Najwa menyendiri

Bukan saja menyepikan diri seketika dari dunia seni, pelantun lagu popular Cinta Muka Buku, Najwa Latif, 17, mengambil keputusan drastik mengetepikan semua aktiviti sosial dan memberi perhatian sepenuhnya terhadap pelajaran, mulai sekarang.

Bakal menempuhi SPM pada 6 November depan, pelajar jurusan sains Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Temenggung Ibrahim (SMKPTI), Batu Pahat, Johor ini memutuskan komunikasi dengan setiap laman sosialnya - baik Facebook, Twitter dan Instagram. Malah, telefon bimbitnya juga dimatikan sementara waktu dan hanya akan dihidupkan kembali selepas SPM berakhir.
Tidak mahu terganggu dengan aktiviti melalaikan, Najwa yang dihubungi HIP melalui telefon bimbit ibunya, Zarina berjanji akan kembali aktif dengan aktiviti seni apabila peperiksaannya tamat.

Akui rindu bermain muzik, Najwa bagaikan tidak sabar untuk kembali bergelumang dengan dunia muzik.

"Disebabkan rindu, setiap minggu saya akan menghadiri satu sesi kelas muzik. Selalunya, saya akan pergi pada hujung minggu di mana saya meluangkan masa bermain gitar, jadi dapatlah saya melepaskan rindu.
pix_gal0

"Sekarang saya sibuk dengan persediaan menjelang SPM. Saya banyak buat ulang kaji secara berkumpulan, menghadiri tuisyen dan kelas tambahan. Masa saya juga banyak diluangkan belajar di rumah," katanya.

Najwa berkata, agenda seninya terpaksa dihentikan sementara waktu.
"Tapi bukan maksud saya menolak tawaran, di mana aktiviti saya banyak disusun oleh pengurus dan kakak saya, Ika. Jadual selepas SPM pun saya belum tengok lagi kerana hanya mahu fokus dengan pelajaran ketika ini," katanya.

Mengulas mengenai SPM, Najwa mengambil sembilan subjek dengan tempoh peperiksaan dijangka berlangsung tiga minggu.

"Selesai peperiksaan, barulah saya akan ke Kuala Lumpur untuk menjayakan persembahan," jelas Najwa yang mengakui masih banyak topik perlu diulang kaji sebelum SPM bermula.

Berehat dari aktiviti seni sejak April lalu dengan acara Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2011) menjadi majlis terakhir dihadirinya, Najwa berjanji akan menghasilkan album kedua tahun depan.

Menjanjikan kelainan daripada album pertamanya, penyanyi sensasi kelahiran Youtube ini masih berteka-teki dengan konsep album keduanya itu.

Mungkin muzik yang bakal ditampilkan lebih matang, Najwa memberitahu, dia akan menyelitkan sesuatu yang lebih segar supaya peminat tidak bosan.

"Mahu tahu apa yang lainnya dengan album terbaru saya itu, anda kena tunggu. Mungkin saya bermain dengan alat muzik selain gitar, siapa tahu.

"Saya akan mula merakamkan lagu baru mulai tahun depan di mana semua lagu yang akan dimuatkan adalah ciptaan saya dan kakak. Mungkin kami akan memuatkan lima hingga enam lagu, tapi itu semua tidak pasti lagi," katanya.

Ditanya perancangan masa depan, Najwa berkata, dia berhasrat menyambung pelajaran ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam jurusan TESL (Teaching English Second Language).

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...