Didie Alias Fan Club

MELALUI pelbagai dugaan sepanjang lebih 20 tahun bergelar anak seni, pelakon yang kini semakin dikenali sebagai pelawak, Didie Alias, tidak pernah berputus asa dalam melayari perjalanan hidup sebagai selebriti biarpun ada kalanya jalan yang dilalui penuh berliku.

Begitu sabar melalui banyak cemuhan dan kadangkala kata-kata nista masyarakat yang mengkritik penampilannya sebelum ini, Didie bagaimanapun tidak mahu menoleh ke belakang lagi.

Percaya akan kesetiaan peminat yang menilainya dari segi bakat, pelawak berusia 38 tahun ini bersyukur apabila usahanya selama ini berhasil dengan kemenangannya sebagai Artis Komedi Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular 2011 (ABP2011) yang berlangsung awal bulan April lalu.

Menyedari kemenangan yang diraih adalah hasil undian peminat, Didie berhasrat ingin menubuhkan kelab peminatnya sebagai tanda menghargai para peminat yang selama ini setia menyokong kerjayanya.

"Alhamdulillah, rezeki yang datang semakin bertambah selepas kemenangan pada hari itu. Namun, saya masih lagi Didie yang dulu dan tidak pernah meletakkan harga yang tinggi hanya kerana kejayaan yang saya raih.

"Sebagai menghargai peminat, saya berhasrat ingin menubuhkan kelab peminat, Lady Didie's Fanclub supaya peminat-peminat saya mudah untuk mengetahui aktiviti yang saya lakukan.

"Sebagai permulaan, saya akan mengambil 50 orang pertama yang akan menyertai fanclub ini untuk menjadi kumpulan pertama Lady Didie's Fanclub," katanya yang berhasrat membuat majlis kesyukuran sempena kemenangannya di ABP2011.

Didie yang ditemui semasa Minggu Setiausaha Datuk Shake baru-baru ini berkata, dia bagaimanapun tidak pernah meletakkan setiap kerjanya semata-mata untuk meraih anugerah.

"Saya sedar selama ini ramai peminat yang menyokong dan saya juga tahu bukannya mudah untuk mereka ini melakukan tugas undian kerana perlu mengumpul keratan akhbar dan ada juga yang menghantar SMS dan mengundi menerusi online.

"Namun, saya anggap ini sebagai hasil usaha keras saya setelah 22 tahun berada di dalam industri. Bukannya saya bermaksud usaha untuk mendapatkan anugerah tetapi pada saya, peminat sudah ramai yang melihat usaha yang saya lakukan selama ini," katanya lagi.

Bakal berganding dengan pelawak terkenal

Bekas pengacara program game show, Kalau Berani 1 VS 0 ini juga sempat memberitahu mengenai tawaran terbaru yang diterimanya.

Katanya, tawaran tersebut bakal menggandingkan dia dengan seorang pelawak lelaki terkenal untuk sebuah rancangan bual bicara.

"Sebuah stesen televisyen swasta ada menawarkan saya untuk bergandingan dengan seorang pelawak terkenal sebagai pengacara sebuah talk show. Namun, kami masih lagi belum sempat berbincang," katanya yang kadangkala terpaksa menolak beberapa tawaran lain kerana terikat sebagai pengacara.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...