Teruja bertugas dengan Fafau Hot FM

BIARPUN gagal mempertahankan trofi Artis Komedi Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011) lalu, pelakon handalan, Noorkhiriah Ahmad Shapie tidak pernah dihambat kecewa.
Apatah lagi, tiga kali merangkul anugerah itu pada ABPBH sudah cukup untuk membuatkan dia bersyukur dengan bakat seni kurniaan Tuhan.
Begitupun, ibu cantik kepada dua cahaya mata ini seperti memencilkan diri di mata pihak media tempatan. Noorkhiriah, 35, seakan-akan selesa 'low-profile' dan kelibatnya hanya dapat ditonton dalam drama TV semata-mata.

Justeru, apa yang menyebabkan dia bertindak sebegitu?

Bersua dengannya pada sesi fotografi yang diadakan di Balai Berita, NSTP, Bangsar baru-baru ini selepas agak lama tertangguh, Noorkhiriah akui dia bersikap terbuka menjawab segala persoalan termasuk dakwaan kononnya tidak lagi memerlukan pihak media.

Menolak tegas dakwaan negatif itu, Noorkhiriah berkata, bukan niatnya untuk tidak lagi berhubung dengan pihak media bagi berkongsi kisah terbaru, cuma jadual lakonannya selalu padat.

Ujarnya, kesibukan di lokasi penggambaran menghalang dia mengatur tarikh sesuai untuk menjayakan sesi fotografi.

"Kesibukan kerja saya menjadi alasan utama. Mana mungkin saya tidak perlukan media kerana selagi terbabit dalam dunia seni, sokongan wartawan itu sangat penting dan sangat diperlukan. Begitupun, saya selalu tidak dapat memenuhi undangan fotografi yang diatur kerana masa kurang sesuai.

"Ada masanya tarikh yang dipilih itu ketika saya terbabit penggambaran di luar Lembah Klang. Jadi memang tak boleh buatlah kecuali di lokasi. Lagipun saya rasakan tiada cerita menarik untuk dipaparkan media selain soal kerja semata-mata. Jadi tanpa kisah sensasi dan kontroversi, apakah orang akan membacanya?

"Jadi memikirkan kemungkinan cerita saya membosankan nanti, adalah lebih baik jika ruang kosong itu diberikan kepada artis lain yang ada cerita lebih hebat untuk dikongsi. Biarlah saya menumpukan sepenuh perhatian kepada kerja kerana tawaran berlakon diterima pun tak putus-putus.

"Pun begitu, sebagai anak seni yang terbiasa beraksi di depan kamera, perasaan rindu untuk menjayakan fotografi memang ada," katanya yang menggayakan pakaian rekaan Wanpa dan solekan oleh Linda Bridal.

Ramah berbicara, Noorkhiriah memaklumkan imej bertudung tidak sedikit pun menggugat rezekinya. Bahkan, disebabkan kesibukan berlakon juga dia terpaksa rela berjauhan dengan dua permata hatinya, Muhammad Hudhaifah, 3, dan Muhammad Yusoff, 1, yang dihantar balik ke kampung.

Turut berkongsi perasaannya yang mendapat peluang bertugas di konti Hot FM pada 12 dan 13 Oktober lalu, Noorkhiriah berkata, ia pengalaman baru dan istimewa baginya.

Ujar pelakon kelahiran Raub, Pahang itu, ternyata tanggungjawab sebagai penyampai radio yang bertugas pada waktu pagi bukanlah mudah.

"Dua hari saya menyahut cabaran menjadi penyampai radio bersama Fafau (Fara Fauzana) dan Nana Mahzan memang menyeronokkan. Ketika itu, saya diundang bertugas kerana FBI dan AG bercuti.

"Pada saya, ia cukup menghiburkan kerana berpeluang berinteraksi dengan pendengar. Pelbagai gelagat pendengar yang mencuit hati kerana mereka ramah, bersahaja dan amat kelakar.

"Bagaimanapun, saya akui agak kekok pada hari pertama. Mujur ada Fafau dan Nana yang membantu dan syukur saya mampu melakukannya dengan baik. Bahkan, walau pun seawal jam 5 pagi saya sudah berada di Sri Pentas, Bandar Utama, pengalaman bertugas di konti radio Hot FM itu amat berbaloi dan saya benar-benar suka.

"Justeru, andai kata ada peluang buat saya menyertai radio suatu hari nanti secara sepenuh masa, mungkin saya takkan tolak dan akan pertimbangkan. Ini kerana saya begitu gembira melakukan tugasan itu. Malah pengalaman singkat di radio bersama Fafau dan Nana cukup indah dan ia pasti menjadi kenangan tak dapat dilupakan sampai bila-bila," katanya.

Menyentuh pula soal maklum balas pendengar dan peminat, Noorkhiriah berkata, sekali lagi dia bersyukur kerana memperoleh sokongan positif. Walaupun dirasakan persembahannya agak huru-hara tetapi asalkan orang ramai terhibur, ia satu penghargaan. Apatah lagi, sebagai pengalaman pertama dan terlalu baru.

Apapun, Noorkhiriah amat berterima kasih kepada Fafau kerana sudi memberinya peluang untuk menonjolkan bakat sebagai penyampai radio.

Jelas Noorkhiriah lagi, Fafau mengundangnya untuk bekerjasama selama seminggu tetapi dia tidak dapat memenuhinya kerana terikat dengan jadual penggambaran drama.

Antara drama popular yang pernah dibintangi Noorkhiriah adalah Nur Khalifah sebanyak 16 episod dan sitkom Seri Pantun Mai Chek Mai musim kedua bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Noorkhiriah juga memaklumkan dia ada mendapat tawaran berlakon dalam telefilem yang akan menjalani penggambaran di luar negara.

Kini turut membabitkan diri dalam bidang perniagaan sebagai jaminan masa depan, Noorkhiriah berkata, dia kini terbabit berniaga kecil-kecilan menyediakan perkhidmatan van untuk produksi.

Ujarnya, tak sangka sambutan diterima sangat bagus hingga dia bercadang mahu menambah beberapa buah van lagi

Tema Tradisional Melayu-Inggeris Moden Pilihan Busana Pengantin Apexs & Leuniey

Leuniey mengulas mengenai penyebaran gambar di Instagram milik Apexs yang menunjukkan mereka sedang memilih kain di sebuah kedai dan menafikan mereka sedang membuat persiapan bertunang.
Tidak lama kemudian, bapa Apexs telah mengeluarkan kenyataan di akhbar memberitahu yang pasangan ini dijangka mendirikan rumahtangga pada Disember depan. Walau bagaimanapun, pasangan ini lebih selesa untuk tidak memberikan sebarang komen dan memberitahu akan mengumumkannya dalam sebuah sidang media khas tidak lama lagi.
 
