'Biar miskin harta, jangan kasih sayang'

Setelah melakar kejayaan menerusi program masakan, MasterChef Selebriti Malaysia musim pertama, cabang kerjaya, Datuk Dr Fazley Yaacob semakin bertambah.

Jika sebelum ini beliau lebih dikenali sebagai penyanyi, pelakon dan perunding motivasi terkenal tempatan, namun kini, langkahnya mula dilebarkan ke dapur sebagai chef selebriti.

Tidak mendabik dada dengan gelaran juara, malah bagi Fazley, 34, gelaran itu bukanlah sekadar sandaran untuk dibanggakan kerana di sebalik kejayaan itu, banyak perkara yang harus digalas.

Walaupun tugas semakin mencemburui masa yang ada untuk bersama keluarga tercinta, namun kepadatan jadual tidak mampu mengubah caranya sebagai ketua keluarga.

Family First! Itulah prinsip yang sentiasa dipegang oleh pelantun lagu, Asmara Ini. Baginya, walau sesibuk mana sekalipun, keluarga tetap menjadi keutamaan.

"Saya tidak betah untuk hidup tanpa anak-anak dan isteri. Sejak dahulu lagi, saya memang tak boleh berjauhan dengan mereka.

"Lagipun, mereka sangat rapat dengan saya. Malah, anak-anak saling mencemburui jika saya mendukung salah seorang daripada mereka. Saya pernah dukung ketiga-tiga anak saya.

"Walaupun sibuk, saya akan memastikan ruang untuk bersama mereka tetap ada. Contohnya, kalau saya perlu bekerja di luar kawasan, saya akan menghabiskan masa sehari sebelum berangkat. Saya akan mandi dan tidurkan mereka," kata bapa kepada tiga cahaya mata, Ahmad Fariedz, 4, Ahmad Fieradz, 2 tahun 7 bulan dan Ahmad Fierudz, setahun.


Kasih sayang, agama

Mengakui tugas sebagai bapa bukanlah perkara enteng, Fazley amat mementingkan nilai kasih sayang dan didikan agama yang sempurna kepada anak-anaknya.

Walaupun mereka masih kecil, namun nilai itu sentiasa diterapkan mengikut kesesuaian umur mereka.

"Sejak mereka kecil, saya dan isteri mengajar mereka mengamalkan doa sebelum dan selepas makan, doa tidur dan perkara asas dalam mengerjakan solat. Saya akan beritahu mereka tentang kepentingan solat.

"Selain itu, jika berjauhan, kami akan berhubung melalui panggilan video. Saya sering mengungkap perkataan I Miss You dan I Love You. Mereka juga akan membalas perkara yang sama.

"Kalau mereka buat salah, saya akan jentik dan tidak lebih dari itu. Pun begitu, saya dengan isteri sama-sama tegas. Namun, jika saya marah, isteri akan diam dan bila isteri marah, saya pula diam," katanya yang kini sedang sibuk menjalani penggambaran program masakan
baru, Chef Surprise, untuk saluran Astro Prima.

Selain sibuk dengan rancangan masakan, Fazley juga akan muncul dengan single terbarunya, Jaga-Jaga bersama rapper terkenal Altimet dan Maaf, Ku Menyintaimu, setelah hampir empat tahun menyepi dalam bidang nyanyian.

Fazley berkata, kedua singlenya itu telah dimainkan di corong-corong radio dan jika tiada halangan, album barunya, bakal menemui peminat pada Disember ini.


Sokong penghijrahan isteri

Mendirikan mahligai cinta bersama, Datin Azrene Soraya Abdul Aziz, pada 7 November 2006, rasa cinta Fazley terhadap isterinya tiada tolok bandingnya.

Menganggap kehadiran Azrene dalam hidupnya seperti impian yang menjadi realiti, Fazley mengakui ciri-ciri yang ada pada Azrene adalah kriteria wanita dambaannya.

"Segala yang ada pada Azrene adalah apa yang saya mahukan. Dia adalah isteri dan ibu yang berdikari serta mahir dalam tugas memasak dan menjahit.

"Walaupun dia berpendidikan tinggi, namun dia tidak kekok di dapur dan berjaya menambat hati saya. Tiada apa yang membahagiakan selain memilikinya.

"Dia juga seorang ibu yang penyayang dan berjaya menjaga anak-anak saya dengan baik. Walaupun dia mempunyai kerjaya sendiri, namun dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu," katanya yang menyokong penuh penghijrahan Azrene sejak Jun lalu.

