Saya juga sediakan perkhidmatan percuma menghantar cerita baru kat blog ni terus ke email rakan2.

Artis Jadi Anggota Rela

 
 
Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) mahu kerajaan menubuhkan satu unit khas di bawah Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) untuk artis-artis tempatan supaya segala aktiviti kebajikan yang dilakukan melalui agensi itu dihargai.
Timbalan Presidennya, Zed Zaidi berkata, usul tersebut telah pun diberi kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Hishammuddin Tun Hussein pada 13 Mac lalu dan ia merupakan salah satu usaha Seniman menjaga kebajikan para artis tempatan.
"Tujuan saya mengusulkan cadangan tersebut adalah kerana senang jika kita ingin meminta apa-apa peruntukan daripada pihak kerajaan jika artis kita terlibat dengan aktiviti seumpama itu.
"Saya mencadangkan artis yang menjadi ahli Seniman, mereka sekali gus akan menjadi ahli Rela dan segala pergerakan aktiviti kebajikan dijalankan dengan lebih mudah," katanya pada sidang akhbar khas yang diadakan di Saloma Bistro, di sini, Jumaat.
Sidang akhbar tersebut diadakan bagi membetulkan usul yang menjadi kontroversi sebelum ini iaitu permohonan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), perkhidmatan insurans perlindungan diri dan penggunaan cermin gelap kereta untuk semua ahli Seniman.
Zed Zaidi (duam dari kiri) bersama sebahagian ahli Seniman.
Zed mendakwa usul berkenan disalah lapor sehingga membuatkan dia menerima ugutan daripada pihak yang tidak berpuas hati khususnya berkaitan permohonan cermin gelap kereta untuk artis.
Sebaliknya kata Zed, usul sebenar ialah permohonan perkhidmatan insurans perlindungan kemalangan diri, peruntukan Rumah Rakyat 1 Malaysia selain penubuhan unit khas di bawah Rela.
"Saya terkejut apabila kenyataan saya disalah ertikan lebih-lebih lagi berkenaan dengan isu cermin kereta gelap, saya tidak pernah menyatakannya.
"Apa-apa pun saya meminta maaf sekiranya memang benar saya menyebut perkara itu memandangkan pada hari saya ditemu bual pada Karnival Muzik Belia 2011 bersama Barisan Nasional (BN) pada 5 Mac lalu, fikiran saya berserabut memikirkan pelbagai aktiviti yang dijalankan.
"Saya harap, menerusi sidang akhbar ini, ia dapat dijelaskan dengan betul," ujarnya.
Tambah Zed Zaidi, sidang akhbar yang diadakan bukan bertujuan ingin memanipulasikan keadaan memandangkan dia dikritik hebat sepanjang minggu lalu gara-gara tiga usul yang dikemukakan sebelum ini.
"Saya harap, pihak luar tidak salah faham dengan kenyataan yang diberikan hari ini kerana saya hanya ingin menjelaskan situasi sebenar kerana jika tidak ia boleh mengelirukan para artis, kerajaan serta masyarakat di luar sana.
Pada sidang akhbar berkenaan, pihak Seniman turut menjemput pelakon baru, Melia Aimiellia, bagi membersihkan namanya gara-gara fitnah penyebaran isu video lucahnya yang tersebar menerusi blog hiburan.
Persatuan tersebut telah membuat pengesahan bahawa wanita yang beraksi lucah dalam video tersebut bukanlah Melia seperti yang didakwa.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...