Saya juga sediakan perkhidmatan percuma menghantar cerita baru kat blog ni terus ke email rakan2.

Jangan cemburukan saya - Aaron Aziz

WATAK Adam Mukriz yang dilakonkan aktor Aaron Aziz dalam drama bersiri popular Adam & Hawa nampaknya benar-benar meninggalkan kesan kepada penonton setia drama itu.Lebih mengejutkan baru-baru ini, sepasang suami isteri berusia sekitar 50-an telah bercerai gara-gara si suami cemburu melihat isterinya yang obses dengan Aaron dan leka menonton drama Adam & Hawa.Perkara itu diketahui Aaron dan dia sendiri cukup terkejut dengan apa yang telah berlaku itu."Saya tahu tentang perkara ini. Memang sangat terkejut sebab sampai bercerai kerana lakonan saya dalam drama Adam & Hawa.
 
"Apa yang boleh saya katakan, Adam Mukriz atau mana-mana watak yang dilakonkan saya tidak lebih sekadar lakonan semata-mata kerana itu sudah kerja saya sebagai pelakon.
"Jangan cemburukan saya kerana rasanya tidak wajar minat drama sampai bercerai-berai. Pasangan itu perlu berbincang, mungkin ada silap di mana-mana," katanya yang ditemui pada acara Jom Fiesta anjuran Utusan Karya Sdn. Bhd., Bangi, Selangor baru-baru ini.
 
Sebelum Adam & Hawa, drama Nora Elena juga menimbulkan isu apabila ramai wanita mengidamkan lelaki yang romantis seperti watak Seth Tan lakonan Aaron. Ditanya apakah rahsianya sehingga watak-watak lakonannya meninggalkan kesan mendalam terhadap penonton, Aaron hanya tertawa panjang.
Tuturnya: "Kerja saya cukup berbaloi andai saya dapat menghiburkan penonton. Saya tidak pernah memilih watak kerana setiap watak yang diberikan saya akan lakukan seikhlas yang mungkin.
"Maknanya, saya mahu penonton percaya lakonan saya seolah-olah benar. Jika penonton percaya dengan watak yang saya bawakan, itu satu penghargaan buat saya, tetapi dalam masa yang sama penonton harus ingat, itu sekadar lakonan sahaja."
 
Mahu kekal sebagai aktor
Selain berlakon, Aaron juga bergelar seorang pengarah drama dan iklan serta pengacara program realiti popular Fear Factor. Terbaharu, Aaron juga menyumbangkan suara dalam lagu Salam Semua dengan anak didiknya kumpulan Sleeq yang dianggotai Ahmad Syarifullah Ahmad Soribah (Syarif) dan Muhammad Alif Abdullah (Alyph).
Meskipun berkebolehan melakukan pelbagai kerja dalam satu masa, Aaron hanya mahu dikenali sebagai aktor sahaja.
 
"Bidang pengacaraan hanya sebagai percubaan dan saya sedar bidang itu bukan untuk saya. Memang saya cukup seronok menjadi pengacara program Fear Factor tetapi banyak lagi yang perlu saya belajar.
"Jika untuk program rakaman saya okey tetapi untuk siaran langsung seperti program Maharaja Lawak Mega saya tidak berani.
"Pengarah drama dan iklan sebenarnya itu pekerjaan saya sebelum datang ke Malaysia lagi dan masih aktif sebagai pengarah sampai hari ini. Cuma jadi penyanyi bersama Sleeq itu perkara yang sangat baru.

"Apa salahnya mencuba tetapi lagu Salam Semua merupakan lagu pertama dan terakhir saya (ketawa). Saya mahu orang kenali saya hanya sebagai aktor," balasnya.
Walaupun rezeki dalam bidang lain turut datang bergolek kepadanya, Aaron mengekalkan prinsip enggan tamak dan hanya melakukan pekerjaan yang dia benar-benar mahir sahaja.
"Seronok jadi penyanyi dan pengacara tetapi biarlah pekerjaan itu dilakukan oleh orang yang lebih mahir sahaja.
 
"Aaron Aziz tidak akan memiliki sebarang album solo (ketawa). Saya sendiri tidak pernah bermimpi untuk menjadi penyanyi kerana sedar tahap vokal saya berada di mana.
"Pekerjaan sebagai pengarah akan diteruskan dan saya akan tampil dengan produk baharu di bawah syarikat sendiri iaitu Aaronaziz Production. Buat masa ini masih dalam peringkat perbincangan, selepas jadual saya kosong daripada lakonan saya akan duduk di kerusi pengarah semula," ujarnya.
 
Tidak cerewet
Walaupun nama sudah berada di puncak populariti, tetapi Aaron mengakui dia tetap seperti dahulu dan tidak memilih watak lakonan yang ditawarkan kepadanya.
Enggan selektif kerana menurut Aaron setiap watak yang diterima mempunyai nilai seni yang tersendiri. Terpulang kepadanya serta pengarah untuk mencorakkan watak itu.
"Memang saya tidak pernah memilih tawaran lakonan. Kalau dilihat semula watak yang saya bawakan, saya pernah berlakon pelbagai genre drama dan filem.
 
"Saya tidak letak diri saya di tempat yang tinggi sehingga mempunyai kuasa memilih watak dan produksi. Cuma kekangan saya adalah jadual kerja yang padat," ungkapnya jujur.
Tegas Aaron, dia enggan cerewet kerana bukan mudah untuknya membina nama seperti hari ini, setiap tawaran yang datang dianggap sebagai rezeki buatnya.
"Jika saya melakukan sesuatu dengan ikhlas, saya percaya hasilnya juga akan baik. Apa yang saya ada hari ini bukan datang dengan mudah, saya berusaha untuk mendapatkannya.
"Penat itu perkara biasa. Kerja apa sekalipun memang penat. Saya lakukan semua untuk keluarga dan minat terhadap lakonan," tuturnya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...