun, rasa gementar juga.

"Sebagai seorang yang gemarkan cabaran dalam kehidupan, situasi seperti itu sedikit sebanyak menggembirakan hidup saya. Sesekali lari daripada dunia glamor seronok juga. Barulah hidup saya seimbang," katanya yang banyak menghabiskan masa dengan mengembara sejak kebelakangan ini.

Suka aktiviti sukan Selain menjadikan kembara sebagai hobi, Maya juga antara artis yang gemarkan aktiviti sukan. Jika sebelum ini dia sanggup ke Jerman untuk menonton Kejohanan Bola Sepak Euro 2012, terbaru Maya turun ke Singapura untuk menyaksikan perlumbaan Grand Prix F1. Bukan sekadar menonton, Maya secara eksklusif diundang melawat garaj pasukan Formula Satu Lotus.

"Kebetulan kawan saya ialah pemilik Lotus, jadi dialah yang mengundang saya melawat kawasan garaj itu. Dapatlah juga melihat pelumba membuat persediaan sebelum ke litar. Ada juga artis antarabangsa lain berada di situ, termasuk Katy Perry. Tinggi betul orangnya," kata Maya yang turut ditawarkan menjadi perantara jemputan program hiburan E! News.

Mengaku bukan gay

BARU sahaja mahu mencuba nasib sebagai pelakon, nama Amran Ismail terus dicalit dengan kontroversi hebat. Jejaka berusia 27 tahun ini pada mulanya tidak mahu terus dibelenggu dengan kisah tidak benar itu, namun setelah lama berlalu dia akui kontroversi ini meninggalkan kesan yang agak mendalam buat kariernya.
Menurut Amran dia sendiri hairan bagaimana namanya dikaitkan dengan aktiviti cinta songsang bersama seorang lagi rakan artis. Bercerita lebih lanjut mengenai hal itu, Amran memberitahu dia kini lebih berhati-hati bagi mengelakkan diri terjebak di dalam kontroversi yang sama.
 
"Saya tahu apa yang salah, jadi saya tidak akan sesekali melakukan hal itu.
"Saya kenal dengan Anding juga sebagai rakan ke gimnasium. Mungkin hubungan baik kami di salah ertikan," katanya ringkas.
Menerima tempias melalui kontroversi itu Amran memberitahu sehingga kini dia masih dipandang serong sebahagian masyarakat. Walaupun begitu dia bersyukur kerana mempunyai peminat yang setai menyokong kariernya. Di kala umurnya semakin meningkat kini, Amran memberitahu dia juga mempunyai naluri yang sama seperti lelaki lain iaitu untuk mempunyai keluarga sendiri.
 
"Sama seperti lelaki lain saya juga mahu mempunyai keluarga, buat masa ini masih masih belum mempunyai teman wanita. Mungkin berkat doa peminat semua saya akan bertemunya," katanya berseloroh.
 
Menyentuh soal kariernya menurut Amran dia kini sedang sibuk menyiapkan sebuah telemovie terbitan stesen televisyen di Brunai.
"Alhamdullilah nampaknya rezeki ke sana. Drama ini merupakan kerjasama diantara penerbit Brunei dan Malaysia," katanya.
Antara artis Malaysia lain yang turut terlibat adalah Tasha Shila.

Gangnam catat rekod

LOS ANGELES 22 Sept. - Lagu sensasi Korea Selatan, Gangnam Style diiktiraf oleh buku rekod dunia Guinness sebagai video muzik paling banyak memperoleh 'like' dalam laman YouTube.
Lagu nyanyian PSY itu mencatat 'like' sebanyak 2,234,641 kali, sekali gus mengenepikan video muzik Party Rock Anthem dendangan kumpulan LMFAO yang memperoleh 1,575,979 'like' sebelum ini.
 
Jumlah itu dicatatkan selepas dua bulan Gangnam Style disiarkan di YouTube.
Bagaimanapun, lagu tersebut gagal menyaingi rekod video muzik paling banyak ditonton yang sehingga kini menjadi milik penyanyi Justin Bieber menerusi lagu Baby.
Video muzik tersebut ditonton sebanyak 780,683,863 kali selepas ia dilancarkan pada Januari 2010.
Gangnam Style pula hanya ditonton sebanyak 230,549,340 kali.
 
Lagu berentak rancak itu mula ditayangkan di YouTube pada 15 Julai lalu, dan popularitinya menjangkau hingga ke Amerika Syarikat.
Ia terbukti apabila PSY turut diundang membuat penampilan khas dalam rancangan temu bual pagi saluran NBC, The Today Show dan The Ellen DeGeneres Show.
 

LMFAO umum perpecahan

LOS ANGELES 22 Sept. - Kumpulan pop LMFAO yang dianggotai dua saudara iaitu Redfoo dan SkyBlu semalam, mengumumkan perpecahan selepas enam tahun bergiat dalam bidang muzik.
Menerusi laman web berita News. Com.Au, Redfoo atau nama sebenarnya, Stefan Gordy, 37, menyatakan bahawa dia dan SkyBlu atau Skyler Gordy, 26, sudah bersetuju untuk berpecah.
 
"LMFAO mula ditubuhkan pada 2006 dan kini kami membuat keputusan untuk membawa haluan masing-masing.
"Kami mempunyai cita rasa dan pandangan yang berbeza mengenai muzik, maka keputusan untuk berpecah adalah yang terbaik," katanya.
Redfoo turut menyatakan bahawa dia tidak pasti sama ada LMFAO akan bersatu semula atau sebaliknya.
Kumpulan tersebut mencipta fenomena muzik di seluruh dunia menerusi lagu hits Party Rock Anthem dan I'm Sexy and I Know It.
Video muzik Party Rock Anthem sebelum ini mencatat sebanyak 1.5 juta 'like' dalam laman web perkongsian video YouTube. - AGENSI

Cinta hati Nad

SEGELINTIR artis tidak selesa berbicara soal sudah berpunya atau belum. Ada yang mengambil sikap berahsia, tak kurang juga mengelak dari menjawab soalan media. Sekaligus sengaja mencipta spekulasi hingga ada yang memakan diri.
Berbanding pelakon sedang meningkat naik, Farah Nadia Zainal Abidin atau Nad Zainal, 22. Meskipun baru saja dikenali, Nad akui bersikap terbuka untuk mengakui hatinya sudah dimiliki. Walaupun merahsiakan nama si jejaka bertuah, hubungan yang terjalin sejak beberapa tahun lalu tidak menghalang langkahnya untuk meluaskan kerjaya sebagai pelakon.
 
Alasan Nad mudah. Baginya, peminat kini sudah tak kisah sama ada pelakon yang mereka minati sudah berpunya atau belum. Apatah lagi dengan budaya kerja yang agak terbuka dan saling mengenali antara sesama produksi, ia lebih mudah.

"Orang ramai pun meluat jika kita asyik merahsiakan status atau hubungan kita. Peminat lebih bijak menilai mana baik dan buruk. Bagi saya, mengaku ada kekasih dapat menjauhkan diri daripada kontroversi kurang elok.
 
"Bukan bermaksud langsung tak ada kontroversi tapi tengok juga pada perilaku kita kepada pasangan. Yang penting, jangan buat jahat dan benda-benda merepek. Kena tahu jaga nama keluarga dan kerjaya yang sedang dibina.
 
"Apatah lagi teman lelaki juga bekerja dalam bidang kreatif dan dia faham dengan cara kerja saya. Kami pernah bekerja dalam set yang sama, oleh itu memang tak jadi hal. Lelaki lain nak 'tackle' pun fikir dua tiga kali," katanya sambil ketawa sebaik dihimpit soalan peribadi.
 
pix_middle
 
 
Berbicara dengan bintang kelahiran Kajang, Selangor ini cukup selesa. Tidak hairanlah namanya makin meniti di bibir penerbit dan pengarah tempatan. Malah dia cukup profesional memberi gaya menarik sebagai pelengkap muka depan SELEBRITI minggu ini.

Mengenai perancangan seterusnya dengan teman lelaki, Nad tidak menolak kemungkinan untuk bergelar isteri yang sah cuma bukan dalam masa terdekat. Katanya, buat masa ini masing-masing sibuk memberi tumpuan kepada kerjaya dibina.

Mula dikenali menerusi drama Memberku Hawa berganding dengan Faezah Elai di TV3 pada April lalu, Nad menyimpan cita-cita untuk mengorak langkah ke peringkat lebih jauh. Kini selepas berhempas pulas membina nama, mutiara yang digilap sejak 2007 sebagai watak pembantu dalam drama bersiri Impian, mula disedari.

Sejak itu bangkitlah nama Nad ke dalam industri hiburan tempatan melalui watak Inas, gadis tabah dalam drama rantaian terbaru Bukan Bidadari yang disiarkan di TV3 menerusi slot Lestary bersama Sharnaaz Ahmad.

Sebelum ini drama Di Bawah Langit Mu arahan Erma Fatima yang turut menampilkan Nora Danish dan Sharnaaz yang disiarkan menerusi Cerekarama pada Ramadan lalu, turut membuka mata banyak pihak.

"Jujurnya, saya sangat gembira kerana penantian selama ini berbaloi. Bukan bermakna saya sudah boleh berbangga kerana ramai produser dan pengarah mula mengintai tapi ia satu pencapaian yang saya boleh banggakan.

"Saya akui tahun 2012 banyak membuka peluang untuk saya meneruskan kerjaya lakonan. Walaupun bermula sejak 2007, berlakon secara serius baru saja tahun lalu.

"Sebenarnya tempoh lima tahun bukan lama sangat kerana waktu mula jadi pelakon, saya masih belajar dan saya tidak mahu pelajaran terganggu untuk memberi laluan kepada tawaran berlakon. Apabila tamat belajar pada 2010, barulah saya serius berlakon.

"Apa yang saya rasakan sekarang ialah inilah masa yang sesuai. Difikirkan semula, jika saya bermula awal, watak yang ditawarkan pasti berlegar pada watak pelajar atau remaja.

"Tapi bila sudah mencecah usia 22 tahun, saya sudah diuji dengan karekter mencabar. Contohnya dalam Bukan Bidadari, karekter saya matang malah sudah diberi peluang menjadi 'mak budak'. Saya boleh katakan ketika ini sebagai satu detik permulaan buat saya sebagai pelakon," kata graduan Seni Teater dari Akademi Seni Warisan Kebangsaan (Aswara).

