Saya juga sediakan perkhidmatan percuma menghantar cerita baru kat blog ni terus ke email rakan2.

Anuar Zain - Terima Royalti RM18,859.38

 
KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan syarikat rakaman, Syncrosound Records Label Music Sdn Bhd membayar royalti sebanyak RM18,859.38 kepada penyanyi Anuar Zain.Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nurul Nadzia Abdul Aziz membuat keputusan itu di dalam kamarnya. Hari ini ditetapkan untuk keputusan taksiran jumlah royalti yang perlu dibayar syarikat rakaman itu kepada penyanyi itu bagi penjualan dua albumnya.
Peguam yang mewakili Anuar, Aizul Rohan Anuar hadir di mahkamah. Bagaimanapun, Anuar dan wakil daripada Syncrosound Records Label Music Sdn Bhd tidak hadir.Dalam penghakimannya, Nurul Nadzia berkata jumlah royalti sebanyak RM18,859.38 itu dikira daripada jumlah album yang dijual dari unit 15,000 sehingga unit terakhir yang dijual dan bukannya dikira dari unit pertama penjualan album itu.
"Mahkamah mengguna pakai perkiraan royalti yang dibayar kepada plaintif (Anuar) dalam mengira royalti yang perlu dibayar dan setelah meneliti perkiraan itu, mahkamah mendapati bahawa royalti sebanyak 10 peratus hanya akan dibayar bagi unit yang terjual dari 15,000 ke 29,999," katanya.
Selain itu, mahkamah juga mendapati dalam perkiraan royalti itu, tiada apa-apa rujukan dibuat terhadap penolakan kos produksi dan perbelanjaan yang dibuat oleh syarikat rakaman itu.
Nurul Nadzia berkata dalam memutuskan jumlah royalti itu, mahkamah tidak mengambil kira hujahan defendan (Syncrosound) bahawa kos produksi dan perbelanjaan adalah lebih tinggi daripada royalti yang telah dibayar kepada Anuar, kerana tiada keterangan yang diberikan oleh defendan bagi menyokong kenyataan itu.
Sementara itu, Aizul Rohan ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata beliau tidak menolak kemungkinan Anuar akan membuat rayuan terhadap keputusan hari ini."Saya akan berbincang dengan Anuar mengenai perkara ini dan sekiranya kedua-dua pihak, sama ada Anuar atau Syncrosound tidak bersetuju dengan keputusan ini (jumlah royalti), mereka ada hak untuk membuat rayuan," katanya.
Pada 14 Mei 2010, Anuar menang kes saman tuntutan balasnya terhadap Syncrosound Records.Mahkamah Tinggi kemudian memerintahkan syarikat rakaman itu membayar royalti kepada Anuar atau nama sebenarnya Shahrul Annuar Zain, 42, hasil jualan dua albumnya.
Syarikat rakaman itu memfailkan satu saman terhadap penyanyi itu pada 21 April 2006, atas dakwaan melanggar perjanjian kontrak kerana tidak merakamkan tiga lagi album dengan syarikat itu. Kes itu ditolak Mahkamah Tinggi pada 2007.Susulan itu, Anuar pada 20 Jun 2006 memfailkan saman balas terhadap Syncrosound dan memohon diberikan butiran atau penyata penjualan kesemua album yang diterbitkan oleh Syncrosound selain bayaran royalti yang diperuntukkan dalam perjanjian. – Bernama

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...