Amyza promosi diri guna Facebook, Twitter

AKTRES Amyza Adnan sudah terlibat dalam dunia lakonan sejak berusia 16 tahun. Kini pada usia 36 tahun, ibu kepada dua orang anak ini masih lagi ligat berlakon.
Meskipun cukup terkenal dengan drama komedi selepas membintangi Tiga Dara: Tan Tin Tun namun, Amyza juga mampu membawakan watak-watak yang serius dan berat seperti dalam drama Trilogi Cinta.
Ketika ditemui pada majlis sidang media drama terbaharu lakonannya berjudul Spy M, Amyza mengakui kerjaya lakonannya tidak tergugat langsung walaupun industri seni kini dibanjiri oleh pelakon baharu dan muda.
 
Kosmo!: Bolehkah cerita tentang perkembangan terkini kerjaya lakonan Amyza?
AMYZA: Alhamdulillah, saya masih menerima tawaran lakonan. Setakat ini belum pernah saya berasa resah gelisah kerana tidak ada kerja. Kehidupan saya sentiasa sibuk ditambah dengan tugas sebagai ibu kepada dua orang anak.
 
Tidakkah anda rasa tergugat dengan kemunculan ramai pelakon baharu yang lebih muda?
Sejujurnya, saya tidak pernah rasa tergugat kerana saya sentiasa ada kerja. Rasanya saya masih ada pasaran untuk televisyen dan filem (ketawa). Tambahan pula, saya tidak akan memegang watak yang sama berulang kali untuk menjaga kualiti lakonan sebagai langkah untuk memanjangkan usia kerjaya saya.
 
Maknanya kini anda lebih memilih?
Ya, sekarang memang saya agak memilih watak berbanding 10 tahun dahulu ketika mula-mula berlakon. Dahulu apa sahaja watak yang ditawarkan, saya terima tanpa memikirkan kesan jangka panjang. Kini, saya lebih matang dan saya harus memilih supaya penonton tidak jemu menonton lakonan saya.
 
Nama anda cukup sinonim dengan cerita komedi. Apakah pandangan anda?
Sebenarnya saya tidak hanya membawakan watak komedi. Banyak juga watak berat yang saya bawakan. Mungkin watak komedi yang saya bawakan lebih meninggalkan kesan kepada penonton, sebab itu orang ingat saya pelakon komedi semata-mata. Sebenarnya, saya tidak kisah asalkan mereka terhibur apabila menonton lakonan saya.
 
Adakah sukar untuk anda mendapatkan perhatian daripada peminat apabila semakin berusia?
Kalau zaman dahulu memang susah, tetapi zaman sekarang teknologi sudah semakin canggih. Banyak medium untuk mempromosikan diri serta kami lebih dekat dengan peminat. Contohnya, Twitter dan Facebook. Jadi, apa sahaja projek terbaharu dan berita mengenai diri sendiri, saya boleh terus sampaikan kepada peminat. Memang teknologi amat membantu dalam kelangsungan kerjaya saya.
 
Khabarnya watak sebagai Madam J dalam drama Spy M merupakan watak idaman anda, betul dan kenapakah?
Saya macam tidak percaya apabila pada usia begini saya ditawarkan watak sebagai Madam J yang memerlukan saya berlawan dan melakukan sendiri pelbagai aksi lagak ngeri sendiri. Ini kali pertama saya pegang watak sebagai penyiasat. Waktu muda-muda dahulu tidak pula ditawarkan sebegini (ketawa).

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...