Dalam Bukan Bidadari arahan Faisal Ishak dan terbitan Filmscape Production, Nad memegang watak Inas, gadis kaya yang mempunyai sikap manja dan sombong. Hidupnya tunggang langgang apabila kematian bapa kerana Inas dan ibunya, Suraya mengetahui arwah ayahnya banyak hutang dan tidak ditinggalkan sebarang harta untuk meneruskan kehidupan.

Tanpa arah tujuan, mereka pulang ke kampung Suraya dan tinggal bersama kakak Suraya, Hawa. Inas begitu benci kehidupannya di kampung dan menyalahkan ibu dan arwah bapanya atas tragedi yang menimpa dirinya. Turut berlakon, Azlee Khairi, Sara Ali, Fiza Halim, Zuhairi Ibrahim, Muniff Isa, Azhar Sulaiman dan Wan Raja.

Nad juga melengkapkan biodata seninya apabila turut berlakon filem. Filem pertamanya, Jidin Sengal walaupun menggalas watak pembantu dan filem itu tidak mendapat sambutan, sekurang-kurangnya ia membuka mata Nad untuk terus berkarya.

Terbaru, Nad beraksi dalam filem Kami Histeria arahan Shamyl Othman dan turut dibarisi nama besar seperti Fazura, Diana Danielle, Mila Jirin dan Sara Ali.

Peluang demi peluang yang diberi bagai rezeki tak kunjung padam malah ia terus membakar semangat Nad berusaha lebih gigih. Jika ada pelakon lebih suka 'bertempek' dengan pengarah atau penerbit semata-mata untuk mendapat peluang, Nad jauh lebih hebat. Bukan dengan cara menggoda atau mengipas orang industri sebaliknya melalui sikap mesra, rendah diri dan profesionalisme menjadi sumber.

"Pengurusan dalam bidang seni sangat penting untuk kita bekerja dalam suasana selesa dan profesional. Kadang kala ada pihak cepat melabel seseorang artis itu 'kekwat' hanya kerana menolak tawaran berlakon atau tidak dapat memberi komitmen.

"Soalnya, bukan 'kekwat' tapi sebaliknya jika kita bijak mengurus tawaran yang datang dan memberi kerjasama sebaiknya, orang akan ingat. Apa benda pun kita lakukan dalam industri ini, perlu ada hitam putih (kontrak), bukan setakat berjanji mulut.

"Saya pernah berdepan situasi di mana produksi memanggil saat akhir untuk drama mereka tapi bila tiba hari dijanjikan, senyap terus. Banyak masa terbuang begitu saja. Saya tahu isu itu bukan perkara baru dalam industri malah sering terjadi di kalangan orang seni tapi untuk kekal lama dan dipandang serius, kita harus bersikap profesional," katanya tegas.

Bagi yang pertama kali mengenali Nad, pasti beranggapan dia gadis sombong yang tidak mudah didekati. Tapi sebalik wajah serius, Nad sebenarnya seorang yang sangat sederhana, bukan saja dari segi berpakaian malah kehidupan seharian.

"Saya ibaratkan diri saya sebagai perempuan yang terperangkap dalam dunia moden. Terus terang, saya bukan gadis bandar yang suka mewarnakan rambut kecuali dituntut watak. Saya juga berjiwa klasik, saya lebih tahu lagu-lagu tradisional dan klasik berbanding lagu-lagu moden.

"Saya lebih suka memakai baju kebaya 'vintage' malah koleksi busana raya kebanyakannya kebaya sejak dulu sampailah raya baru-baru ini. Walaupun anak tunggal, keluarga sangat tegas dalam membuat keputusan. Saya tidak dimanjakan seperti mana anak-anak tunggal lain, sebaliknya saya perlu berusaha membuktikan kepada ibu bapa saya layak menerima apa yang sama mahukan.

"Persepsi saya apabila memegang status anak tunggal, tanggung jawab lebih berat. Saya bersyukur sebab ibu bapa menyokong keputusan untuk menjadi anak seni tambahan pula saya sudah buktikan kepada mereka saya mampu membawa diri dalam bidang ini," kata Nad yang bakal beraksi dalam drama bersiri Putera Rayyan arahan Murali Abdullah.

Studio Edrie Hashim dipecah masuk

KUALA LUMPUR 23 Sept. - Studio rakaman milik gitaris terkenal tanah air, Edrie Hashim, 39, dipecah masuk petang semalam.
Studio beliau yang terletak di Damansara Perdana dipercayai dipecah masuk pada kira-kira pukul 6 petang.
Menurut Edrie, kejadian tersebut baru sahaja diketahuinya.
 
"Salah seorang kakitangan studio memaklumkan kejadian pecah masuk baru sebentar tadi. Saya tidak tahu apakah atau berapakah barangan yang dicuri. Setakat ini, komputer jenis Mac yang hilang," katanya kepada Utusan di sini semalam.
Beliau berkata, kejadian pecah masuk pernah terjadi beberapa kali.
 
Katanya, beliau kini menuju ke studio bagi memastikan tiada peralatan muzik lain yang hilang.
Utusan difahamkan, terdapat lebih lima buah gitar disimpan di studio berkenaan yang baru dua tahun digunakan.
Beliau menambah, beliau akan membuat laporan polis kelak.

Ning dedah sebab sukar hamil

SEBELUM ini, penyanyi bersuara soprano Ning Baizura Sheikh Hamzah, 37, seolah-olah bermain teka-teki berhubung status usia kehamilan sulungnya.
Biarpun pernah ditanya ramai mengenai kehamilannnya, dia tetap berdiam diri dan menolak dengan baik daripada memberi sebarang komen kecuali dengan memberitahu semuanya akan didedahkan menerusi satu sidang akhbar.
 
Mungkin ada yang berasa cuak kenapa Ning sehingga perlu membuat sidang akhbar khas mengenai kehamilan sulungnya ini hasil perkongsian hidup bersama Omar Sharif Christopher Layton yang dikahwininya sejak 31 Januari 2008 itu.
Pelantun lagu Awan Yang Terpilu itu akhirnya tampil memberikan jawapan mengenai persoalan tersebut pada satu sidang akhbar yang berlangsung di Restoran Bijan, Kuala Lumpur kelmarin.
Ning juga turut mengulas mengenai penarikan diri daripada membuat persembahan Arthur's Day anjuran sebuah syarikat minuman keras yang dijadualkan berlangsung pada 28 September ini.
 
Kosmo!: Sudikah Ning kongsikan momen indah apabila mendapat tahu sudah hamil setelah hampir empat tahun mendirikan rumah tangga bersama Omar?
NING: Ingin saya nyatakan kandungan saya sudah memasuki lima bulan atau lebih tepat lagi 20 minggu. Saya dijadualkan melahirkan bayi sulung ini pada pertengahan bulan Januari tahun depan. Pada mulanya sukar untuk saya percaya berita kehamilan ini kerana sebelum ini saya disahkan oleh doktor pakar bahawa saya mempunyai masalah dalam sistem dalaman wanita, namun Alhamdulillah berkat doa dan rezeki Allah, saya akhirnya hamil.
Bagaimana dengan jantina bayi? Adakah anda dan suami sudah membuat ujian imbasan di hospital pakar yang merawat anda sebelum ini?
Sudah. Namun, bayi ini masih malu untuk menunjukkan jantinanya. Insya-Allah saya akan maklumkan apabila memperoleh keputusan kelak. Saya tak kisah lelaki atau perempuan asalkan sihat dan cukup sifat.
 
Anda ada beritahu mengenai masalah dalaman wanita yang menyukarkan anda hamil. Mungkin sudi kongsikan sedikit sebanyak tentang hal itu?
Lebih kurang dua tahun lepas saya dimaklumkan menghadapi masalah apabila terdapat gumpalan darah pada bahagian pundi kencing dan memerlukan saya menjalani pembedahan ketika itu. Ujar doktor yang merawat saya ketika itu, peluang untuk hamil sangat tipis. Bagaimanapun selepas pembedahan, saya disarankan untuk mengamalkan pemakanan dan cara hidup sihat dengan melebihkan pengambilan sayur-sayuran, ikan, susu kambing dan makanan berasaskan soya. Sehingga bulan Disember tahun lalu, saya masih terus mengambil ubat-ubatan atas nasihat doktor. Alhamdulillah, kini saya hamil dan ini anugerah Allah yang tidak ternilai apabila membuat pemeriksaan sekitar bulan Mei lalu.
 
Ada petua lain yang anda lakukan untuk mendapatkan zuriat? Ada alahan atau mengidam pelik-pelik sepanjang hamil?
Tiada yang pelik-pelik, kami sekadar mengikut aturan normal pasangan yang berkahwin. Sekarang saya masih mengamalkan makan tujuh biji buah kurma setiap hari selain melakukan senaman ringan. Saya belum mengidam yang pelik-pelik, cuma tiga bulan pertama hamil saya obses makan sayur. Begitu juga dengan alahan, setakat ini saya belum mengalami mual-mual, pening atau muntah lagi.
 
Bagaimana pula persiapan untuk menyambut kelahiran kelak?
Buat masa sekarang kami belum membuat sebarang persiapan, mungkin bulan ketujuh kehamilan baru mula membuat persediaan yang sepatutnya. Saya sudah membaca dua buah buku mengenai kehamilan dan kelahiran selain menonton beberapa dokumentari mengenai kelahiran bayi.
 
Sebelum ini ramai yang memperkatakan mengenai pembabitan anda untuk menjayakan konsert Arthur's Day anjuran sebuah syarikat minuman keras, sudikah anda jelaskan mengenai perkara tersebut?
Sekarang baru saya percaya rezeki bayi, sejak saya tolak undangan itu banyak undangan nyanyian lain yang datang. Semua telah saya perjelaskan sebelum ini menerusi kenyataan media melalui laman web saya www.ningbaizura.com. Cukuplah itu sahaja buat masa sekarang.
 
Saya sedang sibuk membuat persiapan untuk memasuki pejabat baharu di Petaling Jaya yang mempunyai studio nyanyian sendiri. Selain itu, saya akan merakamkan sebuah album kanak-kanak umpama lullaby bersama Universal Music yang bakal diterbitkan awal tahun depan. Tahun depan juga ulang tahun ke-20 saya bergelar penyanyi dan saya sedang merangka pelan strategi untuk mengadakan konsert selain kembali aktif enam bulan selepas melahirkan anak pertama saya.

Lima kumpulan rock bergabung dalam Festival Rock

KUALA LUMPUR 20 Sept. - Buat julung kalinya lima kumpulan rock legenda tanah air dan Singapura bakal bergabung di atas satu pentas bagi menjayakan Konsert Festival Rock Malaysia yang akan berlangsung pada 20 Oktober ini.
 