Menurut Fazley, dia tidak pernah mendesak isteri untuk berhijab, malah keterbukaannya berjaya membawa perubahan dalam diri Azrene secara rela hati.
"Semasa mengandungkan anak kedua, dia pernah menyatakan hasrat untuk bertudung kepada saya. Namun, saya tidak mendesak kerana saya tahu, dia boleh membuat pilihan sendiri.

"Namun, kami pernah berbincang mengenai perkara ini dan dia bersetuju untuk bertudung sebelum mengerjakan haji atau sebelum mencecah usia 40 tahun.

"Alhamdulillah, ia berlaku lebih awal dan saya akan sentiasa memberi sokongan kepadanya," katanya yang pernah membintangi filem, Gila Bola, Janji Diana dan Gerak Khas The Movie 2.


Tiada istilah cemburu

Bergelar isteri kepada selebriti terkenal, ia bukanlah sesuatu yang harus dijadikan mimpi ngeri buat Azrene Soraya.

Malah, bagi perunding imej bertauliah ini, dia harus menerima hakikat bahawa Fazley bukan sahaja miliknya seorang.

Bersedia untuk berkongsi Fazley bersama peminat, Azrene tidak pernah meletakkan sifat cemburu dalam hati walaupun ada kalanya tindakan peminat agak keterlaluan.

"Sejujurnya, tidak pernah timbul rasa cemburu apabila melihat gelagat peminat yang cuba mendekati abang (Fazley).

"Saya percayakan abang dan itulah yang kami amalkan dalam hubungan. Selain itu, kami saling hormat menghormati dan setia. Apa sahaja yang berlaku, kami akan kongsikan bersama malah, antara kami seperti tiada rahsia.

"Namun, tidak bermakna saya melepaskan abang begitu sahaja. Jika saya lihat sesuatu yang berlaku secara janggal dan aneh, saya akan menegur dan menasihati abang. Itu bukan bererti saya cemburu, tetapi mengingatkannya untuk lebih berhati-hati," katanya yang memiliki Master of Law dari  Nottingham University, United Kingdom.

Sejajar dengan kariernya sebagai perunding imej, Azrene amat menitik beratkan soal penampilan suaminya.

Malah, sekiranya penampilan Fazley tidak menepati cita rasa atau tema, dia akan memberi pandangan untuk memilih imej yang sesuai.

"Bagi saya, abang bijak dan tidak kalah dalam memilih padanan pakaiannya. Apa sahaja yang disarung ke badannya, mesti nampak kemas.

"Namun, ada kalanya, saya mempengaruhi penampilannya. Dia sangat terbuka dan menerima pandangan saya.

"Mungkin ramai yang tidak perasan, kini abang sudah tidak memakai rantai. Saya juga pernah menegur perkara itu dan kini dia meninggalkan imej  itu. Mungkin juga kerana faktor usia kerana dia pernah beritahu saya, tak sesuai untuk pakai rantai," katanya yang turut menguruskan perniagaan membuat kek.


Bapa bertanggungjawab

Walaupun sentiasa sibuk dengan jadual hariannya, Fazley tidak berat tulang untuk membantu Azrene menguruskan anak-anak.

Malah, tugas untuk menguruskan anak tidak pernah dibiarkan kepada pembantu rumah kerana baik Fazley mahupun Azrene, mereka lebih betah melakukannya sendiri.

"Abang sangat mengambil berat dalam soal keluarga. Walaupun dia sibuk dengan kerja di luar, namun apabila pulang ke rumah, dia akan membantu saya apa yang patut.

"Jika saya sibuk untuk menyiapkan tempahan atau kerja lain, dia akan memandikan anak dan menolong di dapur.
"Kalau malam pula, dia akan tidurkan Payish dan Piyash sementara menunggu saya menguruskan Piyush untuk tidur. Saya berbangga kerana dikurniakan suami yang tidak pernah mengabaikan tanggungjawab, malah membantu saya dalam tugas lain," katanya yang tidak pernah menghalang minat anak dalam apa jua bidang.

Perkara itu turut dipersetujui oleh Fazley dan tidak melarang sekiranya anak-anak ingin menurut jejak langkahnya sebagai anak seni.

"Apa yang saya perhatikan, Payish dan Piyash memang berminat dalam bidang seni. Payish menunjukkan kecenderungan pada keyboard dan Piyash minat dengan gitar.

"Saya tidak akan larang mereka, namun saya lebih mementingkan akademik. Nak menyanyi boleh tapi kena berjaya dalam pelajaran.

"Sekurang-kurangnya, mereka harus mempunyai ijazah dalam bidang akademik dan jika mahu berkarya, itu terpulang kepada mereka," katanya yang ingin menjadi contoh terbaik buat anak-anaknya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...