Bakal Suami Kuat Cemburu : Hanez Suraya Jaga Pergaulan


Rakyat News

Duta produk kecantikan Aura White Beauty Collagen, Hanez Suraya mengakui buat masa ini beliau perlu menjaga adab pergaulan memandangkan pelakon tersebut kini hampir mendirikan rumah tangga tidak lama lagi.

Beliau yang lebih mesra dipanggil Hanez berkata tindakan menjaga adab pergaulan itu perlu dilakukan bagi menjaga hati bakal suaminya yang dikatakan kuat menanam perasaan cemburu terhadap pelakon tersebut.

"Biasalah lelaki mana yang tidak cemburu, saya pun ada perasaan cemburu. Saya kini ada pihak untuk menjaga hati, jadi sekarang ini saya mempunyai batas.

"Saya pun ada masa untuk cemburu tetapi perkara tersebut boleh diselesaikan. Bagi saya sekiranya saya tidak mahu dia membuat perkara yang memberikan saya rasa cemburu, dia harus membuat perkara yang sama," katanya.



Ketika ditanya pemberita mengenai tarikh pernikahan yang bakal dilangsungkan, pelakon tersebut enggan mengulas lebih lanjut berhubung perkara tersebut memandangkan buat masa ini Hanez belum mendapat tempat dan tarikh yang sesuai bagi melangsungkan majlis perkahwinan yang dijangka dilaksanakan pada tahun ini.

"Bila itu saya tidak boleh bagitahu sekarang. Saya akan umumkan kepada semua apabila saya sudah bersedia untuk beritahu saya akan berkahwin.

"Buat masa ini, masa untuk saya selesaikan apa yang patut. Nanti saya umumkan tempat dan tarikh. Saya akan umumkan bila semua sudah diselesaikan," katanya.
 

alt

 

Di samping itu, pelakon yang menjadi watak dalam drama bersiri Autumn Di Hatiku musim ke-2 ini turut berkata, pada masa ini ada pihak yang mahu menaja majlis perkahwinan pelakon tersebut namun Hanez enggan menerimanya atas alasan buat masa ini pelakon itu tidak mempunyai tempat yang sesuai untuk mengadakan majlis perkahwinan.

Hanez menambah masanya banyak dihabiskan untuk mencari tempat untuk mengadakan majlis perkahwinannya itu bersama seorang ahli perniagaan yang dijangka bakal dilangsungkan pada tahun ini.

"Ada juga pihak-pihak yang mahu menaja majlis perkahwinan saya tetapi saya tidak berani nak cakap sebab buat masa ini saya risau mengenai tempat perkahwinan saya.

"Kalau ada yang bermurah hati mahu menaja kita boleh bawak bincang perkara itu," katanya.

Hanez Suraya sebelum ini bercinta dengan penyanyi lagu hits yang memenangi tempat ke-3 Anugerah Juara Lagu (AJL28) Awi Rafael tetapi percintaan mereka tidak bertahan lama dan putus beberapa bulan yang lalu.

Namun, Hanez menekankan untuk memberitahu bahawa dia tidak sama sekali memusuhi Awi selepas kedua-dua artis tersebut berpisah bahkan Hanez mendoakan kejayaan Awi.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...