Lima kumpulan rock terbabit ialah Wings, XPDC, Lefthanded, May dan Rusty Blade dari Singapura.
 
Konsert anjuran bersama produksi Red On Black dan Bombay Worldwide akan berlangsung selama enam jam di Equestrian Bukit Kiara di sini.
Penerbit Eksekutif Red On Black, Solleh Toha berkata, para peminat rock tanah air berpeluang menyaksikan persembahan istimewa Rusty Blade yang membuat persembahan pertama mereka selepas 20 tahun.
 
Katanya tiket-tiket berharga RM88 mula dijual mulai esok di Ticket2u dan Ilassotickets.com.

Johan rasa berbaloi tak berlakon filem

SELEPAS Johan Raja Lawak atau nama sebenarnya, Mohd Yazid Lim Mohamad Aziz menyertai radio Era FM sebagai penyampai tetap tahun lalu, jarang sekali dia kelihatan di layar perak berbanding gandingannya dalam kumpulan Jozan, Zizan Razak.
Zizan sebagai rakan seperjuangannya dalam kumpulan Jozan pula kini lebih ligat di layar perak manakala Johan seakan tenggelam selepas program Maharaja Lawak Mega tahun lalu.
 
Selepas terlibat dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah pada tahun 2010, Johan hanya kelihatan muncul dalam program lawak jenaka di Astro Warna sahaja.
Ketika ditanya persoalan sama ada dia selektif dalam memilih watak menyebabkan kelibatnya jarang muncul, Johan pantas berkata, bahawa jarang berlakon filem disebabkan tidak dapat memberi komitmen kerana sibuk bekerja di konti sebagai penyampai radio.
"Saya sibuk sekarang, walaupun orang tengok pukul 10 pagi saya sudah habis waktu kerja di radio, sebenarnya kerja saya masih banyak selepas itu misalnya, buat promosi lain bagi memudahkan kerja esok hari pula," jelasnya ketika ditemui pada sidang akhbar pementasan Lawak Ke Der? 2 di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.
 
Tambahnya, jika dia menerima banyak tawaran berlakon filem, perkara itu dikhuatiri akan menjejaskan dan mengganggu masa dia sebagai penyampai radio pula.
Johan berkata, jadual waktu yang tetap di konti turut menyebabkan dia sukar untuk memberi komitmen lain kerana seawal pukul 4.30 pagi dia sudah berada di situ dan pulang kira-kira pukul 12 tengah hari setiap hari kecuali hujung minggu.
Ujarnya lagi, dia menganggap bekerja di konti berbaloi bagi kerjayanya kini memandangkan pendengar radio tersebut sudah mencecah 1.2 juta orang.
"Saya anggap melepaskan peluang berlakon filem adalah berbaloi. Saya suka kerja saya sekarang. Kalau ada penggambaran filem saya kena balik awal dan tidur awal dan nanti terkejar-kejar pula," jelasnya.
 
Dia turut memberitahu, sudah hampir dua tahun tidak berpanas di bawah matahari untuk mana-mana penggambaran drama atau filem.
Dia sebaliknya hanya terlibat dengan penggambaran di dalam studio sahaja seperti untuk program Karoot Komedia di Astro Warna.
"Tengoklah kulit saya lebih cantik dan putih sekarang sebab tidak buat kerja tengah panas," ujarnya berjenaka.
Bagaimanapun, itu tidak bermakna dia tidak laku untuk dijual dalam sesebuah filem atau menolak terus tawaran yang datang.
Sebagai bukti, Johan bakal muncul dengan dua filem baharu arahan Afdlin Shauki iaitu Pontianak Vs Orang Minyak hujung tahun ini dan Papadom 2.
"Saya tidak memilih untuk berlakon, tetapi kena tengok filem itu macam mana dulu baru boleh beri kata putus. Pada saya, berada di konti seperti berlakon 10 buah filem," jelasnya yang memberitahu menerima tawaran berlakon jika ia berbaloi.
Ditanya pula tentang Zizan Razak yang lebih menonjol dan popular di kaca televisyen mahupun layar perak, Johan menjelaskan, sebenarnya dia tidak kisah tentang situasi tersebut.
Apa yang lebih penting baginya, dia perlu memikirkan kerjaya yang dipilihnya sebagai penyampai radio.

Majalah Denmark siar gambar separuh bogel Catherine

COPENHAGEN 20 Sept. - Majalah hiburan Denmark, Se og Hoer merancang untuk menyiarkan gambar separuh bogel isteri Putera William, Kate Catherine dalam keluarannya hari ini.
 
Ketua editor majalah tersebut, Kim Henningsen berkata, Se og Hoer telah mendapatkan gambar separuh bogel Catherine yang akan disiarkan dalam 16 muka surat penuh untuk keluaran hari ini.
 
"Pembaca kami gemar mengikuti perkembangan cara hidup kerabat diraja dan mereka mahukan kelainan. Saya juga berbangga kerana mendapat kebenaran untuk menyiarkan gambar kontroversi bakal permaisuri England," katanya. - AFP

Kes khalwat Beego ditangguh 4 Disember

KUALA LUMPUR 18 Sept. - Perbicaraan kes khalwat pelakon dan bekas penyanyi kumpulan Phyne Ballerz, Beego serta dua rakannya di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, dekat sini ditangguhkan sehingga 4 Disember ini.
 
Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin menetapkan demikian selepas membenarkan permohonan peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan yang memaklumkan pihaknya baru sahaja menghantar surat representasi berhubung kes itu pada Jumaat lalu ke pejabat Ketua Pendakwa Syarie.
Pegawai Pendakwa Syarie dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Shafezan Rusli pula memberitahu beliau masih belum menerima sebarang surat representasi dan dokumen yang disebut oleh pihak pembelaan mengenai kes berkenaan.
Shafezan juga memohon mahkamah agar tidak lagi menangguhkan perbicaraan jika selepas ini pihaknya masih tidak menerima sebarang dokumen berkenaan kerana kes tersebut melibatkan kepentingan awam.
 
Beego atau nama sebenarnya, Md. Aszerul Nizam Abdullah, 32, didakwa bersama-sama dua rakannya, Fikry Zainon dan Mohd. Arsli Meor Atan Ahmad berkhalwat dengan dua kenalan wanita mereka, Azlina Yazit @ Aziz serta Hadijah Mohamad Mokhar di Oakleaf Kondominium, Bukit Antarabangsa, Ampang di sini pada pukul 6 pagi, 23 Februari 2011.
 
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 20(1)(a) bagi lelaki dan Seksyen 20(1)(b) bagi perempuan, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang masing-masing membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya.
Azlina dan Hadijah yang berusia awal 30-an didenda RM3,000 atau penjara enam bulan setiap seorang setelah mereka mengaku bersalah atas tuduhan tersebut. Kedua-duanya membayar denda terbabit. - UTUSAN

Kepong Gangster bukan sekadar gangster

JIKA filem seram lucu Hantu Gangster arahan Namewee memaparkan Klang sebagai 'wilayah kawasan kongsi gelap', lain pula kisahnya dengan filem Kepong Gangster yang mula menjengah seluruh pawagam tanah air sejak 13 September lalu.
Sentuhan layar perak pertama oleh pengarah baru, Teng Bee memberikan satu lagi penceritaan menarik kepada penggemar filem kerana kali ini bertumpu pula di Kepong.
Di Kuala Lumpur, umum mengetahui majoriti penduduk Kepong dan kawasan jirannya, Jinjang di dominasi masyarakat Cina. Maka secara tidak langsung ia turut dikaitkan dengan kegiatan kongsi gelap atau gangsterism di kawasan itu.

Justeru, apakah yang cuba diketengahkan Teng Bee menerusi Kepong Gangster yang dibintangi Melvin Sia dan Henley Hii?

Ditemui pada sesi fotografi baru-baru ini, Teng Bee yang hadir bersama Melvin dan Hanley nyata memiliki alasan tersendiri. Ujarnya, Kepong Gangster diarahkan tidak digarap pada kisah gangster semata-mata tetapi menjurus kepada persahabatan.

"Ia menceritakan persahabatan lima sekawan yang erat sejak mereka di bangku persekolahan sehingga dewasa. Apatah lagi, mereka adalah mangsa buli di sekolah yang akhirnya mendorong kelima-lima anak muda itu menyertai satu kumpulan gangster."Bagaimanapun, niat asal Ah Zhong lakonan Henley yang membuka langkah membawa rakan-rakannya menyertai gangster adalah sebagai melindungi diri mereka daripada terus dibuli oleh penjahat. Namun keadaan akhirnya menjadi lain.

"Ketaksuban Ah Hoi lakonan Melvin pula lebih ke arah mahu merebut kuasa untuk menjadi ketua gangster paling hebat sehingga mendorong dia melakukan pengkhianatan terhadap sahabat karibnya sendiri. Apakah perbuatan yang dilakukan Ah Hoi, penonton kena saksikan Kepong Gangster," katanya.

Teng Bee berkata sebagai pengarah dia sudah berusaha menggarap filem ini sebaik mungkin dengan mempelbagaikan konflik dan emosi kepada lima bersahabat itu.
Tidak terkecuali dipadatkan juga dengan unsur cinta, wang dan kuasa memerintah.

Berbicara lanjut mengenai filemnya, Teng Bee yang sebelum ini lebih banyak mengarahkan iklan komersial memaklumkan filem Kepong Gangster juga akan ditayangkan di luar negara iaitu Taiwan pada penghujung September ini. Bahkan, masih dalam perbincangan untuk tayangan di Hong Kong pula.

Menelan belanja pembikinan sebanyak RM1.5 juta, Teng Bee turut mengharapkan filemnya akan berjaya meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM5 juta berikutan yakin dengan jalan cerita serta berpuas hati dengan mutu lakonan dipersembahkan.

Melakukan penggambaran sekitar Februari lalu selama 23 hari di lokasi sekitar Kepong dan ibu kota, filem terbitan Mahu Pictures, WG Capital dan Halo Music itu juga tidak ketinggalan mengetengahkan lakonan hebat penghibur wanita terkenal Taiwan, Linda Liao.

Sementara itu, Melvin yang lebih dikenali dengan watak baik dalam drama Cina lakonannya memaklumkan dia sangat teruja mendapat kepercayaan daripada Teng Bee untuk melakonkan karakter Ah Hoi. Ujarnya, watak hitam itu agak mencabar buat dirinya.

