Tiket Perlawanan Malaysia VS Singapura bermula 9 Pagi Esok.

KUALA LUMPUR 25 Julai - Tiket untuk perlawanan kedua pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 antara Malaysia dan Singapura akan dijual mulai jam 9 pagi esok hingga hari perlawanan pada Khamis ini.

Perlawanan dijadual bermula jam 8.45 malam di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.

Menurut kenyataan laman web Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini, tiket mulai dijual hingga 27 Julai dari 9 pagi hingga 7 malam di Pintu Utama, Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Pintu A, Stadium Shah Alam.

Sementara penjualan dan penebusan tiket dibeli secara dalam talian boleh dibuat di Pintu Kuning, Stadium Nasional Bukit Jalil hingga hari perlawanan.

Tiket terbahagi kepada tiga kategori iaitu RM50 untuk tempat duduk utama (grand stand), RM30 (terbuka) dan RM5 untuk kanak-kanak bawah 12 tahun.

Peminat yang ingin membeli tiket secara dalam talian boleh berbuat demikian melalui laman web www.tickethotline.com.my

Malaysia tidak pernah mara ke pusingan akhir Piala Dunia sejak pertama kali beraksi dalam pusingan Kelayakan pada 1974 di Jerman.

Pusingan akhir Piala Dunia 2014 akan berlangsung di Brazil. - BERNAMA 
 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...