Saya juga sediakan perkhidmatan percuma menghantar cerita baru kat blog ni terus ke email rakan2.

Datin Azizah stabil akibat kurang gula

Penderitaan penyanyi veteran terus dapat perhatian, terima sumbangan RM5,000 daripada FINAS

Penyanyi era 60-an, Datin Azizah Mohamad, 63 kini kembali stabil selepas dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 11 April lalu akibat kekurangan gula dalam darah.

Sebelum ini, penyanyi lagu Syurga Idaman bersama Orkes Nirwana itu pernah dimasukkan ke HKL akibat beberapa komplikasi penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, jangkitan kuman dalam paru-paru dan kanser pangkal rahim yang dihidapinya setahun lalu.
Penderitaan Azizah mendapat perhatian beberapa pihak termasuk wakil Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), yang mengunjunginya, baru-baru ini.


Ketua Pengarah FINAS, Raja Rozaimie Dalnish Shah, berkata pihaknya simpati dengan nasib penyanyi pop yeh yeh itu yang tidak lagi aktif membuat persembahan akibat pelbagai penyakit ditanggungnya.

Begitupun, dana yang diperuntukkan FINAS bagi membela kebajikan artis sedikit sebanyak mampu meringankan beban artis terbabit.

"Melalui polisi kementerian, memang tersedia dana untuk membantu golongan artis yang ditimpa musibah. Beliau antara artis veteran yang layak menerima bantuan RM5,000 yang diperuntukkan FINAS. Pihak kita juga tidak memilih mana-mana artis yang wajar mendapat bantuan ini, meskipun dia pernah mendapat sumbangan pihak lain.

"Bukan saja artis yang muncul di khalayak ramai, malah penggiat belakang tabir juga layak menerima bantuan ini sekiranya berhadapan masalah kesihatan. Sumbangan ini juga turut diberikan kepada penggiat seni yang berhadapan dengan malapetaka seperti kebakaran dan banjir, dengan dana sebanyak RM10,000," katanya ketika ditemui di HKL, baru-baru ini.
Justeru, FINAS memerlukan kerjasama semua pihak untuk memaklumkan andainya ada penggiat seni ditimpa musibah.

Tanggung pelbagai penyakit


Sementara itu, suami Azizah, Datuk A Rahman Hassan, berkata meskipun keadaan Azizah agak stabil, beliau masih terlalu lemah untuk bergerak. Menurutnya, isterinya itu kini tiada selesa makan.

"Sebelum ini, hampir sebulan dia dirawat di sini kerana pelbagai penyakit. Doktor juga mengesahkan kansernya kini sudah sampai peringkat 3B. Menurut doktor, dia harus melakukan pembedahan, tetapi saya mengambil keputusan membawanya keluar dan mencuba perubatan alternatif. Alhamdulillah, keadaannya nampak positif selepas beberapa rawatan.

"Namun, pada 11 April lalu, badannya kembali lemah dan tidak bermaya. Kami terus menghubungi ambulans untuk membawanya ke HKL. Sebelum itu dia sempat diberikan rawatan kecemasan di rumah oleh pegawai kesihatan," katanya.

Enggan susahkan orang ramai


Meskipun lebih seminggu mendapat rawatan rapi di hospital itu, namun Rahman sengaja tidak mahu menghebahkan tahap kesihatan isterinya kepada umum.

"Memang tidak ramai yang tahu isteri saya dimasukkan ke HKL. Saya sengaja tidak mahu menyusahkan sesiapa dan menagih simpati. Saya mahu isteri saya berehat secukupnya dan mendapat rawatan yang baik daripada pihak HKL.

"Namun saya juga tidak menghalang rakan artis yang ingin melawat walaupun kehadiran FINAS ini sendiri sudah cukup untuk memaklumkan mengenai keadaannya kepada umum," katanya yang bergilir-gilir bersama anaknya menjaga Azizah di hospital.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...