Ketika di malam Anugerah Skrin 2012 baru-baru ini, berpeluang bertemu dengan pereka baju, Ezuwan Ismail yang merupakan kenalan rapat bagi pasangan ini. Difahamkan, Ezuwan merupakan individu yang dipertanggungjawabkan untuk mereka busana perkahwinan pasangan ini dan kesempatan ini digunakan untuk bertanyakan kepada beliau mengenai rekaan serta konsep perkahwinan Apexs dan Leuniey nanti.
"Untuk majlis akad nikah, Leuniey akan mengenakan baju kurung moden manakala majlis sebelah perempuan pula mereka akan mengenakan persalinan songket berwarna 'skin colour'," ujar Ezuwan sambil mengakui mendapat kerjasama yang baik dari pasangan ini.
 
 
"Tidak dinafikan senang untuk bekerjasama dengan mereka dan ketika menunjukkan rekaan baju saya kepada mereka, kedua-dua mereka terus bersetuju dan okay dengan rekaan saya. Saya banyak berbincang dengan Leuniey mengenai busana mereka dan Apexs pula jenis ikut saja dan tak kisah."
Sempat mengusik Ezuwan di mana sebagai salah seorang kenalan rapat Leuniey, sudah tentu dia tahu mengenai tarikh perkahwinan pasangan ini dan Ezuwan yang cuba mengelak dari menyentuh mengenai perkara tersebut memberitahu, "Saya hanya boleh cakap pasal baju saja. Mengenai tarikh, saya tak nak komen apa-apa. Kita tunggu saja kerana mereka akan umumkan dalam satu sidang media nanti."
 
Bercerita lebih lanjut mengenai konsep serta kos busana perkahwinan pasangan ini, Ezuwan memberitahu, "Majlis sebelah perempuan akan diadakan di Kelantan dan berkongsepkan Tradisional Melayu Moden. Manakala untuk majlis di Kuala Lumpur, mereka akan mengenakan busana berkonsepkan Inggeris Moden berwarna 'off white'. Baju akad nikah bernilai dalam RM10,000, resepsi Leuniey dalam RM20,000 dan untuk majlis di KL pula dalam RM15,000. Jadi jumlah kos baju perkahwinan mereka saja dalam anggaran RM45,000."

Penulis blog mengaku bedah wajah

SINGAPURA: Kenyataannya, kecantikan akan membuka banyak pintu peluang kepada seseorang itu.
Penulis blog tempatan, Peggy Heng, 23, tanpa segan silu mengaku membuat pembedahan kosmetik untuk meningkatkan kariernya sebagai seorang model dan peserta pertandingan kecantikan.
Sebelum ini, dia sering mengkritik mereka yang sanggup melakukan pembedahan kosmetik untuk kelihatan cantik.

Perubahan sikapnya jelas. Seperti ramai yang dipengaruhi oleh kecantikan, dia turut terikut-ikut kerana mahu menjadi terkenal dan kaya melalui kecantikan wajah.

Malah, dia menjadi seorang mata duitan, sekali lagi tanpa segan silu.

Sebelum perjalanannya ke Seoul untuk pembedahan kosmetik Julai lalu, dia menawarkan The New Paper, paparan eksklusif untuk apa yang dilalui ketika pembedahan itu.

Minggu ini, Heng mahu berkongsi mengenai perjalanan menjadi seorang yang cantik.

"Saya rasa sangat gembira sekarang malah lebih yakin daripada dulu," katanya.

Katanya, "Sebelum ini saya bimbang sudut mana untuk kelihatan cantik di depan kamera tetapi sekarang saya tidak bimbang lagi dan sangat gembira dengan hasilnya."

Pembedahan mata dan hidung, menelan belanja 16 juta won (RM45,000 dan ditaja oleh syarikat pembedahan kosmetik Korea, Item Clinic.

Katanya, tidak semua orang nampak perbezaan sebelum dan selepas pembedahan kosmetik itu dan hanya anggota keluarga terdekat dapat melihat bahagian mana yang melalui pembedahan kosmetik.

Ini kerana orang ramai perlu melihatnya tanpa mengenakan alat mekap.

Antara kekurangan yang tidak disukainya sebelum pembedahan termasuk mata yang kecil, hidung bulat, dagu lebar. - TNP

Pameran musuh-musuh Bond

WASHINGTON - Ejen 007 mungkin seorang hero, tetapi dalam pameran terbaharu di Amerika Syarikat (AS), watak penjahat dijadikan sebagai tumpuan utama.
Pameran yang bertema "Kejahatan yang Indah: 50 Tahun Penjahat Bond" itu mula dibuka kepada umum pada Jumaat lalu di Muzium Perisik Antarabangsa, di sini.
Ia mempamerkan kisah penjahat terkenal daripada filem-filem Bond terdahulu hinggalah yang terbaharu, Skyfall seperti Dr. No, Goldfinger dan Raoul Silva.
"Walaupun watak Bond kekal sama, namun watak penjahat berubah-ubah sejak 50 tahun lalu, sekali gus mencerminkan perubahan masa," kata Meg Simmonds, pengarah arkib di Eon Productions, syarikat pengeluar filem tersebut yang juga penasihat pameran.
Bagi menggambarkan setiap tema, sedutan daripada filem-filem Bond dimainkan di sebelah figura atau patung watak penjahat yang dipamerkan.
Ratusan barangan turut dipamerkan termasuk kostum dan senjata yang digunakan musuh Bond dan pengikutnya. - AFP

Psy malukan Byung Heon

BARU-BARU ini menerusi laman web, ada yang memuatnaik foto yang diberi judulLee Byung Heong dan Psy di London.
Dalam foto tersebut, aktor terkenal Korea, Lee Byung Heon dan penyanyi yang terkenal dengan tarian Gangnam Style, Psy telah bertemu untuk makan bersama di sebuah restoran di sana ketika tinggal di sana atas urusan kerja masing-masing.
Bagaimanapun, semasa foto mereka dirakam, hanya Psy yang menjadi tumpuan sementara kelibat aktor tersebut hanya kelihatan seperti pejalan kaki yang kebetulan berada di tempat tersebut.
 
Walaupun pada hakikatnya, Byung Heon lebih popular di Korea, namun melalui foto tersebut, ia membuatkan penonton yang melihatnya tersenyum dan memberi beberapa komen sinis.
 
Antara beberapa komen sinis yang ditulis ialah seperti 'Saya seperti tidak percaya Lee Byung Heon dimalukan Psy sehingga begitu sekali.'; 'Populariti Psy tidak akan hilang; 'Tidak tahu pula Lee Byung Heon merupakan sahabat baik Psy'; dan 'London juga sangat tergilakan Gangnam Style'.

Luna Maya kahwin di Austria?

JAKARTA - Selepas kisah cintanya dengan Ariel tidak menjadi, kehidupan peribadi aktres dan model Luna Maya terus menjadi perhatian media.
Terbaharu, pelakon wanita jelita itu dikhabarkan berkahwin dengan kekasihnya, Reza Prawiro di Austria.
Namun, ketika ditemui di Jakarta pada awal minggu ini, Luna menafikan perkara tersebut yang kini rancak dilaporkan di dalam Internet.
"Sama seperti wanita lain, saya mahukan majlis perkahwinan yang istimewa, bermula dengan lamaran dan sebagainya.
"Tidak mungkin majlis saya berlangsung di Austria..., terlalu jauh. Khabar angin ini tidak benar," katanya.
 
