Filem Tanda Putera

KUALA LUMPUR - Filem Tanda Putera yang memaparkan perjuangan dua tokoh pemimpin terdahulu yang membangunkan negara selepas peristiwa 13 Mei boleh dijadikan teladan kepada generasi muda.
Timbalan Menteri Penerangan Datuk Maglin Dennis D'Cruz berkata Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) membiayai penerbitan filem itu bertujuan melahirkan filem yang dapat menonjolkan kisah negarawan yang berjuang dan berkorban demi negara.
 
Filem 'Tanda Putera' memaparkan perjuangan perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein dan timbalannya Tun Dr Ismail Abdul Rahman membangunkan negara selepas tragedi 13 Mei 1969.
"Kisah pengorbanan kedua-dua pemimpin itu membangunkan Malaysia ketika kedua-dua mereka bersabung nyawa kerana menghidap penyakit yang serius perlu dijadikan teladan oleh generasi sekarang.
"Semangat perjuangan inilah yang Finas ingin terapkan bagi memperingati pengorbanan dan perjuangan pemimpin terdahulu," katanya ketika menjawab soalan Gwo-Burne Loh (PKR-Kelana Jaya) yang mempersoalkan tindakan Finas membiayai pembikinan filem itu yang didakwa membangkitkan isu perkauman, di Dewan Rakyat di sini.
 
Pesona Pictures Sdn Bhd
 
Maglin berkata filem 'Tanda Putera', terbitan syarikat Pesona Pictures Sdn Bhd adalah satu daripada dua filem yang terpilih untuk menerima peruntukan RM5 juta di bawah Dana Filem Cereka Kenegaraan dan Warisan.
Sebuah lagi ialah filem Antara Dua Langit terbitan Line Clear Production.
Beliau berkata bantuan dana untuk filem dokumentari kenegaraan amat diperlukan bagi mengimbangi lambakan filem dan dokumentari berbentuk hiburan/komersial tanpa sebarang nilai ilmiah.
"Dana yang diperuntukkan untuk filem Tanda Putera ialah RM2.7 juta manakala filem Antara Dua Langit ialah RM2 juta," katanya

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...