"Saya seronok melakonkan watak ini kerana ia mengetengahkan sisi lain pada persembahan lakonan saya. Apatah lagi, saya menjadi gangster yang kejam dan sanggup melakukan apa saja demi memiliki kuasa yang diinginkan.

"Apapun, saya mengharapkan penonton akan menyukai lakonan saya kerana sudah memberikan yang terbaik untuk filem ini. Ia filem kedua lakonan saya. Pun begitu, saya tetap yakin filem ini akan diterima baik penonton," katanya.

Bersandarkan pencapaian Melvin dalam karier lakonannya, dia bukanlah calang-calang aktor. Pembabitannya dalam industri seni Cina tempatan berjaya membawa namanya dikenali di Taiwan. Malah Melvin yang pernah memenangi dua anugerah utama di Golden Awards 2010 anjuran stesen ntv7.

Bagi Henley pula, watak Ah Zhong lakonannya cukup bermakna kerana menjadi seorang yang mengutamakan hubungan persahabatan. Ujarnya, tak mahu melihat rakan-rakan yang dianggap sebagai saudara kandung terus dibuli, dia cuba membela nasib mereka.

"Sayangnya matlamat mereka berbeza. Masing-masing yang pernah dikenali dengan gelaran 'Lima Harimau' akhirnya berpecah. Malah persahabatan itu turut dikhianati salah seorang daripada kami. Apapun, bagi saya ia cerita yang sangat menarik.

"Saya gembira dan suka pada jalan cerita filem Kepong Gangster. Terima kasih kepada Teng Bee kerana memberikan saya peluang dalam karyanya ini. Bagaimanapun, saya melihat filem ini pada sudut sejarah masyarakat Cina terutama di Kepong," katanya.

Henley yang bakatnya dicungkil menerusi program realiti terbitan 8tv, Project Super Star 2007 memaklumakan dia juga kagum dengan Teng Bee. Jelasnya, dia mengharapkan Kepong Gangster akan meraih kejayaan pada tayangan pawagam di negara ini selain di Taiwan.

Rahsia cinta Tiz Zaqyah

SUSAH sebenarnya nak mengorek rahsia hati pelakon wanita cantik ini, semakin dikorek semakin berahsia rupanya bintang Nur Kasih ini.
Tidak lain tidak bukan apa yang Hits ingin sangat ketahui adalah perjalanan hubungan cintanya dengan pelakon kacak Remy Ishak.
Memberitahu masih berkawan dengan Remy, Tiz nampaknya kurang selesa untuk terus bercakap mengenai hal ini dengan pihak media.
"Kami masih lagi berkawan, dan kini kami sedang terlibat didalam penggambaran drama bersiri Cinta Jangan Pergi sebagai pasangan kekasih.
 
"Kalau ada jodoh kami akan teruskan. Dan saya pun, tak pernah letakkan sasaran bila akan melangsungkan perkahwinan," katanya yang baru dilantik sebagai duta produk mandian May di ibu negara baru-baru ini.
Sekian lama berkasih, Tiz memberitahu dia langsung tidak takut untuk menerima ujian di dalam hubungan yang kini sedang terjalin.

Pengorbanan Nurul buat suami

PADA saat Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd. Zin membuat pengumuman menamatkan khidmat bersama stesen televisyen TV3, lebih tepat sebagai kakitangan syarikat Media Prima kurang dua minggu lalu, banyak pihak yang terkejut.
Ramai yang beranggapan Nurul meletakkan jawatan kerana tertekan akibat digesa memohon maaf atas keterlanjuran penggunaan perkataan 'daif' dalam skrip laporan lintas langsung sewaktu Perarakan Hari Kemerdekaan ke-55 pada awal September lalu.
Muncul juga versi konon dia bakal berhijrah ke stesen televisyen lain kerana diberi imbuhan lebih lumayan, selain ada perkara berbangkit yang kurang disenangi Nurul sepanjang enam tahun sembilan bulan berkhidmat sebagai wartawan penyiaran untuk kebanyakan produk majalah stesen TV3.
Ironinya, tiada satu pun spekulasi yang bertebaran itu sahih. Hanya tuan punya badan yang cukup sinonim sebagai pengendali program Majalah 3 sejak empat tahun lalu itu ada jawapan mengapa keputusan tersebut diambil.
 
Dalam kebanyakan laporan sebelum ini, seperti mana yang ditegaskan Nurul, dia berhenti bukan kerana tekanan.
"Dikritik merupakan perkara biasa yang harus dilalui oleh mana-mana pelapor, dan ia tidak memberi tekanan kepada saya sehingga perlu membuat keputusan drastik untuk berhenti.
"Saya juga tidak pernah atau sedang ditawarkan untuk berhijrah dengan stesen televisyen lain. Ia juga tiada kena-mengena dengan soal bayaran," ujarnya petah saat ditemui dalam satu sesi fotografi baru-baru ini.
Wanita berusia 28 tahun itu kemudian menjelaskan, keputusan untuk meninggalkan lapangan kewartawanan secara rasmi telah dibuat sehari selepas dia memakai tudung, iaitu pada tarikh 21 Ramadan yang lalu. Dia kemudian menghantar surat peletakan jawatan dengan notis sebulan sebelum tamat perkhidmatan pada awal September lalu.
"Sehari selepas memakai tudung, saya nekad untuk berhenti secara rasmi dan hanya meneruskan karier secara sambilan. Selain ia merupakan satu pengorbanan buat suami, Raja Amir Raja Azwa, saya sendiri dengan rela hati mahu memberi fokus terhadap rumah tangga. Itu sebenarnya faktor yang membuat saya berhenti," jelasnya tanpa selindung.
Tambah Nurul, selepas lebih enam bulan bernikah, dia dan suami berasa bagai ada yang tidak kena dengan kehidupan mereka. Ini kerana kesibukan mereka berdua tidak memberi ruang untuk dia dan suami menikmati kehidupan normal sebagai suami isteri.
"Jadi kami duduk berbincang. Sesuatu harus dikorbankan dan saya memilih untuk berbuat demikian. Selepas setahun lebih berkahwin, saya rasa ini adalah masa yang tepat untuk saya berhenti.
 
"Sementelah saya juga berasa masih muda dan mahu membuat perkara lain seperti melanjutkan pelajaran," tambah Nurul lagi.
Mengaku rasa cinta terhadap bidang penyiaran masih ada, Nurul merasakan membuat keputusan untuk melepaskan jawatan sebagai wartawan penyiaran bukan sesuatu yang mudah, namun dia harus berani untuk keluar daripada kepompong kehidupan sebelum memegang status isteri.
Bukan dikongkong suami, sebaliknya kata Nurul, dia memerlukan ruang untuk diri sendiri berehat daripada kesibukan yang telah meragut banyak masa senggangnya.
 
Jelas Nurul lagi, sebelum berumah tangga, dia tidak pernah berasa lelah untuk sentiasa sibuk di lokasi, malah amat mencintai dunia kewartawanan. Enam tahun sembilan bulan bergelar wartawan penyiaran adalah perkara paling hebat yang pernah berlaku dalam hidupnya. Dia mengakui dunia kewartawanan telah mengajar 1,001 perkara tentang kehidupan selain memberi banyak pengalaman yang tidak mungkin diperoleh dalam pekerjaan lain.
Jika ramai khalayak melihat aura dan pesona dirinya di kaca televisyen, namun realitinya, sebelum didandan lawa dan siap sebagai produk untuk dipertontonkan, Nurul sebenarnya melakukan segala perkara asas seperti - bermula daripada mencari bahan, mengatur temu janji, membuat skrip dan semua kerja belakang tabir.
"Ia memenatkan, namun hal itu akan selalu membuat saya rindu tentang dunia kewartawanan kerana saya tak pernah menganggap diri sebagai seorang personaliti televisyen. Saya merupakan seorang wartawan penyiaran, dan itu juga jawatan yang tertulis dalam kontrak kerja saya," katanya berseloroh.
Ditanya bagaimana kehidupannya selepas berhenti kerja, sambil ketawa si manis berlesung pipit ini memberitahu, dia belum terasa bahang kebosanan lagi. Ini kerana Nurul berasa masih baru berhenti kerja dan sedang sibuk menguruskan keperluan ibu bapanya yang bakal menunaikan haji.
Kini, Nurul hanya mengendalikan program Malaysia Hari Ini (MHI) pada setiap hari Khamis dan Jumaat. Sengaja dia memilih MHI berbanding Majalah 3 kerana program tersebut (Majalah 3) menuntut komitmen yang besar berbanding MHI yang hanya memerlukan dia berada di set dua kali seminggu dan untuk tempoh waktu yang tidak panjang.
 
Ditebak adakah stesen televisyen lain telah menawarkan pekerjaan kepadanya, pantas dia menggeleng, dan sekali gus memberitahu: "Belum, mungkin sebab muka saya ini terlalu sinonim dengan TV3. Tapi jika ada yang berminat, saya tidak menolak, hanya ia bukan dalam masa terdekat. Buat masa ini, saya masih selesa bersama TV3 dan mahu menjalani rutin hidup normal yang baru bermula."
Sementara menjawab persoalan tentang program bagaimana yang diimpikannya jika diberi peluang pada masa hadapan, Nurul tidak mengambil masa yang lama untuk berkongsi keinginannya.
Katanya: "Kalau ada peluang, saya teringin punya program masakan dan bual bicara seperti program Rachel Ray. Saya memang bukan pakar masakan seperti peserta program masakan Masterchef, tapi saya begitu tertarik untuk punya program masakan kerana berpendapat memasak perlu ada seni dan sains memasak. Dalam masa yang sama, jika mengikut format seperti Rachel Ray, ada bual bicara tentang isu semasa. Hal ini yang membuat saya berangan punya program seperti ini."
 