Cakap-cakap mengenai perkahwinan Luna dengan pengurus acara itu mula diperkatakan individu yang menggunakan nama maya @novisilviani di Twitter, kononnya berpunca daripada latar belakang agama berbeza pasangan berkenaan.
Spekulasi itu timbul selepas Luna dilihat memuat naik gambar-gambarnya di Salzburg, Austria, ketika Reza kebetulan menyatakan dia turut berada di negara tersebut melalui Twitternya. - Agensi

Anne Ngasri bertunang dengan Mohd. Sumali

KUALA LUMPUR – Pelakon Anne Ngasri akhirnya sah menjadi tunang kepada Setiausaha Kerja Pemuda UMNO Malaysia, Mohd. Sumali Reduan dalam satu majlis pertunangan di rumah keluarganya di sini semalam.
 
Menurut Anne atau nama sebenarnya Naszriah Ngasri, 24, Sumali berstatus duda berusia 40 tahun dan mempunyai seorang anak.
Beliau berkata, mengikut perancangan, mereka akan melangsungkan perkahwinan pada bulan depan.
 
"Saya akan menjemput semua pihak termasuk rakan-rakan media," ujarnya ketika ditemui semasa majlis kesyukuran yang dianjurkan keluarganya di Taman Batu Permai di sini semalam.

Psy dakwa Gangnam Style bukan kejayaan sebenarnya

PARIS - Penyanyi rap Korea Selatan, Psy kelmarin mengaku bahawa lagu Gangnam Style bukan kejayaan sebenar kerana kejayaannya akan dilakar menerusi lagu terbaharunya nanti.
Psy, 34, berkata, dia tidak bersetuju kejayaannya telah tercipta kerana lagu Gangnam Style.
"Saya tidak melakukan apa-apa, orang ramai menonton YouTube, mereka menemui muzik video ini dan membawa ia kepada dunia. Bukannya saya (yang menyebabkan lagu itu menjadi popular).
 
"Kini giliran saya pula. Lagu kedua ini saya akan melakarkan kejayaan," katanya ketika sidang akhbar di sini.
Sehari sebelum itu, Psy atau nama sebenarnya Park Jae-sang berjaya menarik kira-kira 20,000 penonton menyaksikan persembahannya di Dataran Trocadero, Paris.
 
Album terbaharunya yang bakal diterbitkan Mac tahun depan menampilkan sebuah lagu baharu dalam bahasa Korea dan Inggeris serta sejumlah lagu daripada album lamanya.
"Kepada warga Korea Selatan, ia akan menjadi hit terhebat Psy tetapi, kepada dunia, ia adalah sesuatu yang baharu. Ia akan menjadi album sulung antarabangsa saya," katanya.
Di laman YouTube, persembahan tarian kuda Psy telah ditonton lebih 665 juta kali. - AFP

Anugerah Skrin 2012 (ASK 2012

TANPA berselindung, Faizal Hussein, Maya Karin mahupun Azhanrani memberitahu mereka tidak meletakkan harapan untuk menang dalam Anugerah Skrin 2012 (ASK 2012) yang bakal berlangsung pada 9 November ini. Tegas anak-anak seni berkaliber itu, mereka bekerja secara ikhlas dan lebih mementingkan kualiti serta kepuasan dalam bekerja.
Biar masing-masing tidak meletak sasaran untuk menang, namun melihat kepada filem dan watak yang didukung mereka begitu hebat, maka kebarangkalian untuk mereka menang adalah besar.
ASK 2012 boleh dikatakan medan 'tuah' buat Faizal apabila tiga filem lakonannya tercalon iaitu Bunohan, Abuya dan Datin Ghairah. Tercalon untuk kategori Pelakon Lelaki Terbaik bagi filem Bunohan, tegas Faizal, dia bersyukur kerana filem itu juga berjaya mewakili negara ke pencalonan awal Academy Awards ke-83.
Bagi Maya Karin atau nama sebenarnya Maya Karin Roelcke, 33, dia berbangga dengan pencapaian filem Ombak Rindu yang menerima banyak pencalonan termasuk pencalonan untuk dirinya iaitu Pelakon Wanita Terbaik Filem dalam anugerah tersebut.
Menganggap pencalonan tersebut sebagai rezeki, jelas Maya, bukan kemenangan menjadi keutamaan, sebaliknya dia lebih mementingkan kualiti kerja dan sentiasa menunjukkan komitmen 100 peratus dalam bekerja.
Sebaliknya, bagi pelakon berbakat besar, Azhanrani, 37, ini adalah kali pertama dia tercalon untuk kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik untuk drama Pelarian.
Tidak meletakkan sebarang sasaran, ungkap lelaki yang senang disapa Azhan itu, jika menang ia merupakan satu bonus buat dirinya.
Faizal ke Hollywood
Tepat jangkaan Faizal, 45, apabila filem Bunohan berjaya mewakili negara ke Academy Awards ke-83 pada tahun hadapan. Disebabkan itu, pelakon yang cukup sinonim dengan filem nostalgia Gila-Gila Remaja itu tidak terkejut dengan pencalonan filem tersebut ke luar negara.
Ungkapnya, biar pada mulanya filem tersebut menerima kritikan orang ramai apabila ditayangkan tetapi dia sedar filem itu bagus dan mampu ke peringkat antarabangsa.
"Saya cukup berbangga dengan pencapaian ini dan secara tidak langsung menjadi duta yang mewakili negara kita di Hollywood. Saya rasa ini merupakan satu petanda aras bahawa filem Malaysia akan diangkat ke mata dunia suatu hari nanti," katanya.
Cuma, harapannya kini agar filem Bunohan mampu memasuki pencalonan Top 5 Academy Awards ke-83, seterusnya membuka ruang dan peluang untuknya melangkah kaki ke Hollywood.
Ternyata harapannya itu bakal menjadi kenyataan apabila dedah Faizal, baru-baru ini dia ada menerima dana daripada sebuah syarikat komunikasi untuknya bertapak di Hollywood.
Biarpun pada mulanya Faizal agak keberatan untuk berkongsi cerita tersebut kerana beranggapan perkara itu masih lagi dalam perbincangan, namun kerana rasa gembira impiannya selama ini bakal tercapai perkara itu akhirnya dikongsikan secara eksklusif bersama Kosmo!.
"Sebenarnya ada projek rahsia yang bakal saya jalankan. Baru-baru ini saya ada menerima dana daripada sebuah syarikat komunikasi yang sudah merangka perjalanan karier saya di Hollywood," jelasnya.
Luah Faizal, sebenarnya sejak umurnya 20-an lagi dia sudah mengimpikan untuk ke Hollywood namun, ternyata impiannya itu terlaksana ketika usianya mencecah 45 tahun.
Berasakan tidak terlalu lewat untuknya pergi ke peringkat antarabangsa, ujar Faizal, projek itu akan berjalan sepanjang pencalonan filem Bunohan bagi kategori Filem Asing Terbaik dalam Academy Awards ke-83 yang akan berlangsung pada 10 Januari 2013.
Berjaya atau tidak projek itu nanti bukan menjadi keutamaan Faizal, tetapi tegasnya ia bertujuan sebagai pembakar semangat kepada pelakon-pelakon Malaysia untuk tampil ke peringkat antarabangsa.
Ia akan dapat membuka peluang yang lebih besar lagi kepada aktor-aktor tempatan untuk meluaskan lagi bakat mereka di luar negara khususnya di Hollywood.
"Saya boleh katakan projek tersebut sebagai pembakar semangat dan motivasi kepada pelakon-pelakon di Malaysia untuk ke peringkat antarabangsa," ujarnya.
Selain Faizal, filem yang mengambil latar belakang cerita di sebuah kampung di Kelantan itu turut dibintangi oleh pelakon lain seperti Zahiril Adzim, Bront Palarae, Pekin Ibrahim, Soffi Jikan, Wan Hanafi Su dan Tengku Azura.


