Daphne Iking Mahu Dedah Kepincangan Rumah Tangga

PETALING JAYA: Pengacara televisyen, Daphnie Iking akan mendedahkan kepincangan dalam rumah tangganya termasuklah pelbagai tuduhan yang dilemparkan melalui pementasan Super Kam & The League of Extraordinary Femmes.
Daphnie berkata, selama ini ramai pihak yang tidak tahu apakah sebenarnya yang berlaku dalam rumah tangganya sehingga menyebabkan hatinya benar-benar pedih dan terluka.
"Ya, hati saya pedih apabila bekas suami menyaman lelaki lain kerana mengurat saya tetapi saya cuba melupakan peristiwa itu dengan ketawa.
"Ramai yang tidak tahu cerita sebenar tentang masalah dalam rumah tangga saya tetapi menuduh saya yang bukan-bukan, jadi saya mahu menggunakan pentas teater untuk mendedahkan semua itu," katanya secara eksklusif kepada mStar Online.
 
Daphne Iking
 
Teater komedi itu bakal dipentaskan di Black Box @ MAPS KL, Publika, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur bermula dari 28 Jun hingga 1 Julai depan, pukul 8.30 malam.
Ia mengambil ilham daripada kes mahkamah yang membabitkan bekas suaminya dan seorang tokoh korporat yang didakwa menggoda Daphne.
Pementasan itu turut diterajui oleh pelawak handalan iaitu Joanne Kam Poh Poh, Jo Kukathas, Joanna Bassey, Maya Tan dan Shamaine Othman.
Dalam pementasan itu beliau akan memegang watak wanita idaman lelaki (wet dream girl) yang akan diterjemahkan dalam sebuah komedi spontan.
Daphnie atau nama Islamnya Dahlia Eleanor Iking telah berkahwin dengan seorang ahli perniagaan iaitu Azmi Abdul Rahman pada 8 Januari 2011 dalam satu majlis ringkas yang diadakan di rumah keluarganya di Penampang, Sabah.
Menyedari akan kritikan yang bakal diterima terutama selepas memeluk Islam dan berkahwin dengan lelaki Melayu, Daphne berkata; "Saya tidak peduli apa yang orang lain akan kata. Allah tahu siapa sebenarnya diri saya."
Sementara itu Joanne mengakui turut simpati dengan tohmahan yang terpaksa ditanggung oleh teman rapatnya itu sehinggalah dia terpanggil untuk menjadikan kisah tersebut sebagai bahan jenaka melalui pementasan terbabit.
"Saya suka menggunakan kisah peribadi sebagai bahan jenaka. Sebagai sahabat, saya banyak menggunakan Daphne sebagai 'mangsa' lawak jenaka saya.
"Untuk pementasan kami kali ini, saya mahu Daphne menjadi gadis GRO yang dilanggan bekas suaminya," ujarnya sambil ketawa.
Diterbitkan oleh ToniQ Creative, Super Kam & The League of Extraordinary Femmes turut memaparkan sketsa yang menyentuh isu-isu politik dan sosial semasa.
Tiket-tiket berharga RM58 dan RM68 boleh diperoleh dengan menghubungi TicketProhotline di talian 03-7880-7999, atau layari www.ticketpro.com.my

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...