Maya kembali menyanyi

DIA pernah hadir dengan album pertama menampilkan lagu Erti Cinta ciptaan Ajai yang berjaya menambat hati peminat. Bagaimanapun, impian Maya Karin untuk terus mengorak langkah dalam bidang nyanyian tidak kesampaian apabila album keduanya berjudul Bukan Qalamaya terkandas di tengah jalan.
Justeru, ada sebab untuknya bergembira kerana selepas lapan tahun, komposer Yassin Sulaiman mengajaknya berduet menerusi lagu Sinar Ini yang kini rancak disiarkan di pelbagai stesen radio tempatan.
"Saya rasa teruja dan bersyukur. Dulu orang lupa saya sebagai penyanyi.
Generasi sekarang pun ada yang tak tahu saya pernah menyanyi. Mereka hanya tahu saya sebagai pelakon.
"Apabila Yassin beri peluang ini, saya anggap ia bagai impian yang lama terpendam kini menjadi kenyataan. Lagu yang dihasilkan sememangnya kena dengan cita rasa dan suara saya.
"Yang menariknya, Yassin bukan saja bagi peluang untuk saya menyanyi, tapi dia nak saya terbabit dalam penghasilan melodi dan lirik serta proses rakaman di studio. Kiranya nisbah pembabitan kami ialah 50:50.

"Kalau dulu saya rasa kekok ketika masuk studio kali pertama, kali ini saya bertambah yakin. Apatah lagi dengan kepercayaan yang diberi menambahkan lagi keyakinan untuk saya buat yang terbaik.

"Saya tak terkilan dengan kegagalan terdahulu. Yassin juga terbabit dengan pembikinan album itu. Mungkin bagi menebus kekecewaan lampau, dia hadir dengan projek single ini.

"Saya akui dalam aspek tertentu berasa gementar juga untuk merakamkan lagu ini. Bagaimanapun, dulu lagu Erti Cinta boleh diterima peminat dengan baik membuatkan saya berasa bersemangat.

"Sekarang Yassin ajak saya berduet dengannya. Apabila dia hubungi saya untuk cakap mengenai projek ini, saya rasa terkejut. Tak sangka juga apabila lagu ini mula dimainkan di radio, ramai peminat yang suka.

"Konsep lagunya yang pelbagai tapi ringkas sangat kena dengan suara saya.
Penerimaan peminat buatkan saya kembali bersemangat nak menyanyi.

"Sekarang dalam proses berbincang dengan beberapa syarikat rakaman yang berminat nak ambil saya sebagai artis. Persetujuan akan diberi kemudian kerana yang penting sekarang ialah penerimaan peminat terhadap single ini terlebih dulu.

"Diharap ramai yang sukakan gandingan kami. Saya tak nak fikirkan populariti sangat kerana tujuan saya ikhlas nak menyanyi. Ramai yang suka saya, tapi tak dinafikan ada juga yang mengutuk. Saya faham bukan semua orang sukakan kita," katanya pada majlis berbuka puasa bersama media, baru-baru ini.

Aktres cantik berusia 33 tahun yang mencipta nama menerusi filem Pontianak Harum Sundal Malam dan terbaru Ombak Rindu itu kini menantikan tayangan filem terbarunya, Lagenda Budak Setan 2.

Dia juga baru selesai penggambaran filem Jwanita yang dikatakan menuntut komitmen sepenuhnya. Tanpa berselindung, Maya mengakui begitu tertekan menjayakan watak Jwanita sehingga mengambil keputusan untuk bercuti sebaik penggambarannya selesai.

"Jwanita seorang insan yang jiwanya kacau dan tak boleh menghadapi dugaan dengan tenang. Apabila tertekan, dia akan jadi agresif. Saya kena buat karakter ini nampak seperti betul-betul hidup.

"Selain itu, saya juga kena buat perkara yang fizikal. Ia sangat memenatkan dan membuatkan saya perlu berehat sepenuhnya sebelum kembali bekerja untuk projek lain.

"Selepas sambut Aidilfitri, saya akan terus sambung bercuti ke luar negara mungkin ke pulau peranginan. Di sana saya boleh lupakan tekanan kerja dan lupakan mengenai Maya Karin yang glamor dan jadi orang biasa.

"Itu yang bestnya bercuti kerana kalau di tanah air kadangkala saya bekerja sehingga 24 jam. Saya seorang yang ringkas dan suka berada di tempat yang orang tak kenal saya," katanya yang sudah ditawarkan berlakon tiga filem selepas ini dan salah satunya mungkin memulakan penggambaran pada November ini.

Yassin yang turut hadir mengakui gandingannya dengan Maya ibarat menebus kehampaan dulu. Impian yang tidak kesampaian menyebabkan dia sentiasa mencari jalan untuk meneruskan impian Maya.

"Rasanya segala perancangan terbantut dan seakan-akan tak puas curahkan tenaga untuk album kedua ini. Itulah sebabnya saya rasa terpanggil untuk buat lagu yang dirasakan bagus untuk diketengahkan.

"Suara Maya pun semakin bertambah baik dan ada dinamik tersendiri. Mungkin dia sudah banyak pengalaman sehingga berjaya menunjukkan kemajuan dalam nyanyian.

"Lagu yang dihasilkan perlu kena dengan suaranya. Bukan saja untuk Maya, malah artis lain juga begitu. Saya ada banyak perancangan untuk Maya tapi biarlah ia berjalan satu demi satu," katanya yang menunggu respons peminat terhadap Sinar Ini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...