 

Mengenai perkembangan terkini, Faizal mengakui terpaksa menyimpan jambang sehingga malam ASK 2012 kerana terlibat dengan penggambaran drama 13 episod untuk RTM 1 iaitu Beret Hijau.
Membawa peranan sebagai ketua militan jahat bernama Abu Farsi, dedah Faizal, dia mampu bertahan dalam industri seni berkat daripada peranan antagonis yang dibawa sejak tahun 2000.
"Saya ada strategi untuk membuatkan penonton dan peminat tidak puas menonton lakonan saya. Disebabkan itu, bermula tahun 2000, saya banyak menerima watak antagonis tidak kira dalam drama mahupun filem," jelasnya yang risau penonton muak jika terlalu kerap muncul di media.
Eksperimentasi Maya
Bakal muncul dengan persalinan ala puteri raja daripada pereka Khairi Sufi untuk ASK 2012 yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, ini merupakan penampilan pertamanya dalam anugerah tersebut selepas lima tahun tidak berpeluang menghadirinya.
Bukan sebab tidak dicalonkan, tetapi menurut pelakon yang memegang peranan Katerina dalam filem terbaharunya iaitu Lagenda Budak Setan 2, dia tidak dapat hadir ke ASK sebelum ini kerana tidak mempunyai kelapangan waktu.
Ditanya bagaimana dia mampu bertahan dalam industri seni sehingga kini, ujar Maya, semuanya kerana dia bijak mengawal kualiti kerja dan melakukan sebaik mungkin setiap watak yang diberikan.
Disebabkan itu, katanya, dia tidak pernah mengambil dua kerja dalam masa serentak kerana mahu memberi sepenuh perhatian kepada satu karya.
Menolak semua tawaran drama yang datang, jelas Maya, ia bukan disebabkan dia berlagak diva atau menganggap dirinya besar dan tidak layak untuk berlakon drama, tetapi dia akui begitu selektif memilih watak dan jalan cerita yang benar-benar berkualiti untuk dilakukan.
"Saya bukan berlagak tidak mahu berlakon drama dan hanya berlakon filem sahaja, tetapi saya kena selektif. Kebanyakan drama yang saya terima ada skripnya yang masih belum siap, jalan cerita yang tidak jelas penghabisannya dan masa penggambaran yang terlalu lama," ujarnya yang tidak suka menerima karya yang tidak bermutu.
Ujar Maya, jika terbabit dengan sesebuah filem sekalipun, dia hanya memberikan masa paling lama enam minggu untuk melakukannya namun, janjinya dia akan meletakkan 100 peratus komitmen untuk karyanya itu.
Selepas itu, tutur wanita cantik itu lagi, dia akan melakukan pelbagai aktiviti kesukaannya seperti mendaki gunung untuk kepuasan peribadi.
Mengakui suka bereksperimentasi dalam mencuba pelbagai watak, dedah Maya dia harus akur bahawa selera peminat lebih suka melihatnya membawakan watak yang sama seperti watak Izzah dalam filem Ombak Rindu.
"Saya menerima banyak komen peminat yang mempertikaikan jika saya membawakan watak yang lain daripada watak sebelum ini. Sebaliknya, saya pula tidak suka membuat benda yang sama (berlakon watak yang sama). Bagaimanapun, selepas menonton lakonan saya, peminat akhirnya menerima dan menyukai watak baharu yang saya lakonkan," ceritanya.
Tidak meletakkan sasaran sehingga bila dia akan berlakon, kata Maya, menjadi keutamaan baginya setiap kali muncul di kaca TV atau layar perak, peminat menyukai hasil lakonannya dan dia juga mendapat kepuasan maksimum.
Populariti Azhanrani
Azhanrani mula berlakon pada tahun 2005 apabila menghiasi slot Samarinda, Sesuci Cinta Sofia di TV3. Namun, impak lakonan yang dibawa lelaki berwajah serius ini masih belum menyerlah di kaca mata peminat.
Hampir tujuh tahun merangkak kemudian bertatih dalam industri bukan jangka masa yang singkat namun, ia tidak pernah mengecewakan Azhan.
Sehingga dia muncul dalam drama Gemilang, Supermak dan terbaharu Amukan Pocong untuk slot Seram diTV3, baru kehadirannya dalam industri lakonan disedari.
Pun begitu, akui Azhan, sehingga kini orang ramai masih lagi tidak mengetahui namanya.
"Banyak kali orang yang terjumpa saya akan cakap, 'Eh awak ini yang berlakon dalam drama Amukan Pocong itukan...', 'Awak berlakon dalam drama Supermak kan...'," dedahnya yang tidak ambil hati kerana namanya masih tidak dikenali peminat.
Bagi pelakon yang mencuri perhatian peminat dengan karisma lakonannya, tidak dikenali bukan merupakan satu isu besar bagi dirinya, sebaliknya dia lebih suka orang mengenali karakter yang dibawanya di dalam drama atau filem.


