Saya juga sediakan perkhidmatan percuma menghantar cerita baru kat blog ni terus ke email rakan2.

Ziana Zain dan produk kecantikan

Ziana Zain berasa sudah sampai masa buat dia mengembangkan sayap untuk membuka perniagaan

PENYANYI tersohor tanahair Ziana Zain baru mencecah usia 44 tahun pada tanggal 2 Mei lalu.  Mencecah angka tersebut, tiada ketakutan yang timbul dalam diri ibu kepada empat orang anak ini. Sebaliknya memegang usia 40-an, Ziana berasa sudah sampai masa buat dia mengembangkan sayap untuk membuka perniagaan.

Perniagaan tersebut berkaitan dengan soal kecantikan. "Saya selalu ditanya tentang rahsia kecantikan. Sejujurnya, tak ada terlalu banyak rahsia kecuali saya selalu berselawat ke atas Nabi, mengambil kolagen serta vitamin C.

"Dan oleh kerana terlalu ramai yang bertanya, saya kini dalam rangka mempunyai produk kecantikan atas jenama saya sendiri untuk dikongsi kepada peminat saya. Insya Allah ia akan berada di pasaran pada hujung tahun ini," katanya yang juga memberitahu mencuba terlebih dahulu keberkesanan produk tersebut sebelum ia dijual di pasaran.

Tambah penyanyi dan pelakon yang terkenal dengan trademark kening terangkatnya ini, dia sentiasa  kekal menarik bukan sekadar hanya kerana memegang status selebriti, sebaliknya berasa bertanggungjawab terhadap dirinya sendiri iaitu sebagai seorang wanita.

Bagi Ziana, setiap wanita atau individu harus menjaga penampilan dan kesihatan diri sebagai tanda menghargai kehidupan yang telah dikurnia dengan baik oleh Allah. S.W.T.

Sementara itu, saat ditanya apa hadiah istimewa yang diperoleh sempena ulang tahun ke-44nya, Ziana memberitahu hadiah paling istimewa yang diterimanya adalah kad ucapan ulang tahun yang diberi suaminya, Armin Zahari serta dua anaknya, Aiman dan Ammar.

"Sejujurnya, saya lebih menghargai pemberian kad ucapan berbanding barang berbentuk material. Ini kerana, kad ucapan boleh dibaca berulang-ulang kali dan ia mampu menyemarakkan rasa cinta kita terhadap pasangan. Malah saya masih menyimpan semua kad ucapan yang diberi oleh suami kepada saya," ujar Ziana penuh semangat.

Bercakap tentang perkembangan kariernya, Ziana yang telah mempunyai tujuh buah album studio penuh memberitahu, buat pertama kalinya, dia akan menggunakan khidmat adiknya, Anuar Zain untuk menjadi komposer kepada album terkininya.

"Tapi Anuar sangat sibuk sekarang ini, jadi saya harus menunggu dia untuk menyiapkan album saya. Saya tahu, dia juga cerewet tapi saya yakin dia mampu memberi yang terbaik untuk album saya," katanya yang juga memberitahu akan berduet dengan Azlan dari Azlan & Typewriter untuk album tersebut.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...