Kisah peribadi
Selepas setahun lebih memegang status isteri, ujar Nurul, hal yang paling membahagiakannya apabila dia tidak lagi perlu berhadapan dengan persoalan tentang kisah peribadinya. Faham benar bahawa sebagai orang terkenal kisah peribadi antara yang paling ingin digali banyak orang, namun ada kala, kata Nurul, dia lelah melayan hal seumpama itu, terutama yang memberi impak kepada keluarga.
"Saya kira beberapa tahun sebelum berkahwin merupakan antara tahun paling sukar untuk saya apabila kisah cinta saya terus digali. Berbeza selepas berkahwin, saya rasa sangat selesa apabila semua hal peribadi tidak lagi dipersoalkan.
"Saya juga punya suami untuk melindungi dan membimbing saya. Malah, saya suka apabila orang lebih menghormati saya sebagai seorang wanita yang memegang status isteri dengan memanggil saya puan," katanya sambil tersenyum manis.
Kini selepas punya banyak masa untuk diluang sebagai seorang isteri, dia berasa teruja memasak untuk suami selain melayan kehidupan harian mereka dengan sempurna

Kuasa luar biasa Fizo Omar

DEMI kerana selalu menjadi mangsa ejekan kawan sendiri, Halim Bin Munan (Fizo Omar) mula memasang angan-angan yang pelik.
Dia teringin menjadi halimunan untuk membalas dendam terhadap perbuatan Ajak (Zul Suphian), Pawi (Syuk Balas) dan Kimi (Fendi Balas) terhadapnya selama ini. Mereka memang suka mengejeknya kerana bersikap lurus bendul, malah namanya sendiri pun agak pelik.
Halim selalu menganggap dirinya tidak dapat dilihat orang dan dia cukup suka menari. Sejak kecil lagi, perangainya tidak pernah berubah dan angan-angannya menjadi halimunan juga tidak pernah lupus daripada kotak ingatannya.

Sehinggalah suatu hari orang kampung memfitnahnya mengintai Suriyati (Intan Ladyana), anak gadis Arsyad (Kaza). Bagaimanapun, ibu Halim, Munah (Khatijah Tan) tidak mempercayai tuduhan terhadap anaknya kerana dia tahu Halim tidak pernah mengganggu hidup sesiapa apatah lagi mengintai anak dara orang.

Untuk membersihkan namanya, Halim nekad untuk menjadi halimunan sebenar sehingga dia sanggup melakukan apa saja bagi melaksanakan hajatnya itu lalu dia berjumpa dengan seorang bomoh, Wak Mali (Wan Hanafi Su) yang kemudiannya meminta dia membawakan separuh kain kapan perempuan mati pada hari Jumaat.

Halim kemudiannya pergi ke kampung sebelah dan menjumpai kain kapan seperti yang dikehendaki oleh Wak Mali, tetapi belum sempat dia menimbus semula kubur itu, orang kampung datang menyerang dan Halim terus lari sekuat hati sambil membaca jampi serapah yang diberikan Wak Mali.

Pada masa sama mayat dalam kubur itu hilang dan sejak itu kampung diganggu hantu pocong yang mencari kain kapan yang dicuri Halim tempoh hari. Halim sebenarnya tersalah kubur dan akhirnya mendapat tahu kubur itu milik siapa?

Anda sendiri akan mendapatkan jawapannya apa yang berlaku kepada Halim dan orang kampung yang tidak lagi tenteram lagi apabila menonton filem komedi seram itu di panggung mulai 13 September ini.

Halimunan menjadi buah tangan terbaru pengarah Hashim Rejab yang sebelum ini pernah mengarah filem Sekali Lagi, Papa I Love U , 3 Temujanji dan terbaru, Budak Pailang. Filem ini diterbitkan oleh RR Empire Sdn Bhd, edaran Metroweatlh Sdn Bhd (MIG).

Menurut Hashim, filem ini bukan saja menjanjikan kelainan kepada penonton, malah memberi cabaran terbaru kepadanya kerana filem yang menelan belanja RM2 juta itu menggunakan 80 peratus teknik Imej Janaan Berkomputer (CGI).

Hashim berharap peminat filem Melayu seronok dan puas hati menonton filem itu kerana katanya dia berhadapan dengan cabaran besar untuk menghasilkannya.

"Bukan saja saya, sebaliknya pelakon dan petugas juga berhadapan cabaran sama kerana untuk menghasilkan filem yang menggunakan teknik CGI yang sangat rumit. Paling kurang untuk setiap babak, rakaman syot mesti diambil empat kali dan keadaan itu sangat meletihkan dan menggunakan 'green screen'.

"Bagi menepati durasi penggambaran selama 40 hari, meskipun sukar setiap hari saya mesti siapkan dua atau tidak babak. Filem ini siap dua tahun lalu. Untuk proses CGI saja mengambil masa setahun!

"Watak Fizo yang bertukar menjadi halimunan juga terpaksa 'dihilangkan' melalui proses CGI berperingkat sehingga keseluruhan dirinya menjadi halimunan, tetapi masih menggunakan pergerakannya ketika dia masih menjadi manusia yang boleh dilihat.

"Fizo hanya muncul sebagai manusia biasa dalam 30 peratus babak saja dan selebihnya sebagai halimunan. Proses lebih rumit berlaku apabila halimunan muncul dalam babak yang ada imej lain bergerak sama seperti kenderaan dan orang berjalan yang terpaksa melalui proses suntingan berperingkat sebanyak beratus malah yang sampai beribu kali!

"Sebelum filem ini masuk ke lokasi, terlebih dulu dibuat penggambaran percubaan untuk melihat sejauh mana proses CGI kita itu berjaya atau tidak. Selepas CGI siap, ia ditunjukkan kepada produser.

"Meskipun terpaksa melalui tempoh penggambaran yang sukar, tetapi selepas siap semuanya, saya sangat berpuas hati. Inilah pelajaran baru dan pengalaman yang sangat berguna kepada saya," katanya.

Lokasi penggambaran antaranya dibuat di Sijangkang, Selangor dan kawasan kampung sekitar Hulu Langat.

Rosyam Nor terima sarjana kehormat dari Universiti Malaysia Kelantan

KOTA BHARU 16 Sept. - Walaupun gagal dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Mohd. Noor Shamsuddin, 45, atau lebih dikenali dengan nama glamor, Rosyam Nor terharu apabila Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menganugerahkannya Ijazah Sarjana Seni (Keusahawanan Industri Kreatif) pada majlis konvokesyen kedua universiti itu hari ini.
 
Rosyam yang memulakan kerjayanya sebagai pencuci tandas sebuah syarikat produksi 26 tahun lalu berkata, penganugerahan tersebut adalah satu pengiktirafan kepada industri seni tanah air khasnya lakonan dan perfileman yang kini sedang menuju era baru.
Pada masa sama, katanya, ia juga sebagai pembakar semangat kepada generasi muda agar tidak berputus asa walaupun pernah gagal, sebaliknya harus memperkasakan diri dengan kemahiran tertentu.

Tiz, Remy bercinta di Eropah

TAHU hakikat bercinta lama bersama Remy Ishak bakal mengundang 1001 masalah kepada hubungan mereka, akui Tiz Zaqyah, dia sanggup menghadapinya.
"Ya, saya boleh terima apa jua keadaan pada hubungan kami ini," jelasnya ringkas tatkala diajukan soalan tentang dia tidak gentar bercinta lama dengan Remy. Hubungan cinta mereka boleh dihitung melebihi usia dua tahun.
Tidak meletakkan sasaran bila mereka akan berkahwin, ulas Tiz, dia hanya berserah kepada jodoh.
Katanya, jika ditakdirkan mereka berkahwin dalam masa terdekat ini, dia tidak menolak ketentuan itu.
"Saya tidak merancang dan meletakkan sasaran bila akan berkahwin. Kalau ada jodoh saya kahwin. Kalau dalam masa terdekatpun saya terima. Namun begitu saya juga berharap ketika itu keadaan saya sudah stabil," ulasnya ketika ditemui pada majlis pengumuman duta terkini produk kecantikan May di Flora Terrace, Kuala Lumpur.
Tiz sendiri enggan mengulas lanjut mengenai hubungannya bersama Remy kerana memang pendiriannya tidak mahu menjaja kisah peribadinya melebihi kisah kerjaya lakonan.
Bagaimanapun, pada hari itu, dia berkongsi cerita cintanya bersama media kerana ingin menutup spekulasi bahawa hubungannya dengan Remy dilanda masalah.
Ini kerana sebelum ini banyak spekulasi mengenai hubungan mereka timbul. Ada yang mengatakan hubungan mereka sudah putus selepas isu Remy tidak menerima layanan yang baik dari Tiz ketika pelakon filem Jiwa Taiko itu sakit.
Ada juga mendakwa Tiz tidak tahan lagi dengan sikap panas baran Remy, namun semuanya itu sekadar gosip yang mematangkan hubungan mereka.
Bercuti ke Eropah
 
Tiz juga berkongsi rasa terujanya apabila dia dan Remy bakal bercuti ke Eropah, seterusnya menjayakan penggambaran drama arahan Kabir Bhatia iaitu Cinta Jangan Pergi pada pertengahan bulan Oktober ini.
"Mungkin 15 atau 18 Oktober ini saya akan terbang ke Eropah untuk menjayakan penggambaran drama Cinta Jangan Pergi bersama Remy. Sesi penggambaran akan diadakan di beberapa lokasi seperti London, Paris dan New Zealand yang memerlukan kami berada di sana selama 20 hari," ulasnya yang sekali lagi akan menjayakan watak kekasih kepada Remy dalam drama 26 episod itu.
Mengulas mengenai wataknya dalam drama tersebut, ujar Tiz, dia membawakan watak Lea Soraya yang memerlukannya berambut pendek.
"Lea merupakan seorang wanita yang sangat teratur dalam menguruskan hidupnya. Cinta Jangan Pergi menceritakan kisah percintaan Lea Soraya dan Khalil (lakonan Remy) yang sama-sama menuntut di sebuah universiti di London," terang Tiz.
Menurut Tiz, dia sangat berbesar hati melakonkan watak Lea Soraya kerana penulis skrip tersebut iaitu Mira Mustaffa yang juga isteri kepada Kabir Bhatia, mengilhamkan watak tersebut khusus buat dirinya.
 
Ulas Tiz, drama bersiri tersebut akan ditayangkan di TV9 selepas tamat sesi penggambaran kelak.
Terang pelakon itu lagi, ketika ini hanya drama bersiri tersebut yang menjadi keutamaannya memandangkan dia tidak mengambil tawaran lain.
"Saya cuma fokus pada satu kerja sahaja. Saya tidak mampu buat banyak kerja dalam satu masa. Lagipun penggambaran drama ini akan mengambil masa selama tiga bulan. Jadi saya perlu fokus dan memberi komitmen kepada produk ini," jelasnya.
Tidak tercabar
 
Ditebak soalan adakah dia berasa tercabar dengan kehadiran artis-artis baharu di persada seni seperti Neelofa, Anzalna, Izara Aishah dan Tasha Shilla, ujar Tiz, dia tidak merasakan persaingan wujud di antara dia dengan artis-artis baharu.
Baginya, dia berlakon untuk memberi kepuasan kepada dirinya, dan menganggap ia merupakan satu pekerjaan.
"Bila berlakon, saya tidak terfikir untuk bersaing tetapi gembira dengan apa yang saya lakukan. Lainlah kalau saya berlakon untuk mendapatkan anugerah," jelasnya.
Mengulas lanjut, kata Tiz, apa yang penting baginya adalah sentiasa memperbaiki mutu lakonannya agar ia sentiasa mendapat tempat di hati penonton.
Tiz juga memberitahu, adalah penting bagi seorang pelakon itu memilih watak dan jalan cerita daripada menerima segala tawaran yang datang.

