Rosyam harap kembali popular menerusi filem KL Gangster 2

Era kegemilangannya kini mungkin sudah dibayangi barisan pelakon lebih baru seperti Aaron Aziz dan Adi Putra. Bagaimanapun pelakon, penerbit dan pemilik produksi Suhan Movies & Trading Sdn Bhd, Rosyam Nor, belum bersedia untuk menyerah kalah tatkala usianya semakin bertambah.

Saat dia menyedari dirinya mungkin tidak lagi diinginkan peminat seperti dulu, Rosyam turut berharap orang ramai tidak melupakannya terus. Malah dia juga percaya, usia bukanlah halangan untuk seseorang pelakon diangkat sebagai hero.
"Saya sedar diri saya bukan macam dulu lagi. Bila saya mainkan watak utama dalam filem pun, belum tentu orang akan ke pawagam untuk tengok. Kini bukan seperti zaman saya berlakon dalam filem seperti Castello tujuh tahun lalu.


"Saya mungkin popular pada suatu ketika dulu, tetapi kini saya sudah berumur. Sekarang ini, saya menumpang populariti pelakon seperti Aaron dan Adi.

"Sebab itulah saya berterima kasih pada Datuk Yusof Haslam dan Syamsul Yusof sebab memberikan kepercayaan pada saya untuk berlakon dalam KL Gangster 2. Saya harapkan keajaiban akan berlaku nanti, yang membolehkan saya mengukir nama kembali menerusi filem ini," katanya yang ditemui pada majlis pratonton drama terbaru keluaran produksi miliknya, Bunga Merah Punya.

Tidak hanya tertumpu pada produksi drama, Rosyam juga akan membuka produksi baru khusus untuk penghasilan filem. Dijangkakan, syarikat itu akan dilancarkan sekitar April nanti.

Akan menghasilkan tiga filem baru di bawah syarikat barunya itu, selepas Balistik dan Istilah Cinta, Rosyam bagaimanapun masih merahsiakan nama syarikat berkenaan.
"Suhan Movies & Trading khas untuk drama, manakala syarikat baru saya nanti itu untuk pengeluaran filem. Melabur dalam pembikinan filem menggunakan bajet yang besar, jadi saya tak mahu tanggung seorang. Sebab itulah saya tubuhkan syarikat bersama rakan kongsi. Saya tak mahu kacau pengurusan Suhan Movies." katanya.

Ketika dirinya berazam untuk kembali aktif menghasilkan filem, termasuk Jefrizal dan Phe Lam Lee, Rosyam tetap berjanji dunia penerbitan drama tidak akan ditinggalkan.

Usaha itu dikatakan bukan hanya untuk keuntungan diri sendiri, sebaliknya demi pembangunan serta perkembangan industri seni tempatan. Malah, Rosyam juga mahu membuktikan pelakon berumur sepertinya masih mampu untuk memegang watak utama di layar perak.

Secara tidak langsung, dia menolak tanggapan negatif mengatakan pelakon sudah berkahwin dan mempunyai anak tidak boleh berjaya dalam bidang terbabit. Atas alasan itu juga dia berusaha menjaga penampilan diri serta fizikal untuk kekal bersaing.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...