Butterfingers dan MCKK

BAGI kumpulan pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) kemasukan antara 1990 hingga 1994, pasti ada masih ingat konsert oleh tiga pelajar tingkatan empat selepas tamat program merentas desa sekolah itu pada tahun 1993.
Pada masa itu mungkin mereka beranggapan konsert oleh Khairil Ridzwan Anuar (Loque), Mohd. Fakharudin Mohd. Bahar (Kadak) dan Khairul Nizam Mois (Kalai) tidak lebih persembahan tiga rakan baik atau 'budak-budak' sekolah yang mahu berjinak dengan muzik.
Namun 20 tahun berlalu, tiada siapa menjangkakan konsert tersebut merupakan permulaan perjalanan sebuah band underground terkenal negara, Butterfingers.
 
Lapan album, kontrak rakaman bersama syarikat rakaman antarabangsa dan jualan album melebihi 50,000 unit (walaupun pasaran album merudum dan publisiti terhad), bukti kehebatan band itu, sekurang-kurangnya dalam dunia muzik underground tempatan.
Apa yang lebih penting kejayaan Butterfingers membuktikan MCKK turut melahirkan artis berjaya, berkembang dan maju dalam bidang diceburi.
Loque ketika ditemui S2 baru-baru ini mengakui walaupun band itu melalui proses perubahan termasuk kemasukan penyanyi Emmett Roslan Ishak (Emmett), namun segalanya bermula di MCKK.
''Kami main muzik bermula tingkatan dua. Outing hujung minggu kami ke Kuala Kangsar, jamming di studio Zai Am. Untuk dapat feel, kami bawa baju dan tukar pakaian seragam dalam studio.
 
''Walaupun sekadar jamming tetapi studio sesak dengan 'pengikut','' katanya.
Mengimbau zaman persekolahan di MCKK pula, Loque tidak dapat melupakan kehidupan semasa tingkatan satu dan dua.
''Amat mencabar. Selain ketegasan pengawas, kami berhadapan dengan 1,001 peraturan yang tidak dijangka. Paling ditakuti adalah fire drill yang boleh berlaku bila-bila masa, tengah malam atau awal pagi. Dan jika berlaku, bersedialah menanti hukuman walaupun kesalahan itu dilakukan oleh pelajar lain.
 
''Semua itu bukan sahaja meninggalkan memori indah tetapi membentuk keperibadian kami, jati diri, ketahanan dan daya juang. Sebab itu, budak MCKK 'campak' sahaja ke mana, boleh hidup,'' ujarnya yang sehingga hari ini masih fobia apabila mendengar bunyi buzzer fire drill.
Loque yang bakal menimang cahaya mata pertama April ini memberitahu dia tidak menyesal memilih muzik kerana baginya apa yang penting adalah kesungguhan dan matlamat melakukan sesuatu.
''Hari ini saya bukan sekadar seorang penyanyi atau pemain muzik. Saya juga mengubah lagu, mencipta lirik dan menjadi pengarah muzik filem,'' ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...