 

Mengakui kurang dikenali dari segi nama dan kurang pendedahan di dada akhbar mahupun program hiburan, bagaimanapun, tawaran lakonan tetap bertali arus.
"Walaupun kurang pendedahan di majalah atau surat khabar, peluang sentiasa ada. Biarlah nama saya tidak popular seperti pelakon lain, asalkan tawaran lakonan sentiasa ada.
"Dari segi perkembangan karier, saya bersyukur kerana tawaran sentiasa ada, malah kadangkala terpaksa tolak," katanya.
Dalam nada rendah diri, Azhan akui seronok dapat bekerja dengan ramai pengarah besar tempatan. Tanpa berselindung, itulah impiannya selama bergelar pelakon iaitu bekerja dengan semua pengarah tempatan untuk merasai nikmat kepuasan berlakon.
"Saya membesar dengan teater sejak kecil. Selepas lama bergiat dalam teater dan bermula daripada Lantai T Pinkie, saya dibawa masuk ke dunia penyiaran oleh tiga pengarah iaitu Along Kamarudin, Ahmad Nor Bujang dan Zuraidah," jelasnya.
Sejak itu, Azhan menggalas peranan sebagai anak seni dalam lebih 40 buah drama TV, antara lain Ku Milikmu, Tower 13, Lembing dan Dayang dan Warkah Terakhir

Jamal, Jay Jay berganding

DUA legenda hiburan tanah air, Jamal Abdillah dan Jay Jay akan digandingkan dalam konsert Lanjut Carnivale Fiesta BBQ Around The World pada 24 Disember ini.
Lanjut Golden Beach & Golf Resort dengan usaha sama kumpulan PNB Commercial Sdn Berhad memilih Jamal dan Jay Jay untuk menghiburkan pengunjung pada malam konsert tersebut.

Menurut wakil penganjur, acara ini diadakan bagi mempromosikan resort selain mengambil kesempatan sebagai acara penutup untuk tahun 2012.
"Pertama kali Jamal Abdillah dan Jay Jay digandingkan dalam satu konsert 'live', ini satu penghormatan bagi kami.

"Secara tak langsung, kami mahu membangkitkan kesedaran dan mempromosikan Lanjut Golden Beach & Golf Resort," katanya pada sidang media, hari ini.

Katanya, "kami akan menghidangkan BBQ terbaik dari seluruh dunia dan pengunjung boleh menikmati hidangan sambil dihiburkan dua lagenda ini."

Lanjut Golden Beach & Golf Resort terletak di sempadan Johor-Pahang dan diapit pantai persendirian sepanjang 3.5 kilometer.

Sementara itu, Jay Jay akui teruja digandingkan dengan Jamal.

"Mula-mula saya diberitahu, saya teruja dan terkejut kerana tak pernah terbayang ada peluang menyanyi dan membuat persembahan dengan raja pop Malaysia," katanya.

Tambahnya, "paling tidak, jika saya sudah tidak ada nanti, saya puas hati."

Jamal yang sudah pernah membuat persembahan di resort itu sebelum ini pula berkata, "kali ini ada kelainan sedikit. Saya datangkan band, alat muzik dan pentas sendiri."

"Persembahan kali ini juga berbeza kerana kebanyakannya sebelum ini saya buat 'indoor', tetapi kali ini persembahan di tepi kolam. Lebih santai," katanya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Azura ini yakin kali ini peminat dan penontonnya akan lebih puas hati.

Ketika ditanya kemungkinan mereka berduet, Jay Jay dan Jamal masih belum berbincang, namun tidak menolak untuk berduet pada malam konsert itu.

Dalam pada itu, wakil penganjur berkata, resort berkenaan mampu menampung 500 pengunjung pada satu-satu masa.

Harga tiket konsert termasuk makan malam, BBQ boleh didapati bermula RM399 sehingga RM699, namun tidak termasuk penginapan.

Namun, pengunjung boleh mendapatkan bilik penginapan dengan potongan harga

Aida yakin Putera Rayyan

KISAH legenda Bawang Putih Bawang Merah sememangnya terkenal di kalangan masyarakat Asean terutama di Malaysia dan Indonesia yang lebih dikenali sebagai negara serumpun.
Ia mengisahkan Bawang Putih yang kehilangan ibu bapa dan terpaksa duduk di bawah jagaan ibu tiri serta saudara tiri yang membenci�nya. Namun akhirnya Bawang Putih berkahwin dengan putera raja dan hidup gembira dalam istana.

Idea inilah yang cuba diangkat penerbit, A Aida menerusi drama terbarunya, Putera Rayyan yang menemui peminat menerusi slot Samarinda TV3 sejak 31 Oktober lalu.

Drama lakonan Kamal Adli sebagai Putera Rayyan dan Nad Zainal sebagai Arisa terbitan A Aida Production ini mungkin dianggap klise pada sesetengah orang tetapi Aida menegaskan banyak elemen menarik disuntik agar peminat mengikutinya.

"Ceritanya memang seakan kisah Bawang Putih Bawang Merah tapi saya lebihkan tumpuan kepada watak Putera Rayyan agar melekat di hati peminat. Sebenarnya kisah ini dibuat untuk slot Lagenda tapi memandangkan slot ini sudah tiada, konsepnya terpaksa diubah.

"Skripnya terpaksa dirombak semula dengan watak Putera Rayyan dikembangkan. Dia terpaksa mengembara mencari seorang gadis sesuai untuk dijadikan isteri.

"Tanggungjawab untuk buat skrip diserahkan kepada Wan Mahani kerana dia ada sentuhan yang baik. Saya percaya hasilnya drama ini akan menjadi ikutan peminat nanti," katanya di majlis ramah mesra bersama pelakonnya di Restoran Rebung, Bangsar baru-baru ini.

Aida yang pernah menghasilkan telefilem untuk slot Cerekarama mengakui seronok apabila syarikatnya diberi peluang menghasilkan drama bersiri pertama untuk TV3. Dia sanggup berbelanja besar dengan mengeluarkan kos RM450,000 untuk Putera Rayyan.

"TV3 setuju kami tonjolkan Kamal Adli, Nad Zainal, Zila Bakarin. Mereka juga mahukan kuda dan kereta mewah digunakan. Semuanya saya penuhi. Saya untung tak banyak tapi saya sangat puas hati kerana hasilnya sangat berbaloi dengan apa yang dikeluarkan," katanya.

Drama arahan Murali Abdullah ini mengisahkan seorang pemuda yang mahu menuruti pesanan terakhir ayahnya untuk memilih salah seorang antara dua orang anak perempuan Datuk Norman sebagai calon isterinya.

Namun hasrat Putera Rayyan tidak dipersetujui bondanya, Tengku Mariam yang sudah ada calonnya sendiri yang berasal daripada kerabat diraja. Tengku Mariam nekad untuk menggagalkan rancangan suami dan anaknya dengan pelbagai taktik.

Untuk kenal dengan lebih dekat bakal isterinya, Putera Rayyan menyamar sebagai pekerja biasa di syarikat Datuk Norman di mana Arisa dan Anisa turut bekerja.
Arisa melayan Putera Rayyan dengan baik berbanding Anisa yang sombong dan lebih pentingkan kedudukan dan darjat. Anisa berkongsi perangai buruk seperti ibunya, Nora, isteri kedua Datuk Norman.

Kamal memberitahu, walaupun tidak susah membawakan watak yang diberikan, ini pengalaman pertamanya berlakon sebagai putera raja kerana kebiasaannya dia berlakon watak biasa dan mat rempit.

"Wataknya boleh dikatakan susah dalam senang. Biarpun ceritanya ringan, penghujung�nya agak berat dan ada konflik sendiri. Saya dah pernah berlakon dengan Nad dan terbukti dia memang bagus. Saya juga ada pengalaman bekerja dengan Murali dan dia hebat dalam pelbagai aspek.