Mengenang Yasmin Ahmad

HAMPIR tiga tahun Yasmin Ahmad meninggalkan kita tetapi apa yang ditinggalkan seperti masih hidup sehingga hari ini. Semakin lama tarikh pemergian Yasmin ditinggalkan, semakin menebal rindu ahli keluarga, sahabat handai dan para pencinta karya seninya.
Kenangan yang ditinggalkan oleh Yasmin cukup besar pengaruhnya kepada seluruh peminat karyanya. Filem-filem kontroversi dan iklan-iklan televisyen yang cukup manis masih didambakan biarpun semua itu sudah tidak bererti lagi.
Untuk terus mengenang jasa dan pengorbanan yang telah ditinggalkan, buku Yasmin How You Know telah dilancarkan pada hari Isnin yang lalu bertempat di Kinokuniya, KLCC.
 
Dalam suasana yang cukup santai, buku ini sebenarnya menjadi tanda ingatan kepada Yasmin. Di luar jangkaan ramai, buku ini sebenarnya mengandungi anekdot dan pesan yang pernah ditinggalkan oleh Yasmin kepada orang disekelilingnya ketika hidup.

Pelakon marah penerbit

LOS ANGELES 13 Sept. - Pelakon filem anti-Islam yang mencetuskan rusuhan di Libya dan Mesir, hari ini melahirkan kemarahannya kerana mereka telah dieksploitasi oleh penerbit filem tersebut.
Saluran televisyen CNN yang memetik kenyataan bersama pelakon dan kru filem itu sebagai berkata, mereka sedih dan merasa dipergunakan oleh penerbit.
''Kami 100 peratus tidak menyokong filem itu... Kami terkejut dengan perubahan skrip dan penipuan terhadap semua yang terlibat,'' kata kenyataan itu.
Seorang daripada pelakon tersebut, Cindy Lee Garcia yang memegang watak wanita yang menyerahkan anaknya untuk dikahwinkan dengan watak yang didakwa Nabi Muhammad berkata, dia tidak tahu filem itu merupakan propaganda anti-Islam dan dialog yang digunakan telah diubah selepas penggambaran.
Garcia berkata, dia diminta untuk berlakon dalam filem bertajuk Desert Warrior pada tahun lepas.
 
''Ia sepatutnya mengenai kehidupan pada 2,000 tahun lalu. Tidak ada apa-apa mengenai Nabi Muhammad atau perkara lain.
''Ia tidak seperti apa yang berlaku semasa penggambaran. Klip video yang ditayangkan sangat pelik,'' katanya.
Perubahan dialog tersebut dapat dilihat dalam klip filem selama 14 minit melalui dalam talian dengan beberapa perkataan dimasukkan termasuk nama Nabi Muhammad dan Islam dalam dialog yang diucapkan pelakon.
Sementara itu, perunding skrip filem tersebut, Steve Klein mendakwa tajuk asal filem tersebut adalah Innocence of Bin Laden.
Katanya, filem itu ditayangkan di Vine Theater pada hujung Jun dan hanya ditayangkan di Hollywood sahaja. - AFP/REUTERS/AGENSI

Zizan Pertimbang Tawaran Jadi Penyampai Era FM

Selepas pelawak Nabil dan Johan bergelar penyampai radio di Suria FM dan Era FM, kini giliran Zizan Razak pula mengikut jejak langkah rakan seperjuangan apabila dia dikatakan telah menerima tawaran menertai stesen radio Era FM. 
"Saya perlu memikirkan segala kemungkinan yang akan berlaku sebelum bersetuju menerimanya. Saya akan berjumpa dengan pengurus saluran Era FM, Nazri Noran dalam masa terdekat ini untuk berbincang mengenainya," katanya kepada Sinar Harian Online. 
 
Zizan mengakui telah menerima tawaran tersebut sejak sebulan lalu dan jika bersetuju dengan tawaran ini, dia akan bergandingan dengan Aznil Haji Nawawi (Pak Nil) menerusi slot 'Carta Era 40 Bersama Aznil' yang ke udara setiap Sabtu.
 
Dalam perkembangan lain, Zizan akan tampil bersama Johan (Jozan) untuk menjayakan Lawak Ke Der 2 di IB bermula 28 September hingga 3 Oktober. Selain itu, dia juga akan muncul dengan filem terbaru, Hantu Kapchai yang akan mula ditayangkan pada 27 September ini. 

Zed Zaidi Hilang Kereta

Pernah kehilangan kereta Toyota pada tahun 2007, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi, 32, berdepan perkara sama sekali lagi.
Zed yang dihubungi Sinar Harian mengakui kereta keduanya itu dipercayai dicuri di kediamannya, Kondominium Perdana View, Damansara Perdana, 4 September lalu.
 
Jelas Zed, dia menyedari perkara itu selepas pulang dari membeli-belah bersama isteri, Natalia Mustafa Kamil, 29, dan anak mereka Ryan Ziqry yang baru berusia dua bulan.
 
"Isteri saya yang pakai kereta itu dan kami baru pakai dua tahun.
 
"Saya tak perasan bila lagi kereta itu hilang, sehinggalah semalam (Selasa).
 
Enggan mendedahkan jenis keretanya yang hilang itu, Zed bagaimanapun meluahkan rasa kecewa kerana alat pengesan yang dipasang pada kereta buatan tempatan itu gagal berfungsi.
 
"Mungkin penjenayah itu mempunyai kepakaran mencuri kenderaan.
 
"Saya menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati agar kejadian seperti ini tidak berlaku," ujarnya.
 
Dalam pada itu, isterinya telah membuat laporan polis di Balai Polis Mutiara Damansara.

Selepas Seminggu DiKritik, Peminat Aaron Aziz Terima Nadiya Nisaa.

"Masa minggu pertama ditayangkan, banyak komen di Twitter dan Facebook dari peminat Aaron. Mereka marah sebab kata mereka, saya tak cantik. Tak sepadan berganding dengan pelakon kacak seperti Aaron. Ada juga yang persoalkan kebolehan saya," ujar Nadiya Nisaa. 
Seminggu selepas ditayangkan, dia dikritik dan menerima komen-komen negatif daripada segelintir peminat fanatik 'heronya' iaitu Aaron Aziz yang membawakan watak Adam. Namun Nadiya mengambil pendekatan bertenang dan menerima dengan terbuka segala kritikan yang dilemparkan terhadapnya.
 
"Lepas minggu kedua, saya sudah mula dapat maklum balas yang positif. Ada yang sudah boleh menerima saya sebagai Hawa di dalam drama ini. Mungkin ada yang tak baca novelnya. Sebab, karakter Hawa tu dari luaran sebenar seorang yang biasa-biasa saja. Tapi dia punya satu tarikan yang buat Adam jatuh cinta padanya " ujar Nadiya merujuk pada Adam & Hawa.
 
"Masa dapat kritikan itu, isteri Aaron sendiri iaitu Diyana Halik sentiasa memberikan saya sokongan dan menyuruh saya agar sentiasa positif. Begitu juga dengan suami saya

Dr Asri puji tindakan Ning Baizura tarik diri

TINDAKAN penyanyi bersuara soprano, Ning Baizura menarik diri daripada menjayakan acara persembahan 'Guinness Arthur's Day' yang bakal berlangsung 28 September ini di Souled Out, Mont Kiara, mendapat pujian daripada bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Dr Mohd Asri yang juga merupakan Pensyarah Bahagian Pengajian Islam di Universiti Sains Malaysia mengucapkan tahniah di atas penarikan dirinya daripada program terbabit dengan berkata,
 
"saya ucapkan tahniah kepada Ning."
"Ini adalah sikap yang baik," katanya.
Asri turut menjelaskan, "sekiranya sebarang persembahan yang diadakan dipercayai mempunyai kaitan dengan kempen mempromosi minuman keras sama ada secara langsung atau tidak langsung, ia adalah haram."
Beliau mengulas mengenai pembabitan artis beragama Islam yang terlibat dalam persembahan meraikan ulang tahun syarikat minuman keras terkemuka itu.
Selain itu, Asri menyeru semua artis untuk memperbaiki diri dengan mendekati asas-asas agama dengan sebaiknya.
"Maksud saya di sini bukanlah untuk menggesa mereka menjadi pendakwah sebaliknya untuk memastikan mereka mempunyai asas agama yang kukuh untuk tidak melanggar batas agama walaupun mereka terlibat dalam bidang hiburan," katanya.
Ketika diminta mengulas mengenai seorang lagi penyanyi yang terlibat dalam konsert itu, Mizz Nina, Asri berkata, "saya percaya dia (Mizz Nina) sebagai seorang Muslim, unsur baik ada dalam diri dia dan saya berharap dia menarik diri."
 
Ning, 37, dikatakan menarik diri daripada persembahan itu selepas penyalahgunaan gambarnya pada poster promosi acara itu.
Penyanyi itu dukacita di atas penyalahgunaan gambarnya pada poster promosi mengenai penglibatannya dalam persembahan acara 'Guinness Arthur's Day' yang akan berlangsung di Bukit Kiara.
Ning berkata dia tidak terlibat langsung dalam promosi jenama arak itu dan gambarnya telah digunakan tanpa mendapat persetujuan daripada pihaknya.
Pihaknya turut menjelaskan bahawa Ning telah ditempah oleh pihak pengurusan Souled Out untuk membuat persembahan pada tarikh itu dan bukannya didampingi oleh Guinness Anchor Berhad.
Pengurusan penyanyi itu turut berkata, pihaknya sentiasa berhati-hati supaya tidak mengaitkan persembahan Ning dengan mana-mana syarikat yang mempromosikan minuman keras.

