Apa Celop Toqq: Lawak pecah perut!

SETELAH menemui formula untuk menggeletek penonton setianya menerusi Hantu Bonceng, pengarah prolifik, Ahmad Idham meneruskan formula berkesan itu dalam filem terbarunya, Apa Celop Toqq.

Tidak mempertaruhkan Zizan sebagai 'pak lawak' di dalam filem ini, sebaliknya kehadiran Taiyuddin Bakar (Tai) dan Azad Jazmin banyak menimbulkan konflik komedi sehingga penonton ketawa geli hati.

Selain itu, filem bergenre romantik komedi ini turut melihat gandingan pertama kali Hazama Azmi dan Intan Ladyana sebagai teraju utama.

Sejak awal permulaan cerita, Idham sudah berjaya mengunci perhatian penonton dengan komedi bersahaja dan 'pertelingkahan' antara Tai yang membawakan watak sebagai Tapai dan Azad sebagai Black.

Biarpun jalan cerita melibatkan pergaduhan melibatkan dua geng mat motor sudah klise, namun Idham bijak mengadun agar penonton tidak terlihat persamaannya.

Apatah lagi, Azad yang menggunakan 'slanga mamak', membuatkan penonton geli hati, biarpun Azad hanya muncul dalam beberapa babak sahaja.

Namun penulis pasti, ramai yang ternanti-nanti kemunculannya kerana dia berjaya menghidupkan jalan cerita dengan komedi santainya itu.

Mungkin kerana pertama kali berlakon, Hazama ada kalanya dilihat sedikit kaku.

Bagaimanapun, apabila cerita semakin bergerak, barulah ekspresi Hazama berkembang baik.

Manakala Intan pula berjaya menjiwai wataknya sebagai wartawan jenayah yang terpaksa berpindah ke meja hiburan.

Tidak banyak yang perlu disentuh mengenai sinematografi dan aspek teknikal kerana sebagai pengarah berpengalaman, Idham sudah tentu tahu syot-syot yang sesuai digunakan.

Cuma ada beberapa babak, pencahayaan digunakan tidak terlalu baik dan babak itu kelihatan gelap.

Filem ini mengisahkan Hazama yang mempunyai impian menjadi penyanyi, melalui liku kehidupan bersama teman baiknya, Tapai. Hazama bekerja di bengkel membaiki motosikal, sering bersama menghadapi kerenah Tapai yang berhutang dengan samseng, Black.

Pada masa yang sama, Laila, seorang wartawan, telah ditukarkan ke bahagian hiburan apabila telah melakukan kesilapan ketika operasi yang melibatkan anggota polis tidak lama dulu.

Banyak perkara membuatkan Laila mulai rapat dengan Hazama. Namun, segalanya berubah kerana Laila hanya memerlukan Hazama untuk dia kembali semula ke bahagian jenayah. Apakah akan terjadi pada Hazama seterusnya?

Saksikan filem ini yang mula ditayangkan di pawagam pada hari ini

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...