"Malah dia juga pandai memainkan emosi pelakon wanita untuk menangis seperti yang dimahukan," katanya.

Selain Kamal dan Nad, drama 23 episod yang disiarkan jam 10.30 malam ini turut menampilkan Miera Lyana (Anisa), Luftya (Tengku Suraya), Aida Aris (Nora), Zila Bakarin (Tengku Mariam), Razali Hussin (Zul) dan Zuhairi Ibrahim (Datuk Norman).

Mula meraih perhatian peminat menerusi drama Memberku Hawa dan Bukan Bidadari, Farah Nadia Zainal Abidin atau Nad Zainal, 22, mengakui sukar menjayakan watak Arisa yang menuntutnya banyak bermain dengan emosi dalaman.

"Mungkin sudah rezeki saya selalu dapat watak wanita malang dan mengalami tekanan jiwa. Dalam drama ini, Arisa mengalami tekanan jiwa akibat didera ibu dan adik tiri serta ibu mentua yang tidak pernah merestui perkahwinannya dengan Putera Rayyan," katanya.

Selebriti kumpul dana bantu mangsa Sandy

Bruce Springsteen, Billy Joel, Mary J Blige dan puluhan pemuzik serta selebriti mengumpul lebih RM70 juta buat manga Taufan Sandy menerusi saluran televisyen NBC manakala program a Day of Giving menerusi rangkaian TV ABC pula memungut lebih daripada RM30 juta.

Pertubuhan Palang Merak Amerika berkata, rancangan teleton selama sejam di NBC Jumaat lalu, yang menampilkan persembahan oleh selebriti yang mempunyai hubungan kuat dengan New York dan New Jersey, berjaya mencipta rekod derma individu menerusi telefon, teks dan online untuk mangsa taufah terbabit.

Jumlah awal yang diperoleh adalah hampir RM70 juta, kata pertubuhan itu menerusi kenyataan yang dikeluarkan kelmarin.


Melalui rangkaian ABC pula, penonton dan selebriti berjaya memungut lebih RM30 juta, juga untuk pertubuhan berkenaan. Semuanya adalah untuk membantu mangsa bencana Taufan Sandy yang membunuh lebih 100 nyawa, minggu lalu.

Menurut kenyataan ABC, wartawan, Barbara Walters, membuat sumbangan peribadi berjumlah RM766,000 serta menjawab panggilan telefon penderma ketika mengacarakan program Good Morning America bersama-sama Katie Couric, Ben Stiller serta bintang Jersey Shore, Nicole "Snooki" Polizzi.

Jumlah derma dijangka terus bertambah selepas acara tamat.

Taufan Sandy Di New York, Tak Ada Elektrik Liyana Jasmay Terpaksa Cari Hotel?

Seram dibuatnya apabila menonton perkembangan taufan Sandy di kaca TV yang telah melanda beberapa negeri di Amerika Syarikat.
 
Daripada apa yang diberitahu, Ning Baizura berkata, Liyana Jasmay dan ibunya berada dalam keadaan baik dan mereka tetap akan bertemu di New York pada 2 November ini. Dikhabarkan lagi, Liyana Jasmay mengambil keputusan untuk berpindah ke hotel kerana terpaksa bergelap akibat belakan elektrik terputus.
Setakat ini, itu saja perkembangan yang Murai Batu dengar berkenaan Liyana Jasmay. Insya Allah jika ada perkembangan lain, akan dikongsikan bersama pembaca setia disini.
Taufan Sandy seindah nama Taufan Katrina yang melanda Amerika Syarikat tujuh tahun lalu.
Jumlah kerosakan dan kematian atas malapetaka dahsyat itu nampaknya bukan saja dirasai oleh masyarakat di negara berkenaan, malahan seluruh dunia, lebih-labih lagi bila mengenangkan keadaan masyarakat Malaysia di sana.
Tapi daripada laporan berita yang Murai Batu baca di internet, nampaknya Kedutaan Besar Malaysia di Amerika Syarikat telah menggerakkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam khusus bagi memantau keadaan masyarakat Malaysia di sana. Alhamdulillah.
Diharapkan semuanya berjalan dengan baik dan tiada kemalangan jiwa yang berlaku kepada masyarakat kita di sana. Sama-samalah kita doakan. Tetapi perkembangan baru yang Murai Batu dapat mengenai pelakon Liyana Jasmay yang berada di New York, khabarnya dia berada di dalam keadan selamat.
 
Malah, menerusi laman Twitter peribadinya yang ditulis pada 30 Oktober lalu (tarikh tempatan), dia sempat berkongsi bahawa kediamannya berada di dalam zon selamat bagaimanapun masih perlu berhati-hati dengan kehadiran taufan berkenaan.
Bagaimanapun selepas tarikh itu, tiada komunikasi selanjutnya yang dikirimkan Liyana Jasmay di laman Twitternya. Bagaimanapun Murai Batu faham kerana bekalan elektrik dan internet di sana terputus dalam jangkamasa yang akan lama.
Namun ketika untuk cuba mendapatkan kenyataan penyanyi Ning Baizura berkenaan kunjungannya ke New York malam ini, penyanyi itu sempat berkongsi perkembangan tentang pelakon genit berkenaan.

Ana Dahlia kesal kahwin terburu-buru

Berita mengenai keretakan rumah tangga, Chef Riz dan Ana Dahlia bukanlah khabar angin lagi. Baik Riz mahupun Ana, kedua-duanya akur dengan masalah yang sedang menimpa perkahwinan mereka.

Enggan mengulas lanjut mengenai punca keretakan, Ana bagaimanapun mengakui kesal terburu-buru membuat keputusan mengahwini anak Chef Wan itu.

"Perkenalan kami terlalu singkat. Hanya tiga bulan dan terus berkahwin. Ketika itu saya tidak berfikir panjang kerana mengenangkan keluarganya cukup baik dengan saya.

Mengulas mengenai reaksi bapa mentuanya, Ana atau nama sebenarnya, Diyana Mastura Jaafar, 29, berkata, dia bersyukur kerana Chef Wan memahami situasi yang sedang dihadapinya.

"Dalam keadaan sekarang, Papa (Chef Wan) sentiasa berada di belakang saya. Dia juga sering menasihati saya dan hubungan kami sangat rapat.

"Malah saya juga mendapat sokongan penuh daripada keluarga sendiri," kata Ana ketika menghadiri majlis sidang media pelancaran drama terbaru Slot Akasia, Cinta itu Milikku, di Sri Pentas, petang kelmarin.
 

Berlaku curang?

Aktres yang terkenal dengan rambut hitam mengurai ini turut mengulas mengenai dakwaan dia berlaku curang dan sedang menjalinkan hubungan dengan bekas kekasihnya.

Menafikan perkara itu sekeras-kerasnya, Ana berkata, Riz lebih tahu perkara sebenar yang menimpa rumah tangga mereka.  

