Hafiz AF7 disaman (cederakan bekas pengurus pentas)

 "Akibat kejadian itu saya hilang peluang pekerjaan dan malu dengan apa yang berlaku. Antara saya dengan penyanyi Adira hanya rakan sekerja," kata Nur Haniza Mohd Azhar, 25, yang memfailkan saman menuntut ganti rugi RM200,194 terhadap juara Akademi Fantasia (AF) 7, Hafiz.

Nur Haniza memfailkan writ saman itu melalui Tetuan Boestamam Ahmad & Co di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi, Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di sini, semalam.


Dia sebagai plaintif menamakan Hafiz atau Mohd Hafiz Mohd Suip, 22, sebagai defendan.

Berdasarkan writ saman itu, Nur Haniza menuntut ganti rugi am iaitu RM100,000 kecederaan dan kesakitan, ganti rugi kehilangan RM50,000, ganti rugi teruk RM50,000, ganti rugi khas RM194, faedah, kos dan relif lain yang dianggap sesuai oleh mahkamah.

Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif yang sebelum ini bekerja sebagai pengurus pentas mengenali defendan menerusi kenalannya ketika menjalankan kerja berkaitan rancangan di bawah kelolaan Astro Holding Sdn Bhd.

Nur Haniza mendakwa pada 17 Mei 2011, jam 3.15 petang, ketika dia menjalankan tugasannya untuk rancangan yang diadakan di Studio Filem Negara, Petaling Jaya, defendan datang dan menepuk bahunya dari belakang serta menyatakan hasrat berjumpa secara paksa.

Namun, dia mendakwa menolak pelawaan itu dengan baik kerana sibuk dengan tugas.

Menurut Nur Haniza, Hafiz sekali lagi mendesak berbincang bagaimanapun dia menolak kerana sibuk bekerja memandangkan rancangan dikendalikan berlangsung.

Bagaimanapun, ketika plaintif menuruni tangga di studio, defendan menolaknya sehingga dia jatuh dan tersungkur di hadapan rakan sekerja lain dan mengakui terkejut.

Nur Haniza mendakwa, dia yakin Hafiz yang menolaknya dan tidak membantunya bangun sebaliknya menghamburkan kata-kata kesat serta cuba memukulnya sebelum dihalang mereka yang berada di situ serta menarik defendan keluar dari tempat kejadian.

Dakwa Nur Haniza lagi, akibat kejadian itu, dia cedera di ligamen kaki kanan dan dinasihatkan berehat sebulan selain menyebabkan dia hilang mata pencarian tambahan kerana disenarai hitam daripada bekerja untuk rancangan Astro.

Dia juga mendakwa akibat kejadian itu dia tidak dapat bergerak aktif serta terpaksa menanggung malu di hadapan keluarga, rakan serta orang awam apabila insiden itu dipaparkan di televisyen dan akhbar.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...