Saya juga sediakan perkhidmatan percuma menghantar cerita baru kat blog ni terus ke email rakan2.

Misha Omar tangguh kahwin

Ketika ini, soalan cepumas paling kerap diajukan kepada Misha Omar adalah mengenai tarikh dirinya akan menaiki pelamin.

Sepatutnya Misha menamatkan zaman solonya tahun ini, namun pengumumannya sebelum ini, iaitu terpaksa menangguhkan hari bersejarahnya membuatkan spekulasi nakal mula bertebaran.
Apatah lagi ketika teka-teki tarikh perkahwinannya itu timbul, di radio, single terbarunya berjudul Angin Syurga rancak diputarkan. Lirik lagu yang mengisahkan seorang wanita yang mengharapkan kepastian selepas sering disogokkan dengan kata-kata manis seolah-olah menterjemahkan perasaan sebenar penyanyi, pelakon dan pengacara berusia 31 tahun ini.


Lantas ada yang membuat andaian lagu itu ada kaitan dengan situasi dialaminya. Ketika diajukan pertanyaan itu, Misha tidak menolak andaian lagu terbabit kisah benar yang pernah terjadi dalam hidupnya.

"Saya pernah melalui saat seperti yang tertera dalam lirik lagu itu dan apabila ia sebuah kisah benar, lagu itu boleh dikaitkan dengan sesiapa saja.

Namun, itu kisah lalu dan bukanlah menggambarkan situasi saya hari ini.

"Kami terpaksa menangguhkan tarikh perkahwinan bukan kerana masalah peribadi, tetapi disebabkan masing-masing sibuk dengan kerja," jelas Misha ketika ditemui pada majlis pelancaran Konsert Jelajah 3 Permata yang menampilkan dirinya, Adibah Noor dan Jaclyn Victor, di Mutiara Damansara, baru-baru ini.
Hadir sama ialah wakil penganjur, iaitu Faizul Zakaria daripada Dangerous Events dan juga Pengarah Muzik, Aubrey Suwito.


Beri peluang tunang nikmati pemanduan Airbus


Penyanyi lagu Bunga-Bunga Cinta ini juga turut menafikan dirinya dan tunang, Firos Ezzwan Rossly, sengaja merancang kesibukan masing-masing supaya perkahwinan mereka diperlambatkan.

"Oh, dakwaan itu tidak benar sama sekali. Kebetulan tahun ini karier seni semakin rancak apabila lagu Angin Syurga kerap diputarkan di radio. Pada Mei, album baru saya akan dipasarkan, yang membuatkan saya kembali sibuk dengan aktiviti promosi. Kemudian, saya bakal berlakon dalam teater, Nyonya & The Gang, dan selepas Aidilfitri saya kena fokus dengan konsert ini pula. Jadi, nampak gayanya memang perkahwinan ini terpaksa ditangguhkan ke tahun depan," terangnya.

Bagi Misha, apabila bercerita bab perkahwinan, dia tidak mahu ia dilakukan dengan terburu-buru. Sebaliknya, wanita ini mahu menikmati majlis bersejarahnya itu dengan seindah-indahnya.

"Bagaimana mahu bercerita soal perkahwinan jika persiapannya hanyalah sekadar angan-angan. Buat masa ini saya sedang mencari-cari contoh pakaian pengantin yang bakal digayakan pada hari berkenaan.

"Lagi pun, tunang saya baru saja ditauliahkan untuk memandu Airbus, sesuatu yang diimpikannya sejak dulu. Saya mahu menjadi tunang yang baik dan memahami. Biarlah dia menikmati saat manis itu sebelum melangkah ke fasa baru dalam kehidupan," ujar Misha yang mengikat tali pertunangan dengan Firos, seorang juruterbang, Februari tahun lalu.

Dituduh tarik diri kerana takut kalah


Sangka Misha, tindakannya menarik balik penyertaan lagu Angin Syurga dalam pertandingan Muzik-Muzik adalah perkara biasa dan tidak perlu dijadikan isu.

Selepas 11 tahun berada dalam industri dan dewasa dengan program itu, kata Misha dia mahu memberi laluan kepada muka baru untuk menikmati apa yang pernah dirinya dan artis senior lain merasainya.

Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila ada pihak tidak bertanggungjawab menyampaikan cerita kononnya Misha menarik diri kerana takut kalah.

"Perkara ini sepatutnya tidak dijadikan isu kerana saya menarik diri atas persetujuan bersama, semua termasuk komposer dan syarikat rakaman.

"Nak kata saya takut kalah, rasanya, jika disingkap sejarah pembabitan saya dalam Anugerah Juara Lagu, kekalahan adalah sesuatu yang sinonim dengan saya. Saya pernah melalui detik manis itu menerusi lagu Bunga-Bunga Cinta dan Pulangkan, serta dua trofi untuk vokal terbaik. Saya sudah memilikinya," terang Misha mempertahankan pendiriannya.

Tiga vokal jadi taruhan


Mengenai konsert yang bakal dijayakannya, Misha berkata, besar kemungkinan peminat bakal diperdengarkan dengan lagu daripada album terbarunya.

"Selain itu, dalam tempoh setengah jam diberikan, saya juga akan menyampaikan lagu popular saya dan juga persembahan tribute hasil paduan suara bersama Adibah dan Jac," ujarnya.

Bercerita mengenai konsert yang diadakan rentetan kejayaan persembahan serupa di Singapura tahun lalu, Misha berkata, dia yakin konsert ini bakal mendapat sambutan walaupun pertunjukan percuma berleluasa.

"Saya percaya peminat saya, Adibah dan Jac akan memberikan sokongan padu kerana mereka semua tahu, kekuatan kami bertiga ialah vokal.

"Di Singapura misalnya, saya sendiri terkejut dan pada masa sama teruja melihat sambutan kerana ketika konsert percuma banyak dianjurkan, mereka sanggup mengeluarkan wang menonton persembahan kami," katanya.

Konsert Jelajah 3 Permata akan diadakan di enam lokasi terpilih iaitu Sarawak (21 September), Sabah (28 September), Johor (12 Oktober), Pahang (19 Oktober), Kedah (26 Oktober) dan Kuala Lumpur (2 November).

Tiket berharga RM40 hingga RM250 akan mula dijual pada 1 Mei ini dan boleh didapati di laman web www.3permata.com.my

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...