'American Idol' merosot

Los Angeles: Penyanyi pop, Mariah Carey dan penyanyi rap, Nicki Minaj, mengucapkan selamat tinggal kepada rancangan American Idol selepas cuma semusim menjadi juri pertandingan nyanyian itu.

Mereka mengikut jejak juri sekian lama, Randy Jackson, yang turut menarik diri di tengah kejatuhan populariti program itu.
Terima kasih American Idol kerana pengalaman yang mengubah kehidupan. Tidak akan menukarkan ia dengan apa-apa. Masa memberi tumpuan kepada muzik!!! kata Minaj dalam laman Twitter, Rabu lalu.


Pengunduran Carey juga diumumkan di Twitter oleh firma perhubungan awamnya, PMK BNC, yang berkata penyanyi itu mengucapkan selamat tinggal kepada idol ketika bersedia mengadakan persembahan di seluruh dunia.

Carey, 43, menjadi juri dengan Minaj, penyanyi country Keith Urban dan Jackson, penerbit muzik, untuk musim ke-12 rancangan itu.

Carey dilaporkan menerima AS$18 juta (RM55.8 juta) manakala Minaj - AS$12 juta (RM37.2 juta). Urban pula menerima AS$8 juta (RM24.8 juta).

Carey dan Minaj, 30, mendapat perhatian sepanjang musim kerana pergaduhan di depan kamera dan perbalahan di studio.
Januari lalu, Carey berkata, beliau mengupah anggota keselamatan tambahan berikutan ancaman dilaporkan dilakukan terhadapnya oleh Minaj.

Populariti merosot

Di sebalik penambahan kuasa bintang yang dimiliki Carey, Minaj dan Urban, populariti rancangan itu jatuh ke paras paling rendah pada musim ke-12, dengan episod akhir musim itu pada 16 Mei lalu cuma menarik 14.2 juta penonton untuk menyaksikan Candice Glover memenangi pertandingan itu.

Fox menyiarkan kenyataan menjelaskan langkah kedua-dua juri itu.

Carey ialah ikon global sebenar dan artis terkemuka dunia. Kami amat bertuah dapat membawa kebijaksanaan dan pengalamannya kepada peserta American Idol musim ini.

Nicki Minaj pula bintang besar yang merangsang American Idol hingga memberi impak positif kepada ramai peserta musim ini.

Kesibukan kerjaya

Disebabkan kesibukan kerjayanya, kami hormati keputusan beliau dan mengharapkan yang terbaik untuknya, kata Fox.

Jackson juga mengumumkan bulan ini tidak akan kembali sebagai juri rancangan itu musim depan. Tidak dapat dipastikan sama ada Urban masih kekal.

Penyanyi pop dan aktres, Jennifer Lopez dan penyanyi kumpulan Aerosmith, Steven Tyler, meninggalkan American Idol tahun lalu selepas dua musim dan menggunakan kemunculan itu untuk melancarkan semula karier muzik.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...