"Saya yakin sudah melakukan yang terbaik sebagai isterinya. Saya mohon masyarakat jangan menilai saya dari berita yang tidak benar itu. Ia hanya mengeruhkan lagi keadaan.

"Apa pun saya berharap masalah kami dapat diselesaikan secara baik," kata Ana yang turut bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dalam rumah tangganya.

Menyentuh mengenai laporan bahawa dia dan Riz sudah mengambil borang permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Kajang, Ana lebih senang membiarkan media terus berteka-teki.

"Saya percaya pihak media akan dapat tahu perkara sebenar nanti. Jadi tidak perlulah saya memberi jawapan," ujar Ana.

Ana dan Riz atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Redzuawan, 31, telah bernikah pada 11 Disember 2011.


Jadi perempuan jahat

Lupakan seketika masalah peribadinya, wanita kelahiran Taiping, Perak ini, masih laris dalam lakonan. Biarpun ramai bakat baru yang muncul, namun Ana masih menjadi pilihan pengarah dan penerbit tempatan.

Terkenal dengan watak yang lembut dan sopan, Ana bagaimanapun beralih angin dengan membawa watak antagonis yang sangat mencabar menerusi drama Cinta Itu Milikku, yang bakal bersiaran di slot Akasia, setiap Isnin hingga Khamis, jam 7 petang, bermula 12
November ini di TV3.

"Ini kali kedua saya bawa watak jahat. Menerusi 3 Janji sebelum ini, tidaklah terlalu ketara. Namun kali ini, saya kena jadi jahat sepenuhnya.

"Pada mulanya, saya risau juga akan dikritik nanti. Tetapi saya harus memberi kelainan dalam lakonan. Saya harap peminat dapat terima, " katanya yang membawa watak sebagai Dian dalam drama itu.

Selain Ana, drama itu turut dibintangi Fazreen Rafi dan Emma Maembong.

Zizan Razak & Juliana Evans - gambar tersebar?

Pelakon, pelawak dan pengacara, Zizan Razak, tidak terkejut dengan penyebaran gambar intim Juliana Evans bersama lelaki yang didakwa sebagai kekasih baru aktres itu, di internet, sejak Jumaat lalu.

Ketika dihubungi Zizan berkata, dia tidak pernah menjalinkan hubungan istimewa bersama pelakon kacukan itu. Justeru, dia tidak perlu berasa terkejut dengan kewujudan gambar terbabit.

Sebaliknya pelakon Hantu Kapcai ini tumpang gembira sekiranya Juliana sudah pun menemui pasangan serasi.


Menurut Zizan, sejak gambar itu tersebar, dia dihujani pelbagai pertanyaan daripada peminat menerusi laman Twitternya. Rata-rata ingin mendapatkan pengesahannya mengenai hubungan Juliana dengan jejaka kaukasia itu.

"Bagaimanapun, saya tidak tahu hendak jawab apa. Jadi saya memilih untuk mendiamkan diri saja.

"Saya juga tidak terkejut sebab kami memang tidak mempunyai ikatan, malah tidak pernah janji apa-apa. Kalau benar dia sudah ada teman lelaki, itu bukanlah masalah bagi saya.

"Memang saya tidak pernah meletakkan sebarang harapan sebaik saja dia ke luar negara. Saya kurang percaya pada hubungan jarak jauh. Jadi biarlah dia jalani hidupnya sendiri," kata Zizan.
Sekadar teman baik

Sejak Juliana berangkat ke Universiti Michigan, Amerika Syarikat, Zizan langsung tidak terfikir untuk serius dengan pelakon Hantu Bonceng itu. Bahkan, hubungan mereka tidak lebih sekadar teman baik.

Akui Zizan, dia pernah bertanya pada Juliana, bagaimana jika dia mahu menjalinkan hubungan yang serius dengan wanita itu. Namun ia tidak dipersetujui pelakon cantik itu, yang sudah mempunyai perancangan untuk menyambung pengajian ke luar negara.

"Dia memiliki ciri-ciri wanita yang saya mahukan - cantik dan gila-gila. Karakter dia sesuai dengan saya, tetapi secara jujur kami tidak pernah serius.

"Saya akui, kami pernah melafazkan kata-kata sayang, tetapi ia tidak lebih daripada ungkapan untuk seorang sahabat baik. Walaupun saya pernah menangis sewaktu menghantarnya ke lapangan terbang pada Januari lalu, tetapi itu bukanlah petanda yang kami bercinta.

"Saya menangis ketika itu sebab bakal kehilangan seorang sahabat baik," kata artis yang semakin sibuk ini.

Percaya rakan disabotaj

Pada awal pemergian Juliana dulu, mereka sering berhubung, terutama melalui Skype. Namun lama-kelamaan Zizan mula terfikir masing-masing perlu ada kehidupan sendiri serta tidak lagi boleh menunggu.

"Lagipun saya sibuk bekerja dan dia pula dengan pengajiannya. Manalah kami ada masa sangat hendak berhubung? Lama kelamaan, masing-masing mula faham," katanya yang kali terakhir bertemu dengan Juliana ketika promosi filem Mael Lambung, penghujung Jun lalu.

Zizan bagaimanapun mempersoalkan, bagaimana gambar terbabit boleh tersebar? Dia percaya, foto itu bukan dimuat naik oleh Juliana, sebaliknya mungkin ada pihak yang sengaja mensabotaj pelakon itu.

Sementara itu, Juliana menerusi Twitternya menjelaskan, lelaki kulit putih yang dirakam bersamanya dalam beberapa foto itu bukanlah kekasihnya.

"Hakikatnya, lelaki itu bukanlah kekasih saya," katanya ketika menjawab pertanyaan seorang peminat berhubung foto keintimannya bersama pemuda berkenaan.

Rebecca Selamat Lahirkan Puteri Sulung

 
Memey datang melawat Rebecca di hospital.
Pelakon Rabecca Nur Al-Islam telah selamat melahirkan seorang bayi perempuan pada Jumaat (2 November) lalu, di Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur.
Memetik kenyataan di Media Hiburan, bayi sulungnya itu dilahirkan melalui kaedah pembedahan dan seberat 3.3 kg. Pelakon drama bersiri Dejavu di Kinabalu ini menamakan puterinya, Nor Anggun Raverra.
Dua beranak ini dijangka keluar dari hospital dalam masa terdekat
Turut kelihatan rakan artis yang melawat Rabecca ialah isteri pelakon Norman Hakim iaitu Memey Suhaiza yang sedang sarat mengandung.
Rebecca berkahwin dengan, Nor Azam Bin Datuk Ismail, seorang ahli perniagaan berstatus duda anak dua (seorang lelaki dan seorang perempuan), pada 14 Januari tahun lalu. Rebecca juga ada mengambil seorang anak angkat. Sebelum ini, aktres seksi ini juga pernah keguguran anak pertama.
Tahniah kepada Rebecca sekeluarga atas kehadiran orang baru dalam hidup mereka.
.
.

