Saya juga sediakan perkhidmatan percuma menghantar cerita baru kat blog ni terus ke email rakan2.

Aiman, Izara couple ke?

MENUNTUT di sebuah kolej yang sama, Aamir dan Zara saling membenci antara satu sama lain. Namun, kedua-duanya terpaksa menjadi pasangan suami isteri menerusi perkahwinan yang sudah diaturkan oleh keluarga masing-masing.

Ia merupakan rentetan kisah drama bersiri Vanila Coklat yang pernah disiarkan di TV3 pada awal tahun ini sehingga mempopularkan dua nama pelakon yang sedang meningkat naik iaitu Aiman Hakim Ridza dan Izara Aishah.
Biarpun mereka baru kali pertama digandingkan bersama-sama menerusi drama tersebut, ternyata keserasian yang ditonjolkan telah memberi impak yang positif sehingga kini mereka semakin dikenali ramai.
 
Malah, kemesraan yang ditampilkan semasa sesi fotografi bersama Kosmo! yang diadakan di Taman Botani Negara, Shah Alam, Selangor baru-baru ini menunjukkan mereka berdua semakin serasi bersama.
"Saya tidak nafikan drama Vanila Coklat telah berhasil melonjakkan nama saya dan Izara. Malah, saya akui selepas membintangi drama tersebut semakin banyak tawaran berlakon yang diterima.
 
"Mengenai gandingan bersama Izara pula, saya rasa tidak sukar untuk mencari keserasian bersama. Biarpun saya dan Izara boleh dilabelkan sebagai pendatang baharu, tetapi kami telah memberikan yang terbaik dan gembira kerana lakonan kami diterima ramai," ujar Aiman yang baru berusia 23 tahun itu.
Melihat kepada keserasian yang sudah terjalin antara dirinya dan Izara, pelakon kelahiran Johor Bahru, Johor itu menyatakan dia tidak kisah untuk terus digandingkan bersama dalam mana-mana drama, asalkan mendapat watak dan jalan cerita yang menarik.
Malah, kedua-duanya juga baru-baru ini turut digandingkan dengan sebuah telefilem khas Vanila Coklat Raya sempena Aidilfitri yang telah ditayangkan pada hari raya pertama yang lalu.
 
"Berkenaan dengan filem Vanila Coklat yang pernah dirancang untuk dihasilkan, saya memang masih lagi mengharapkan agar ia dapat direalisasikan kerana ia merupakan permintaan daripada peminat sendiri," jelasnya.
Bercerita lebih lanjut mengenai sambutan lebaran pada tahun ini, Aiman menjelaskan ia pastinya memberi kelainan apabila buat kali pertama dapat meraikannya sebagai seorang artis.

 
"Kalau diikutkan memang terdapat banyak perbezaan ketara kerana kini orang lebih mengenali diri saya dan tidak dinafikan perasaan berdebar itu tetap ada kerana semakin ramai yang sudah mengenali diri saya.
"Bagaimanapun, saya tetap berasa gembira dan seboleh-bolehnya mahu dapat mendekati lebih ramai peminat yang menyokong kerjaya saya dan cuba untuk melayan sebaik mungkin kalau ada yang berkesempatan datang beraya ke rumah," ujarnya.
Menurut Aiman, pada tahun ini juga dia tidak pulang berhari raya ke kampung halamannya di Batu Pahat, Johor. Sebaliknya dia sekeluarga menyambutnya di Kuala Lumpur sahaja.
 