Rozita belum ada calon suami

SELAGI Rozita Che Wan tidak berkahwin, selagi itulah isu perkahwinan sering sahaja membelenggu diri pelakon jelita yang mesra disapa Che Ta ini.
Selepas digosipkan bercinta dengan Shahir AF8, Zain Saidin dan Beego, terbaharu dia digosipkan bakal menamatkan zaman jandanya dengan seorang ahli perniagaan bernama Bob.
Berikut jawapan yang diberikan Rozita kepada Kosmo!.
Kosmo!: Benarkah Che Ta bakal berkahwin dengan Bob?
ROZITA: Cerita itu tidak benar. Semuanya adalah fitnah. Mana ada saya hendak berkahwin dengan seorang ahli perniagaan.
Macam mana gosip tersebut boleh timbul jika ia tidak benar?
Mungkin gosip itu timbul sebab saya masih tidak kahwin-kahwin lagi.
Adakah anda mengenali lelaki bernama Bob itu? Khabarnya juga anda sebaya dengan Bob?
Saya langsung tidak kenal dia. Saya juga tidak ada berkawan dengan ahli perniagaan bernama Bob.
Apakah perasaan anda bila timbulnya gosip ini?
Rasa sedih, kecewa dan kelakar pun ada. Saya takut juga jika lelaki yang digosipkan itu sudah berkahwin. Tak pasal-pasal saya bergaduh pula dengan isterinya.
Jadi bila anda akan berkahwin?
Macam mana hendak kahwin jika calon pun belum ada. Hendak cari lelaki berduit memang senang, tetapi hendak cari lelaki yang baik, susah.
Lelaki yang bagaimana anda mahukan?
Saya mahukan lelaki yang fleksibel dan tidak suka lelaki yang keras kepala. Saya juga tidak suka dengan lelaki yang sudah berkahwin.
Apa perkembangan terbaharu anda?
Sekarang saya sedang sibuk di lokasi drama Bila Papa Masuk U dan bakal menjalani penggambaran di Jepun untuk telefilem Kiah Pekasam. Saya juga bakal bercuti ke negara Eropah iaitu Paris dan London bersama Ayu (Raudhah) selepas penggambaran Kiah Pekasam.

Farid Kamil sedia jadi ikon PDRM

Pelakon terkenal, Farid Kamil, bersedia galas tanggungjawab besar sebagai 'ikon' Polis Diraja Malaysia (PDRM), terutama dalam mempromosi pencegahan jenayah menerusi program program kepolisan berprofil tinggi (HPP) yang dilaksana pasukan itu.

Kesediaan itu disuarakan sendiri Farid ketika ditemui selepas menyertai PDRM sempena program HPP di perkarangan Jetty Point, di sini, semalam.
Dalam program itu, Farid yang ditemani Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Salleh Mat Rasid, turun padang mengedarkan cenderamata serta risalah berkaitan pencegahan jenayah kepada penduduk tempatan serta pelancong asing.

Turut serta Timbalan Pengarah KDNKA, Datuk Fuad Abu Zahrin; Komander Pasukan Gerakan Marin, Datuk Isa Munir; dan Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintenden Harrith Kam Abdullah.


Bantu tangani jenayah

"Saya bersedia bila-bila masa saja untuk menjadi ikon tetap kepada PDRM, khususnya dalam usaha menangani jenayah melalui HPP.

"Kalau saya tidak bersedia, tak mungkin saya akan ada bersama PDRM dalam program hari ini (semalam)," katanya ringkas.

Sementara itu, Salleh ketika ditemui berkata sehingga kini pelakon yang menjadi pujaan ramai remaja itu hanya menyertai program PDRM secara suka rela.
Beliau berkata, pihaknya sedia melantik Farid sebagai ikon dalam program HPP. Bagaimanapun ia tertakluk kepada kelulusan pihak atasan PDRM.

"Kesediaan Farid selaku artis pertama yang menawarkan diri untuk bersama PDRM dalam program turun padang itu patut disanjung semua pihak, sekali gus menyemarakkan hubungan polis dengan artis serta masyarakat.

"Kebanyakan orang awam yang ditemui memberikan kerjasama tinggi dan berharap usaha polis bersama artis ini akan berterusan bagi menangani kes jenayah di seluruh negara," katanya.

Mengulas HPP, katanya program itu yang dilaksanakan sejak tahun lalu menunjukkan komitmen sebenar polis kepada masyarakat dalam menangani kes jenayah selain memberikan keyakinan kepada mereka bahawa Malaysia adalah negara paling selamat dan aman.

Datuk Siti - Perniagaan makin berkembang

1. Mula menonjolkan bakat nyanyian ketika usia enam tahun.
2. Lagu Camar Yang Pulang (nyanyian asal Aishah) memberi tuah buat Siti apabila merangkul juara program Bintang Hiburan Minggu Ini (HMI) 1995.
3. Ketika merakamkan album pertamanya pada 1996, Siti juga perlu membahagikan masa dengan persiapan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
4. Mendapat jolokan 'Asia's Celine Dion' oleh akhbar British yang membuat ulasan konsert solonya di Royal Albert Hall, London pada April 2005.
5. Siaran langsung majlis resepsi perkahwinannya dengan Datuk K di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur disaksikan 6.307 juta penonton.
6. Dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang membawa gelaran Datuk, dua bulan selepas perkahwinannya.
7. Rakyat Malaysia pertama diberi penghargaan berjalan di karpet merah Anugerah Grammy 2007.
8. Mengagumi Tan Sri P Ramlee dan Sudirman, manakala artis antarabangsa diminatinya ialah Barbara Streisand dan Celine Dion.
9. Produk SimplySiti dinobatkan sebagai Produk Halal Terbaik kategori kosmetik oleh majalah Halal Journal.
10. Pertama kali berlakon dalam Teater Muzikal P Ramlee (2007) di Istana Budaya membawakan watak Azizah

Kami hanya kawan baik - Zizan

SUDAH namanya artis, segala tindak-tanduk yang dilakukan pasti ada sahaja mata yang akan memerhatikan mereka. Selepas itu, pasti ada berita yang kurang elok akan kedengaran dan disebarkan.
Kisah cinta antara Zizan Razak dan pelakon cantik manis, Juliana Evans sudah lama bertebaran di Internet malah di media cetak sekalipun nama pasangan ini semakin hari semakin kerap diperkatakan.
Sebelum ini, mereka berdua pernah dikatakan menjalinkan hubungan cinta lokasi ketika dipertemukan buat pertama kali dalam sebuah filem arahan Ahmad Idham, Hantu Bonceng.
 
Namun begitu, tiada istilah cinta lokasi yang wujud antara mereka. Rapat memang rapat namun jarang ada sesi pertemuan yang dibawa keluar selain di lokasi penggambaran.
Zizan ketika ditanya mengenai perkembangan hubungannya bersama Juliana yang lebih mesra disapa Jue mengambil sikap jujur mengakui bahawa mereka berdua hanya kawan baik sahaja.

Izara Aisyah Makin Menjadi

POPULARITI Izara Aisyah, 20, semakin melonjak sejak membintangi siri Vanila Coklat. Selain banyak menerima tawaran lakonan, aktres cantik ini juga dilamar menjadi duta produk penjagaan peribadi, Secret Garden.
Jika di awal kariernya dulu, nama bekas finalis Dewi Remaja 2010/11, kurang dikenali berbanding rakan seangkatannya, Neelofa dan Anzalna namun kini tuah lebih berpihak kepadanya.
 
Sedang membintangi siri Naziha di slot Zehra, TV3, Izara semakin pantas mencipta nama. Selain memiliki pakej lengkap, artis kelahiran Johor Bharu ini juga sangat berbakat dalam lakonannya. Malah hampir semua drama yang dibintanginya mendapat pujian peminat. 
Mampu tersenyum lebar dengan pencapaiannya kini, gadis kecil molek ini nekad memberikan yang terbaik dalam setiap lakonannya.
Tahniah diucapkan kepada Izara dan semoga terus memenangi hati peminat!

Mahu dalami ilmu agama

Aaron Aziz Jadi Penyampai Radio ERA fm, Kendali Segmen Doktor Cinta

Perkembangan terbaru pelakon kacak Aaron Aziz – beliau kini dilaporkan mengembangkan lagi bakat seninya dengan menjadi penyampai radio Era FM. Berita ini disahkan sendiri oleh pengurus saluran Era FM, Nazri Noran, pagi tadi kepada portal Murai.
"Mulai Jumaat depan iaitu 14 September 2012, Aaron bakal mengendalikan segmen Doktor Cinta ditemani seorang lagi penyampai radio iaitu Shac. Segmen selama dua jam ini akan disiarkan bermula jam 9 malam hingga 11 malam.
"Menerusi segmen ini, Aaron akan menjawab panggilan daripada peminat yang menghadapi masalah serius dalam bercinta. Segmen ini juga menggantikan segmen Dr Love," katanya.
Selepas ini, sesiap yang mempunyai masalah cinta, anda bolehlah bertanyakan kepada Aaron Aziz dengan menghubungi ERA fm.

 
aaron-aziz-penyampai-radio-era

Nurul Syuhada Tinggalkan TV3 Bukan Kerana ‘Tudung’?

Personaliti TV3, Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zin menjelaskan peletakan jawatannya sebagai wartawan penyiaran di stesen televisyen itu bukan kerana imejnya yang sudah berhijab.
Nurul Syuhada, 28, sebaliknya berkata, keputusan itu dibuat kerana dia ingin memberi tumpuan kepada perkara lain serta berhasrat menyambung pelajarannya pada peringkat sarjana dalam bidang Psikologi atau Tamadun Islam.
 
"Peletakan jawatan saya tiada kena mengena dengan perubahan saya sekarang sebaliknya pihak pengurusan TV3 juga menyambut baik penghijrahan itu.
"Lagipun sepanjang enam tahun bersama TV3, mereka sentiasa menyokong saya," katanya pada majlis Rumah Terbuka Media Prima Berhad di sini pada Khamis.
Peletakan jawatan tersebut berkuat kuasa Jumaat (hari ini).
 
Dalam pada itu, Nurul yang juara Malaysian Top Host memberitahu dia juga akan melepaskan tugasnya sebagai pengacara Majalah Tiga dan hanya akan berkhidmat secara sambilan untuk program Malaysia Hari Ini (MHI).
Nurul memberitahu dia sedih dengan keputusan itu tetapi mempunyai perancangan lain selepas lebih setahun mendirikan rumah tangga termasuklah memikirkan hasrat menimang cahaya mata
"Sedih memanglah kerana terpaksa tinggalkan kerjaya yang amat saya cintai. Tetapi saya anggap ini sebagai satu perubahan dalam hidup untuk menjadi seorang yang lebih baik," katanya.
 
