Saya juga sediakan perkhidmatan percuma menghantar cerita baru kat blog ni terus ke email rakan2.

Jamal Abdillah jadi pengarah

DIA menghibur orang dan dia juga yang menjadi pengarah persembahan untuk Konsert Ekstravaganza Jamal Abdillah -P.Ramlee Dalam Kenangan yang akan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur pada 30, 31 Mei, 1 dan 2 Jun depan.
Menurut Jamal Abdillah, dia bukan sengaja bersikap tamak untuk mendominasi konsert solonya di situ tetapi semua itu dilakukan bagi memudah perjalanan konsert yang dianjurkan oleh Bintang Channel, syarikat miliknya.
 
"Memanglah kalau saya yang menjadi pengarah persembahan untuk konsert itu kos sudah dapat dikurangkan sedikit. Sebenarnya,saya nak jadi pengarah persembahan untuk konsert berdurasi dua jam itu bagi memudahkan kerja.
"Sebagai penyanyi saya tahu, lagu apa yang nak diketengahkan dan susunan muzik yang macam mana perlu diberitahu kepada pengarah muzik. Bagi saya dengan cara itu, barulah saya dapat sampaikan apa yang tersirat di sanubari kerana lagu-lagu dendangan Allahyarham Tan Seri P.Ramlee ini amat bermakna," katanya yang ditemui di IB, baru-baru ini.
 
Kata Jamal, bagi mendapatkan kelainan untuk konsert tersebut, dia lebih senang menggunakan pengarah muzik, Leonard Yeap untuk mengiringi persembahannya.
Jelasnya, walaupun belum pernah bekerjasama dengan Yeap tetapi dia tahu hasil kerja pengarah muzik yang merupakan anggota Orkestra Radio Televiysen Malaysia (RTM).
"Tiap kali saya buat persembahan di RTM, Leonard pun ada dan dari situlah saya terfikir untuk menggunakan khidmatnya.
Menariknya, Leonard akan menggunakan kira-kira 55 pemuzik yang terdiri daripada para pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM).
 
"Setelah saya meneliti kira-kira 50 buah lagu dendangan P. Ramlee, saya hanya pilih 30 buah lagu untuk dipersembahkan kelak," jelasnya yang melakukan semua kerja daripada A sampai Z.
Katanya, konsert itu kelak bukan sahaja memperlihat dia mendendangkan lagu-lagu P. Ramlee, malah akan diselitkan juga klip video yang dirakam untuk diselarikan dengan konsep persembahan nanti.
Apabila ditanya kenapa memilih konsert yang berkonsepkan lagu-lagu P. Ramlee, Jamal berkata kerana dia adalah peminat Seniman Agung itu.
 
"Saya adalah peminat P. Ramlee dan amat mengagumi karyanya.Untuk konsert ini saya mahu penonton yang hadir merasai jiwa seni seniman itu menerusi lagu-lagu popularnya.
"Selain menghibur penonton dengan lagu-lagu hits dendangan dan ciptaannya, saya juga ingin membuat hati penonton tersentuh dengan perjalanan hidup Allahyarham," katanya penuh semangat.
Kata Jamal, dia bakal menampilkan konsep ceria dan mainan perasaan pada konsert yang menampilkan lapan segmen itu seperti pop yeh yeh, pancasitara, lagu-lagu duet, lagu-lagu jenaka, super song dan medley.
"Untuk setiap segmen ada keunikan tersendiri. Contohnya untuk segmen pancasitara, saya akan bergandingan bersama Isma Aliff, Musly Ramly, Azlina Aziz dan Nas Adila. Dua penyanyi wanita itu akan bergilir setiap malam menyanyi bersama saya," katanya.
Jelas Jamal, antara lagu yang bakal diperdengarkan adalah Di mana kanku cari ganti, Barang lepas jangan dikenang, Tolong kami, bantu kami, Madu tiga, Kwek mambo dan banyak lagi.
"Saya tidak akan mendendangkan lagu-lagu P.Ramlee yang sering saya nyanyikan sebelum ini seperti Tidurlah Permaisuriku.
 
"Malah saya memilih Nas Adila untuk bersama dalam konsert ini kerana saya lihat dia berkebolehan dan ini adalah kolaborasi kami yang pertama," jelasnya.
Dalam pada itu Ketua Pengarah IB, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, nama Raja Pop itu sudah sinonim dengan IB dan sebab itulah pihaknya tidak menolak permintaan Jamal untuk mengadakan konsert di situ.
 
Katanya, setakat ini setiap konsert yang dijayakan oleh Jamal sentiasa mendapat sambutan menggalakkan dan sebab itulah IB tidak ragu-ragu untuk menampilkan persembahan penyanyi tersebut.
"Jamal ada pakej tersendiri terutama dari segi suara. Malah dia juga ada peminat setia. Saya harap penganjuran konsert solonya nanti dapat menghibur peminat-peminatnya yang ternanti-nanti kemunculannya di IB.
 
"Biarpun kali ini Jamal tidak mendendangkan lagu-lagu popularnya tapi saya yakin lagu-lagu P.Ramlee yang menjadi pilihannya adalah lagu-lagu yang mesra di pendengaran telinga dan sudah tentu kita dapat menikmati konsert tersebut dengan gembira," katanya yang turut sama dalam pertemuan dengan Jamal.
Sementara itu, tiket-tiket yang ditawarkan untuk konsert tersebut berharga RM458, RM408, RM308, RM208, RM108, RM88 dan RM58 yang boleh dibeli menerusi www.ticket2u.biz.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...