Masih menyanyi
Sebelum berkecimpung dalam dunia lakonan, pastinya ramai yang sudah tahu bahawa Aiman terlebih dahulu mencuba terbabit dalam bidang nyanyian dengan menyertai Mentor musim kelima pada tahun lalu.
Bagaimanapun, nasibnya dalam program realiti TV nyanyian tersebut tidak menyebelahinya apabila dia gagal meneruskan saingan ke peringkat seterusnya, biarpun mendapat bimbingan daripada penyanyi terkenal, Rahim Maarof.
Ditanya sama ada dia masih lagi berminat untuk menceburi bidang nyanyian memandangkan sudah dikenali sebagai pelakon, Aiman memberitahu dunia nyanyian masih lagi tersemat dalam jiwanya.
"Selepas tamat menyertai rancangan Mentor 5 dahulu saya masih tetap mendapat undangan untuk membuat persembahan termasuk muncul dengan single berjudul Khalimah Janji. Cuma sekarang ini rezeki saya nampaknya lebih terarah kepada bidang lakonan pula.
"Buat masa ini biarlah saya tumpu kepada lakonan sahaja terlebih dahulu. Sekiranya ada tawaran untuk menghasilkan album atau single, mungkin saya akan mempertimbangkannya terlebih dahulu," jelasnya.
 
Makin selesa
Bagi Izara pula, sambutan lebaran pada tahun ini ternyata lebih bermakna dan menganggap tahun ini cukup bertuah buat dirinya.
Berbanding dengan pasangannya dalam drama tersebut yang pertama kali merasai nikmat Aidilfitri sebagai seorang artis, Izara mengakui gembira kerana dia semakin dikenali ramai gara-gara impak terhadap drama berkenaan serta tawaran berlakon yang semakin banyak diterimanya.
"Tidak dinafikan menyambut hari lebaran sebelum bergelar artis dan sekarang memang jauh berbeza. Namun, kini saya berasa semakin selesa dan tidaklah terlalu kekok kalau meraikannya bersama peminat.
"Bagaimanapun, persiapan untuk menyambut lebaran pada kali ini terpaksa dilakukan pada saat-saat akhir memandangkan sepanjang bulan puasa saya agak sibuk dengan pelbagai aktiviti dan penggambaran," jelasnya.
Bercerita lebih lanjut mengenai sambutan hari raya pada tahun ini, Izara memberitahu dia sekeluarga menyambutnya di Johor Bahru, Johor selama beberapa hari sebelum pulang semula ke Kuala Lumpur.

Ditanya mengenai pengalaman paling menarik yang pernah dilalui sewaktu menyambut lebaran, Izara menyatakan saat-saat dapat berkumpul dengan ahli keluarga yang lain termasuk bersama sepupu merupakan kenangan paling indah yang dirasai.
Bagaimanapun, suasana kemeriahan tersebut kini semakin kurang dirasai memandangkan kebanyakan sepupunya sudah ramai yang mendirikan rumah tangga dan pulang berhari raya ke kampung pasangan masing-masing.
"Kalau dahulu setiap kali tibanya Aidilfitri saya antara individu yang paling teruja. Yang paling menarik sehingga ke hari ini saya masih lagi mendapat duit raya, meskipun usia saya sekarang sudah mencecah 20 tahun," ujarnya.
Sementara itu, pelakon berkenaan menyatakan selepas cuti berhari raya dia akan terbabit dengan penggambaran dua filem, malah memberitahu jadualnya lakonannya agak padat sehingga hujung tahun ini.
Menurut Izara, biarpun dirinya agak jarang dipalit dengan sebarang cerita kontroversi, namun dia gembira kerana tawaran lakonan yang diterima sehingga kini masih lagi tidak putus-putus.
 
"Saya bersyukur kerana kerjaya seni saya sekarang semakin berkembang, namun ia tidak bermakna saya sudah berada di zon selesa. Masih banyak lagi yang perlu saya pelajari dan berharap agar mendapat lebih banyak tawaran dengan watak-watak yang berbeza.
"Lagipun sebagai seorang pelakon baharu saya perlu mencuba apa sahaja watak memandangkan saya masih lagi dalam proses pembelajaran.
"Bagaimanapun, saya sangat berterima kasih kepada peminat yang memang banyak menyokong kerjaya seni saya," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...