 
Pada 2 September lalu, Nurul dan TV3 membuat permohonan maaf secara terbuka selepas dikritik kerana ulasannya dengan menyebut bandar Bintulu, Sarawak yang akan menjadi lokasi sambutan Hari Malaysia pada 16 September depan sebagai bandar daif sebelum ini.
Ulasan itu dibuat ketika beliau mengadakan lintas langsung sempena perarakan Hari Kemerdekaan ke 55 pada 31 Ogos lalu.
Dalam permohonan maaf itu Nurul tidak bermaksud menghina bandar tersebut sebaliknya ia telah disalah tafsir oleh orang ramai.
Nurul yang telah berkahwin dengan Raja Amir Syah Raja Azwa, 30, pada 16 Julai 2011, memulakan tugasnya di TV3 sebagai pengacara Nona.

Notis berhenti sebulan lalu

Personaliti televisyen terkenal, Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zin, 28, semalam mengumumkan meletak jawatan sebagai pengacara tetap TV3 tetapi menafikan ia berpunca kontroversi isu Bintulu, Sarawak.

Pengacara Malaysia Hari Ini (MHI) yang ditemui di majlis rumah terbuka Media Prima Berhad di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara menjelaskan, dia meletak jawatan sebagai pengacara sepenuh masa TV3 kira-kira sebulan lalu. Malah, katanya, inilah hari terakhir dia menggalas tugas itu.
Sebenarnya, notis peletakan jawatan saya hantar sebulan lalu. Perkara ini tiada kaitan dengan insiden barubaru ini.
"Saya berharap orang ramai tidak mengaitkannya dengan isu berkenaan.

Keputusan peribadi ini sudah saya buat sebulan lalu tanpa dipengaruhi kes terbabit.

Ini semuanya takdir serta kebetulan, katanya.

 
pix_gal0
Nurul Syuhada letak jawatan pengacara sepenuh masa TV3, nafi isu Bintulu jadi punca
 
Mahu sambung belajar
Nurul Syuhada menjelaskan, dia masih berkhidmat dengan TV3 separuh masa.

Saya mengambil keputusan untuk bekerja separuh masa. Bidang penyiaran tetap di hati, apatah lagi sudah banyak asam garam saya kutip sepanjang bergelar pengacara, katanya.

Katanya, dia mahu memberi lebih tumpuan kepada keluarga dan jika diizinkan, mahu menyambung pengajian ke peringkat sarjana.

Sebelum ini, saya mengikuti pengajian peringkat sarjana dalam bidang geokimia, tapi separuh jalan saja. Jadi saya ingin meneruskan cita-cita untuk memperbanyakkan ilmu di dada.

Mungkin saya akan sambung pengajian dalam bidang psikologi atau tamadun Islam, ujarnya.

Ingin timang anak

Pengacara berhijab ini juga menangkis dakwaan kononnya mendapat tawaran istimewa daripada stesen TV lain.

Nurul Syuhada menjelaskan dia gembira bekerja bersama TV3 yang memperkenalkan dirinya kepada dunia penyiaran.

Cuma katanya, dia menginginkan ruang peribadi untuk membina keluarga dan menimang cahaya mata.

"Ini disebabkan selama enam tahun lebih saya bekerja, saya tidak pernah mengambil cuti, katanya.

Menjelaskan skop kerjayanya sekarang, Nurul Syuhada menjelaskan dia masih menjadi hos tetapi tidak lagi bertugas wartawan penyiaran pada masa yang sama.

Ditanya peluangnya untuk muncul di stesen TV lain, Nurul Syuhada menyifatkan penjenamaan dirinya begitu kuat dengan TV3 serta tidak mahu mengulas tawaran lain pada masa depan.

Erry Putra diugut bunuh

JARANG kita dengar cerita panas mengenai pelakon yang begitu popular dengan drama bersiri Nora Elena ini. Siapa lagi kalau bukan Erry Putra. Bahang populariti dia juga semakin melonjak sekarang ini apabila dia muncul dengan watak antagonis dalam drama bersiri Naziha.
 
Nak dijadikan cerita, disebabkan wataknya dalam drama itu, agaknya ada yang menyimpan dendam terhadap pelakon yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan ini.
Ia dibuktikan apabila Erry sendiri membuat pengakuan bahawa dia telah diganggu oleh seorang lelaki yang tidak dikenalinya beberapa hari lepas.
Paling mengejutkan, dakwa Erry, nyawanya turut diancam apabila lelaki tersebut mengugut untuk membunuhnya.

Diana Danielle tunang Farid Kamil

Diasak rasa tidak puas hati banyak pihak dengan tindakannya merahsiakan majlis pertunangan bersama pelakon Farid Kamil, Ahad lalu, Diana Danielle menjelaskan dia sebenarnya mahu bersederhana dalam menganjurkan majlis itu.

Dalam fikirannya, dia hanya mahu menganjurkan majlis pertunangan istimewa khusus untuk keluarga terdekat.
Diana juga berkata, kesibukan di lokasi menghalang dirinya membuat persiapan rapi.

"Kami merancang untuk bertunang sebulan lalu. Namun dek terlalu sibuk di lokasi penggambaran, saya melakukan persediaan selama seminggu saja.

"Malah, kami juga tidak membeli cincin pertunangan. Sebaliknya, cincin yang kami gunakan ialah cincin lama hadiah Farid sempena ulang tahun ketiha perkenalan kami, baru-baru ini.

"Sebenarnya, cincin itu rosak kerana berliannya terjatuh. Saya hantarnya kembali ke kedai untuk dibaiki dan dikilat," katanya yang ditemui pada pelancaran filem animasi Super Squad di Kuala Lumpur, semalam.

Sedia jadi isteri pada usia muda Biarpun tempoh pertunangan dirancang selama setahun, Diana tidak mahu terlalu teruja untuk bergelar isteri.
"Kita hanya merancang dan Tuhan penentu segala-galanya.

Walaupun sudah bertunang, saya masih yang sama. Kita pun tahu dalam masa setahun pelbagai cabaran terpaksa diharungi," katanya.

Diana yang bakal menginjak usia 21 tahun pada November ini tidak pernah menganggap dirinya muda untuk berkahwin. Baginya, soal usia tidak timbul andai seruan mendirikan rumah tangga sudah tiba.

"Apa yang penting, saya harus berfikiran matang dan ikatan pertunangan secara tidak langsung menjadikan diri bertanggungjawab," katanya.

Pengganti Erra Fazira sudah ditemui

BERMULA dengan penarikan diri Adlin Aman Ramli daripada meneruskan komitmen sebagai pengarah, produksi teater Tun Dr. Siti Hasmah kini berdepan tekanan yang lebih besar. Selesai soal teraju utama teater itu yang beralih ke tangan pengarah yang tidak asing lagi, Erma Fatima, pendukung watak sebagai mantan wanita pertama Malaysia itu pula, Erra Fazira diberitakan menarik diri.
Kini, bukan pengunduran pelakon utamanya sahaja yang menimbulkan persoalan ramai. Tarikh pementasan teater berkenaan juga dikatakan terpaksa ditunda ke 14 September gara-gara beberapa masalah melibatkan skrip serta bahagian teknikal. Ikut perancangan asal, teater Tun Dr. Siti Hasmah sepatutnya mula dipentaskan pada 30 Ogos lalu.
, dia tidak akan menyerah kalah.
"Saya ambil masalah yang berlaku sebagai ujian dan cabaran awal. Saya percaya ada hikmah di sebalik masalah ini dan pihak kami sedang menemui jalan penyelesaian. Teater ini tentang Dr. Siti Hasmah dan ia bukan kerja cincai. Semua orang mahukan yang terbaik dan saya mahu melihat senyuman Tun (Dr. Siti Hasmah) apabila beliau menyaksikan teater itu kelak.
"Selepas Adlin, sekarang giliran Erra berundur. Untuk watak Erra, pihak kami sudahpun mendapat pengesahan siapa yang bakal membawakan watak Dr. Siti Hasmah. Penjelasan lanjut berhubung nama pelakon dan kontroversi teater ini akan diumumkan dalam satu sidang media di Istana Budaya pada Jumaat ini," jelas Umie menyimpan kejutan.
Umie bagaimanapun tidak menafikan, pelakon gantian untuk watak Dr. Siti Hasmah yang dipilihnya itu sebagai pelakon wanita berkarisma yang tidak boleh dipertikaikan soal kredibiliti lakonannya. Berhubung tarikh baharu untuk pementasan yang yang dikhabarkan tidak akan terlaksana pada 14 September nanti, perkara itu juga masih dalam perbincangan.
 
"Saya tidak boleh umumkan nama dan tarikh buat masa ini, tunggu 7 September nanti," beritahu Umie ketika dihubungi Sensasi Bintang, Jumaat lalu.
Menjadi bidan terjun untuk memberi terjemahan ke atas biografi dan hidup seorang bekas wanita pertama, isteri dan ibu yang disegani dan disayangi negara, amanah yang terpikul di bahu Erma Fatima bukan satu kerja yang boleh dipandang ringan.
"Memikirkan itu projek adik saya (Umie), sebab itu saya ambil tanggungjawab mengarahkan teater berkenaan. Tapi bila di tangan saya, persepsi saya dan Adlin berbeza. Saya kena tulis semula dan kerja penulisan untuk sebuah karya tentang Dr. Siti Hasmah bukan satu kerja yang mudah. Ia bukan fiksyen kerana beliau tokoh besar negara, idola semua orang termasuklah saya dan beliau masih hidup," luah Erma saat ditanya tentang komitmen penting yang menuntut kebijaksanaannya.
 
Ditanya pendekatannya terhadap teater yang sejak dari awal berdepan masalah itu, Erma tidak memfokuskan pemerhatiannya ke arah sisi politik.
"Bila diberitahu saya kena ambil tugas pengarah teater dengan tajuk Tun Dr. Siti Hasmah itu, hidup saya kucar-kacir. saya tidak boleh terus buka buku dan menulis tapi kena baca sejarah. Saya mahu paparkan Dr. Siti Hasmah dari sisi kewanitaannya. Dia menjadi isteri perdana menteri bermakna bermadu dengan rakyat. Sakit dari sudut hati keperempuanan itu yang mahu saya gali dan itu bukan kerja yang mudah," kata Erma mengenai progres kerja penulisan naskhah tentang figura kesayangan negara itu.
Tolak nama Erra Fazira yang menarik diri atas sebab komitmen serta pertindihan jadual, teater Tun Dr. Siti Hasmah kini dibarisi Lisa Surihani sebagai Siti Hasmah semasa muda, Nazim Othman (Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa muda) dan Esma Danial (Dr. Mahathir semasa dewasa).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...