Sambutan ulang tahun ke-20 KRU meriah

 
Meriah sungguh sambutan ulang tahun ke-20 KRU di kelab hiburan Neverland. Peminat setia KRU berkumpul bagaikan sebuah konsert bagi meraikan kebangkitan semula kumpulan KRU dan artis-artis di bawah naungannya.

Seawal jam 7.30 petang, ruang masuk kelab hiburan berkenaan sudah mula dipenuhi peminat dan ketika muzik memainkan lagu-lagu popular kumpulan itu peminat tidak henti-henti bersorak sambil menyanyikan bersama.

Itu yang berlaku sebelum persembahan bermula dan sebaik saja para penari mengambil tempat, gandaan sorakan memenuhi segenap ruang sekali gus bagai memberi isyarat malam yang lebih hebat akan menanti setiap peminat.

KRU yang terdiri daripada Norman, Edry dan Yusry tampil di tengah-tengah pentas bersama lagak bagaikan watak menerusi filem Men In Black memberikan ucapkan selamat datang kepada peminatnya sebelum dirancakan lagi dengan persembahan yang lebih gah.

Ternyata memang benar, seperti apa yang dijanjikan sambutan ulang tahun KRU kali ini nyata lebih gempar dan meriah apabila kesemua 15 artis di bawah naungan KRU tampil membuat persembahan. Tidak kira yang baru, mahupun yang lama.

Kemunculan kumpulan Elite dan X-Factor antara yang paling mendapat perhatian. Tenaga dan aura mereka nampaknya masih lagi kuat untuk menarik perhatian peminat yang membanjiri ruang tengah, depan, belakang dan atas Neverland.

Ritma rancak lagu-lagu sensasi kedua-dua kumpulan itu seperti G.I.G dan Sehangat Api masih menjadi siulan setiap tetamu meskipun masing-masing sudah lama meninggalkan dunia nyanyian yang pernah menaikan nama mereka sekitar 90-an.

Mungkin inilah platform terbaik untuk kedua-dua kumpulan berkenaan menunjukkan belang masing-masing dan membuktikan bahawa mereka masih mampu menghiburkan peminat mereka sama seperti di awal kemunculan mereka dulu.

Bukan sahaja dua kumpulan itu saja, malah hampir semua artis yang bernaung di bawah lembayung KRU turut mendapat sorakan serupa yang mungkin sangat taksub dengan lagu-lagu mereka yang sangat dekat di hati peminat.

Antaranya Mojo, Fourteen, Tomok, Sofazr, VIP, Tilu, Kamila Rizwanis, Baby Shima dan tidak ketinggalan Jaclyn Victor yang tidak ketinggalan membuat persembahan menyanyikan lagu-lagu yang pernah menaikan nama KRU.

Gandingan Sofazr dan Tomok menghangatkan acara apabila masing- masing memilih irama lebih rancak iaitu Pencinta Terbaik dan Arjuna yang membawa peminat berhayun bersama.

Namun kemuncak sambutan ulang tahun ke-20 KRU pastinya dengan kemunculan ' the all timer' empayar itu sendiri iaitu KRU yang segak bersut keemasan dan masih bertenaga menyanyikan lagu-lagu terhangat mereka.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...