Skyfall raih RM861j

Walaupun belum ditayang di Amerika Syarikat (AS), filem terbaru ejen perisik James Bond, Skyfall mencapai kutipan box office apabila mengaut lebih RM861 juta (AS$287 juta) di benua Eropah dan Asia.

Kutipan ini adalah tertinggi direkodkan dalam sejarah 50 tahun ejen perisik 007 yang sudah mengumpul 23 judul sejak karya pertama, Dr No diterbitkan pada 1962.

Mengikut statistik industri perfileman, Skyfall yang mula ditayang di AS, Jumaat ini, memungut RM471 juta (AS$157 juta) pada Sabtu dan Ahad lalu, mengetepikan jauh jumlah kutipan judul terdahulu seperti Quantum of Solace dan Casino Royale

Ariel tertusuk paku

VOKALIS kumpulan Noah, Ariel tetap meneruskan persembahannya walaupun kakinya tertusuk paku di atas pentas.
Ketika membuat persembahan di Makassar, Sulawesi Selatan baru-baru ini, Ariel atau nama sebenarnya Nazriel Irham memberitahu keadaannya bagaimanapun kini sudah semakin baik.
 
Bekas vokalis Peterpan itu menganggap kecederaan merupakan lumrah terutama ketika sedang asyik beraksi di pentas.
"Biasa, kalau di atas pentas saya suka berlari-lari. Saya terkena paku di kaki semasa lagu ketiga. Sewaktu di atas pentas, tidak terasa. Waktu pulang baru terasa," katanya.
 
Seluar jeans yang dipakai Ariel turut koyak akibat insiden itu.
"Seluar jeans yang saya pakai itu sudah lama, sudah empat tahun tetapi ukuran masih sama," kata Ariel.
Bekas kekasih Luna Maya tersebut berasa beruntung kerana keadaannya kini sudah pulih seperti sediakala.
"Sampai saat ini masih fit. Sejauh ini masih okey," ujarnya.

Apa Celop Toqq: Lawak pecah perut!

SETELAH menemui formula untuk menggeletek penonton setianya menerusi Hantu Bonceng, pengarah prolifik, Ahmad Idham meneruskan formula berkesan itu dalam filem terbarunya, Apa Celop Toqq.

Tidak mempertaruhkan Zizan sebagai 'pak lawak' di dalam filem ini, sebaliknya kehadiran Taiyuddin Bakar (Tai) dan Azad Jazmin banyak menimbulkan konflik komedi sehingga penonton ketawa geli hati.

Selain itu, filem bergenre romantik komedi ini turut melihat gandingan pertama kali Hazama Azmi dan Intan Ladyana sebagai teraju utama.

Sejak awal permulaan cerita, Idham sudah berjaya mengunci perhatian penonton dengan komedi bersahaja dan 'pertelingkahan' antara Tai yang membawakan watak sebagai Tapai dan Azad sebagai Black.

Biarpun jalan cerita melibatkan pergaduhan melibatkan dua geng mat motor sudah klise, namun Idham bijak mengadun agar penonton tidak terlihat persamaannya.

Apatah lagi, Azad yang menggunakan 'slanga mamak', membuatkan penonton geli hati, biarpun Azad hanya muncul dalam beberapa babak sahaja.

Namun penulis pasti, ramai yang ternanti-nanti kemunculannya kerana dia berjaya menghidupkan jalan cerita dengan komedi santainya itu.

Mungkin kerana pertama kali berlakon, Hazama ada kalanya dilihat sedikit kaku.

Bagaimanapun, apabila cerita semakin bergerak, barulah ekspresi Hazama berkembang baik.

Manakala Intan pula berjaya menjiwai wataknya sebagai wartawan jenayah yang terpaksa berpindah ke meja hiburan.

Tidak banyak yang perlu disentuh mengenai sinematografi dan aspek teknikal kerana sebagai pengarah berpengalaman, Idham sudah tentu tahu syot-syot yang sesuai digunakan.

Cuma ada beberapa babak, pencahayaan digunakan tidak terlalu baik dan babak itu kelihatan gelap.

Filem ini mengisahkan Hazama yang mempunyai impian menjadi penyanyi, melalui liku kehidupan bersama teman baiknya, Tapai. Hazama bekerja di bengkel membaiki motosikal, sering bersama menghadapi kerenah Tapai yang berhutang dengan samseng, Black.

Pada masa yang sama, Laila, seorang wartawan, telah ditukarkan ke bahagian hiburan apabila telah melakukan kesilapan ketika operasi yang melibatkan anggota polis tidak lama dulu.

Banyak perkara membuatkan Laila mulai rapat dengan Hazama. Namun, segalanya berubah kerana Laila hanya memerlukan Hazama untuk dia kembali semula ke bahagian jenayah. Apakah akan terjadi pada Hazama seterusnya?

Saksikan filem ini yang mula ditayangkan di pawagam pada hari ini

Diana Danielle, Farid Kamil selamat diijab kabul

SETELAH tiga tahun menjalin hubungan cinta, Diana Danielle Danny Beeson, kini sah menjadi isteri kepada Farid Kamil Datuk Dr. Zahari dengan sekali lafaz pada jam 9.12 pagi tadi.

Pasangan sama cantik sama padan itu dinikahkan oleh Pegawai Tabir Agama / Pendaftar Kanan Daerah Gombak, Daim Jajuli dalam suasana penuh romantis di Hotel Flamingo By The Lake Ampang, Ampang.

Farid menyediakan lima dulang hantaran termasuk mas kahwin RM10,000 dan wang hantaran RM10,000 nilai emas, manakala Diana membalas dengan tujuh dulang.

Kira-kira 300 tetamu terdiri daripada ahli keluarga kedua-dua pihak, rakan media dan rakan artis hadir pada majlis penuh bermakna ini.

Amah Aznil songlap barang kemas

KUALA LUMPUR: Selepas kerugian RM40,000 akibat rumah dipecah masuk dan pelbagai barangan berharga dilarikan pencuri awal Ogos lalu, personaliti popular Aznil Nawawi kini menghadapi situasi hampir sama apabila seorang pembantu rumahnya dipercayai melarikan barang kemas, petang semalam.
Aznil melalui Twitter dan facebook memuat naik gambar pembantu rumahnya itu jam 7 malam semalam dan meminta rakan laman sosial yang mengenali pembantu rumah terbabit menghubungi balai polis berhampiran.

"Pembantu rumah Pak Nil mencuri barang kemas dan lari, kejadian berlaku jam 2 petang tadi (semalam). Minta bantu sehingga dia diberkas, sila sebar gambar," katanya.
Bagaimanapun, Aznil gagal dihubungi kerana difahamkan berada di Cape Town, Afrika Selatan untuk mengikuti sebuah program realiti terbaru. Pada 2 Ogos lalu akhbar melaporkan rumah Aznil di Taman Yarl dekat sini dipecah masuk penjenayah menyebabkan selebriti itu kerugian RM40,000 selepas barang kemas iaitu cincin, gelang emas, anting-anting dan rantai kaki dilarikan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...